Selepas solat berjemaah, saya akan
bersalam dan tersenyum kepada orang yang saya salam. Dan responnya, ada yang
membalas senyuman saya, dan ada yang langsung tidak pandang ke muka saya.
Kenapa begitu?
Bahkan ketika saya membeli barang di
sesebuah kedai, ketika bayar barang tersebut, saya suka untuk senyum kepada
penjual tersebut. Dan responnya sama, ada yang membalas senyuman saya, dan ada
yang muka masam mencuka. Kenapa sukar sangat untuk senyum?
Senyuman
penyejuk mata penawar duka.
Saya tahu senyuman itu boleh di
kategorikan kepada dua, senyuman yang datang dari hati, dan senyuman yang di
buat-buat atau senyum sinis. Tetapi saya ingin fokus tentang senyuman yang
datang dari hati, atau senyuman yang ikhlas bukannya di buat-buat. Ada pepatah
orang Cina zaman dahulu menyatakan,
“Orang yang tidak memiliki senyuman tidak dapat membuka kedai.”
Saya tidak kata, dengan senyum kita
akan mampu membuka kedai, tetapi apa yang ingin disampaikan senyuman itu ibarat
mentara yang membelah awan, yang mampu menyinari dan menghiasi
individu-individu yang di selaputi wajah yang berkerut dan bermuram durja.
Kelakuan, tindakan dan akhlak lebih banyak memberitahu orang lain mengenai diri
kita berbanding kata-kata kita.
Seulas senyuman yang diberikan dapat
memberi banyak maksud seperti, saya suka kamu, Kamu membuatkan saya rasa
bahagia, saya senang bertemu kamu, dan sebagainya. Bahkan jika dalam sesuatu
majlis, senyuman kita lebih berharga daripada pakaian yang kita pakai, meskipun
kita pakai pakaian yang mewah.
Dalam keluarga kita, jika kita sebagai
seorang anak dan sedang berhadapan dengan ibu bapa kita yang mungkin tertekan
dengan masalah kerja di pejabat, atau sebagainya, hulurkan senyuman seikhlas
hati kepada mereka. Jangan mengharap untuk mereka senyum terlebih dahulu kepada
kita, tetapi kita yang mulakan dahulu. InsyaAllah, dengan senyuman dari kita
yang menanti mereka pulang, dapat menyejukkan hati mereka. Sekaligus dapat
menghilangkan tekanan mereka.
Dan jika kita merupakan ibu bapa,
jangan kedekut untuk memberi senyuman kepada anak-anak. Kerana senyuman seorang
ibu dan ayah, adalah sangat berharga untuk memotivasikan seorang anak, terutama
anak-anak yang sedang tertekan menghadapi peperiksaan atau masalah lain. Mereka
akan rasa di sayangi dan bersemangat walaupun ia hanyalah sebuah senyuman.
Bukan sekadar untuk ibu bapa dan
anak-anak, bahkan kepada guru-guru, sahabat-sahabat kita dan masyarakat di
sekeliling kita. Jangan kedekut untuk senyum, kita tidak akan di cas apa-apa
pun dengan senyuman kita. Bahkan dianggap sedekah dan pahala dalam Islam. Mudah
kan?
Senyuman
itu sunnah Rasul kita.
Jika kita menelusuri sirah agung
baginda Rasulullah s.a.w., lalu melihat perwatakan baginda, kita akan dapati
baginda sering sahaja tersenyum.
Kata Jarir bin `Abdillah :
“Sejak aku menjadi muslim, tidak
pernah Rasulullah s.a.w. berjumpa denganku melainkan senyum padaku.”
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Kata ‘Abdullah bin al-Harith:
“Aku tidak pernah melihat
seseorang lebih banyak senyuman daripada Rasulullah s.a.w.” (Riwayat
al-Tirmizi, sahih)
Bahkan Rasulullah s.a.w. juga ada
berpesan dalam sebuah hadis yang bermaksud ;
“Jangalah kamu meremehkan kebaikan
apapun, walaupun sekadar bertemu saudaramu dengan wajah yang manis (wajah
gembira dan senyuman).”
(Riwayat Muslim)
Mari
lakukan kebaikkan ini!
Kita tidak mampu tersenyum? Kenapa? Ada
dua perkara yang perlu kita lakukan. Pertama, paksa diri untuk tersenyum.
Senyumlah walaupun pada mulanya tidak ikhlas atau mungkin orang akan anggap
kita kurang siuman. Tetapi disebalik senyuman itu, akan memberikan madu yang
manis kepada orang di sekeliling kita. Kedua, jika kita berseorangan, dengar
lagu atau apa jua yang boleh buat kita rasa bahagia. Seorang ahli psikologi dan
ahli falsafah William James ada menyatakan,
“Tindakan selalunya
mengikut perasaan, walhal sebenarnya tindakan dan perasaan berlaku serentak.
Dengan mengatur tindakan yang dikawal secara langsung oleh kehendak kita, kita
secara tidak langsung dapat mengatur perasaan kita yang secara zahirnya tidak
dapat kita kendalikan.
Justeru, jalan menuju
kebahagian apabila kegembiraan pada ketika itu tiada adalah duduk dengan riang,
lalu bercakap dan bertindak seolah-olah kita memang bahagia.”
Jom senyum! :)
Moga Allah redha
.
No comments:
Post a Comment