Thursday 27 September 2012

Cerpen : Antara al Quran dan Hantaran.



 
"Sayang, tengok nih. Cantiknya al Quran nih. Warna keemasan. Macam raja gitu. Sesuai untuk kita buat hantaran." pekik Jamilah kepada Nabil di sebuah kedai buku.

"Sini pun cantik juga. Warna ungu keemasan. Mana satu kita nak beli nih? Keliru dah ni." balas Nabil.

Mereka sedang asyik mencari bahan-bahan untuk dibuat hantaran. Tinggal satu lagi yang masih dicari-cari iaitu AlQuran yang bakal dijadikan hantaran.

"Tapi, yang ni lagi best, ada terjemahan arab lagi." keluh Jamilah.

"Ala , awak bukan reti pun bahasa arab" jawab Nabil dalam nada bergurau. Tergelak kecil Jamilah mendengar jawapan Nabil. Bahagia rasanya dapat  calon suami seperti Nabil. Sangat prihatin.

"Apa yang saudara cari tu? Nampak seronok saya lihat" tegur seorang pakcik yang datang dari arah belakang dengan berbaju putih. Jaluran baju ke bawah menampakkan lagi seri wajah seorang pakcik dalam usia lingkungan 40-an.

"Oh, kami cari AlQuran. Nak buat hantaran. Maklumlah, nak bina masjid" sengih Nabil. Jamilah ikut senyum tidak jauh dari situ..

"Oh. Bagus lah. Adik selalu baca waktu bila?" pakcik tersebut menyoal Nabil sambil tersenyum.

"Aa.. aa.. lama dah saya tak baca, pakcik" teragak-agak Nabil menjawab sambil mukanya tersipu malu. Jamilah sudah di sebelah rak yang lain.

"Kalau gitu, tak perlu lah beli AlQuran kalau sekadar hantaran. Kesian ALQuran. Itu bukan kitab hiasan dik.” tegur pakcik dengan nada bersederhana.

"Alah, pakcik nih. Kacau daun pulak urusan orang muda. Kami beli ni nak baca la nanti." tiba-tiba Jamilah muncul bersama jawapannya yang bersahaja.

 "Oh, baguslah. Kalau gitu beli lah tafsir ArRahman. Ada tafsiran lagi" cadang pakcik tersebut. Mukanya nampak seperti orang-orang ahli masjid.

"Ala, besar lah pakcik. Kami nak pilih nih. Comel gitu." senyum Jamilah mengangkat bungkusan Al Quran warna unggu keemasan. Saiznya agak kecil.

"Jangan lupa baca ya" pakcik tersebut mengingatkan dengan nada selamba sambil berlalu meninggalkan pasangan tersebut.

"Sibuk je la pakcik tu." Jamilah mengomel dan merungut kepada Nabil.

Nabil kelihatan serba salah. Beliau termenung seketika dan membisu seribu bahasa Mungkin 'terpukul' dengan kata-kata seorang pakcik yang muncul secara tiba-tiba.

“Sayang, kenapa sayang termenung ni? Rilek la, biasalah orang tua. Memang macam tu. Jom pergi ke kaunter. Saya suka yang ni.” Pujuk Jamilah sambil memaut tangan Nabil untuk ke kaunter.


----


Hari yang dinantikan sudah tiba. Mereka sudah bersolek. Hari nan indah. Terlalu indah buat  pasangan teruna dan dara yang bakal disatukan. Nabil dan Jamilah tidak sabar-sabar menantikan ucapan akad nikah yang indah tersebut. Beberapa ketika kemudian, Pak imam yang bakal mengijab kabulkan kedua pasangan ini baru sahaja sampai.

"Assalamualaikum semua." ucapan salam Pak Imam mula bergema hampir segenap ruang tamu.

Nabil bagai mati hidup semula. Dirinya terkejut melihat Pak Imam tersebut. Jantung bagai mahu gugur serta merta. Dia rasa bagai mahu lari dari majlis tersebut. Mungkin tidak percaya dengan apa yang dipandang dihadapannya. Ahli-ahli keluarganya berebut-rebut bersalaman dengan Pak Imam. 
Mukanya berseri-seri. Janggutnya putih. Jubah putih. Rambutnya ada yang berwarna putih.

"Ini ke pengantin hari ini? Apa khabar?" tegur selamba Ustaz Saad.

"Pak.. Ustaz.. kabar baik, pak... usta..... ustazz.." jawab Nabil agak menggeletar. Jamilah juga terkebil-kebil melihat kelibat orang yang dikenali di kedai buku 2 bulan lalu.

"Oh, sebelum tu, suka untuk saya mendengar bacaan adik Nabil. Mudah-mudahan kita dapat mengambil manfaat dari bacaan pengantin/" cadang Ustaz Saad. Kelihatan orang ramai mengiyakan. Maklumlah, ustaz Saad merupakan antara orang dikenali oleh ahli-ahli sebagai penceramah tetap setiap hari Khamis selepas maghrib.

Nabil menelan air liur. Terkesima dirinya mendengar cadangan dari ustaz Saad. Hendak di tolak, ramai orang mengiyakan. Baginya inilah saat paling menyeramkan bagi dirinya. Peluh dingin mula membasahi baju melayu satin berwarna putih. Dia ibarat berhadapan dengan hantu di hadapannya.

"Ss.. su.. surah apa ustaz?" Nabil cuba mengagahkan diri. Jamilah masih melihat dari tepi tirai. Dia memegang kepalanya seperti sudah mengagak benda yang sebaliknya berlaku.

"Oh, ayat yang mudah ja. Baca 3 ayat Surah ArRa'd" kata ustaz Saad sambil menunjukkan baris giginya yang putih hasil bersugi setiap solat mengikut sunnah nabi.

Surah Ar Ra'd

Surah Ar Ra'd

"Apa benda nih." detik kecil hati Nabil.

"Bismillahirrahmaanirrahim..ALL.. .MAA.. RIII..!!" nadanya berlagu untuk cuba Nabil membacanya.

Kelihatan gemuruh satu rumah pengantin perempuan. Ada yang keluar dari rumah menahan gelak. Ada yang mengeluarkan air mata menahan kelucuan. Ada yang menggeleng-geleng kepala. Ibu bapa Jamilah merah padam wajahnya. Jamilah entah ke mana, mungkin berpura-pura ke tandas.

"Baru ustaz tahu ada kalimah almari di dalam ALQuran.” Nada ustaz Saad bersahaja.

“Adik Nabil, cara bacanya seperti begini :
A'uzubillahiminnassyaitaanirrajim. Bismillahirrahmanirrahim.. ALIF.. LAMM... MIMMM.... RAA.." kedengar suara gemersik Ustaz Sa'ad. Orang ramai kelihatan ingin mendengar lebih banyak lagi alunan irama Al Qurannya.

Nabil berasa seperti kilat menyambar kepalanya. Dia terkaku dan secara tidak sengaja menitis air mata lelakinya di hadapan ustaz Sa’ad.

"Nabil, kamu jangan merendah-rendahkan kitab petunjuk iaitu Al Quran. Ianya hendaklah dibaca bukan sekadar dijadikan hantaran semata-mata. Malah lebih malang perlakuan seperti ini seolah-olah menghina ALQuran. Beli Al Quran kemudian meletakkan di tempat-tempat tinggi seolah-olah ianya sudah cukup bagi seorang muslim, sedangkan al Quran itu untuk di baca, di fahami dan di amalkan. " tazkirah sudah bermula. Orang ramai mula menumpukan perhatian kepada apa yang di sampaikan oleh ustaz Sa'ad.

"Tinggi mana pun kamu belajar, sampai phD ke, Masters ke, atau degree dengan kelas pertama sekalipun, tiada gunanya jika kitab al Quran yang tidak berubah ini tidak mampu kamu baca. Kitab ini pasti begini rupanya, ayatnya tetap sama, kedudukannya tidak sama. Malah, ketahuilah Allah akan menjaganya sehingga hari kiamat. Nabil, kalau kamu tahu orang-orang yang mengaku kitab AlQuran sebagai kitab petunjuk kemudian diabaikan dia pasti dilaknat oleh AlQuran itu sendiri.

Tetapi beruntungnya orang-orangnya memanfaatkan Al Quran setiap hari, membacanya, cuba menghafalnya, dan mengamalkannya menjadikan hati terlalu tenang walapun dia bukannya seorang yang tinggi pelajarannya, kaya hidupnya dan sebagainya." penutup Ustaz Sa'ad sudah dikagumi orang terutama yang mengikuti ceramahnya.

Nabil tertunduk malu dan sedih dengan dirinya sendiri. Menyesal dan insaf dengan apa yang ada pada dirinya. Kini dirinya betul-betul kesal kerana mengabaikan kitab petunjuk ini sendiri. Hatinya berazam dan tekad ingin berubah, ingin mendalami al Quran. Itulah azamnya selepas mendirikan rumah tangga bersama Jamilah kelak.



------



Hari semakin cepat berlalu. Nabil sudah melalui hari-hari yang indah. Kitab al Quran yang menjadi hantaran perkahwinan sudah menjadi diari kehidupannya yang aktif setiap hari.

“Tret.. tret!” bunyi getar telefon bimbit Nabil menandakan ada seseorang menghantar SMS kepadanya.

“Jangan lupa datang rumah ustaz malam nih. Kita belajar sama-sama. Jangan lupa bawa isteri sekali ya Nabil.” SMS dari ustaz Sa'ad tiba. Nabil dan Jamilah tersenyum selepas membacanya.


Moga Allah Redha.





p/s :  1. Daripada Ali bin Abi Thalib r.a berkata : Telah bersabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud ;

“Sudah hampir sampai suatu masa di mana tidak tinggal lagi ISLAM ini kecuali hanya NAMANYA, dan tidak tinggal dariapda AL QURAN itu kecuali hanya TULISANNYA. Masjid-masjid mereka tersergam indah, tetapi ia KOSONG daripada HIDAYAH. Ulama mereka adalah SEJAHAT-JAHAT makhluk yang ada di bawah kolong (naungan) langit. Daripada mereka berpunca fitnah dan kepada mereka fitnah ini akan kembali.”
(Riwayat al Baihaqi)

2.Cerita ini saya copy edit dan paste bagi mencantikkan perjalanan cerita.

Tuesday 25 September 2012

Menyesal, bertaubat, kemudian ulang semula dosa?





Dulu ketika saya kecil, saya seorang budak yang sangat nakal. Kalau nakal yang biasa-biasa, tidak apa lah jua, namun nakal yang “luar biasa”. Apa yang saya buat, biarlah antara saya dengan Allah. Perkara itu berlarutan sehingga saya menghampiri Peperiksaan Menengah Rendah (PMR). Saya mula menyedari kesilapan dan kesalahan saya, saya menyesal teramat sangat. Saya rasa sedih dan malu dengan diri saya.

Namun , kedegilan saya tidak lah berjaya saya bersihkan seratus peratus (100%). Adakala dosa yang sama juga saya sering ulang, ulang dan terus ulang lagi. Ibarat movie di pawagam yang di ulang tayang semula di siaran televisyen. Kadang-kadang selepas saya melakukan dosa tersebut, saya rasa menyesal teramat sangat. Tetapi selepas beberapa hari, saya ulangi dosa tersebut. Saya malu dengan diri saya. Saya takut sangat jika saya mati semasa saya melakukan dosa . Dan apa yang paling saya takut, saya takut sangat jika Allah tidak terima taubat saya kerana saya kerap mengulangi kesalahan dan dosa yang sama.

Saya tahu salah, tetapi saya buat juga. Lepas buat, saya bertaubat. Selepas itu, saya buat lagi. Saya rasa seolah-olah saya bermain-main dalam taubat. Selepas memasuki matrikulasi, saya mula rajin untuk pergi ke masjid. Saya mula rajinkan diri mendengar ceramah-ceramah agama. Saya rajinkan diri saya untuk membaca buku-buku agama.

Alhamdulillah, saya mula mendekati agama Islam walaupun saya dah lama bergelar orang Islam. Saya bersyukur sangat apabila saya mengetahui bahawa Allah akan sentiasa menerima taubat hamba-Nya walau siapa pun dia, dosa apa yang di buat, keluarga apa pun dia, dan sekiranya seorang hamba mahu kembali kepada-Nya, maka tiada halangan untuknya kembali.

Firman Allah s.w.t.,



Terjemahan :

Katakanlah (wahai Muhammad) : “Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), jangalah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dia jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
(Surah Az Zumar  39 : 53)


Allahu Rabbi. Allah akan tetap ampunkan kita walaupun kita di hina orang, walaupun orang cakap,

“Orang macam kau ni tak layak di ampunkan Allah.”
“Kau ni memang Tuhan tak ampun dosa kau.”
“Kau ni memang ahli neraka gamaknya.”
“Perangan kau macam syaitan dan iblis, mana Allah nak ampunkan kau.”

yakin lah bahawa Allah tetap akan ampunkan kita.

Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud :


“Apabila seseorang berkata : “Binasalah manusia”, maka dialah yang akan binasa.”

(Riwayat Muslim daripada Abu Hurairah r.anhu)

Saya ada mendengar sebuah kisah di mana suatu hari Ma’iz bin Malik datang kepada Rasulullah s.a.w. lalu berkata kepada Rasulullah,

“Aku berzina wahai Rasulullah, bersihkan aku.”

Tetapi apa Rasulullah buat?

Rasulullah tidak melihat dia, bahkan Rasulullah pusing. Baginda bagi isyarat yang menyuruh Ma’iz pergi. Tetapi Ma’iz tetap berkata ;

“Aku berzina ya Rasulullah, bersihkan aku.”

Rasulullah cuba memberi pengecualian kepada beliau, baginda berkata,

“Boleh jadi kau cium, Ma’iz. Boleh jadi kau raba raba sahaja. ”

Ma’iz berkata,

“Aku berzina wahai Rasulullah, tak kan kau tidak tahu bahawa aku berzina.“

Sesetengah riwayat menyatakan Rasulullah berkata,

“kau mabuk agaknya.”

Namun Ma’iz tetap terus, dan sudah pasti dia mahukan hukuman di jalankan.


Allahu Rabbi.. Islam mengajar kita agar tutup aib kita, kemudian baiki diri kita, bila-bila masa sahaja. Allah mahu kita istighfar kepada Dia, minta ampun kepada-Nya dan kembali semula kepada-Nya.

Pintu keampunan Allah sentiasa terbuka. Allah membuka pintu keampunan pada waktu siang untuk Dia mengampunkan orang yang buat dosa pada waktu malam. Dan Dia membuka pintu keampunan pada waktu malam untuk Dia mengampunkan orang yang buat dosa pada waktu siang.

Allahu Akhbar..

Ketahuilah, di dalam Islam, seluas-luas pintu adalah pintu Taubat.

Dalam sebuah hadis Qudsi, Allah berfirman :

“Wahai anak-anak Adam, selagi mana engkau memohon dan mengharapkan dari-Ku, Aku ampunkan engkau walau apapun dosamu, Aku tidak peduli. Wahai anak-anak Adam, jika dosamu sampai ke puncak langit, lalu engkau pohon keampunan dari-Ku, Aku ampunkan engkau, aku tidak peduli. Wahai anak-anak Adam, engkau jika datang kepada-Ku dengan dosa yang hampir memenuhi bumi, namun engkau menemui-Ku tanpa mensyirikkan Daku dengan sesuatu, nescaya aku datang kepadamu dengan penuh keampunan”

(Riwayat al-Tirmizi, di nilai hasan oleh al-Albani)

Apa yang Allah tawarkan ini bukanlah bermaksud untuk menggalakkan kita untuk buat dosa, tetapi sebagai semangat untuk orang kecewa dengan kesalahan diri dan ingin kembali kepada Allah.

Ya, saya akui, kadang-kala apabila kita sudah menyesal dan insaf akan dosa kita, kita dah berazam tidak mahu lakukan lagi, namun pada suatu hari kita tergelincir lagi melakukan dosa yang sama.

Nabi bersabda dalam sebuah hadis Qudsi yang  bermaksud,

“ Seorang telah melakukan satu dosa, lalu dia berkata:

“Wahai Tuhanku ampunilah dosaku.”

Lalu Allah azza wa jalla berfirman:

“Hamba-Ku melakukan dosa dan dia mengetahui bahawa baginya Tuhan yang boleh mengampun dan menghukumnya ,( dalam riwayat yang lain ditambah: Aku ampunkan dosanya).”

Kemudian dia kembali melakukan dosa yang lain, dia berkata: 

“Wahai Tuhanku aku telah melakukan dosa ampunilah dosaku.” 

Lalu Allah berfirman: 

“Hamba-Ku melakukan dan dia mengetahui bahawa baginya Tuhan yang boleh mengampun dan menghukumnya (dalam riwayat yang lain ditambah: Aku ampunkan dosanya).” 

Lalu dia melakukan dosa sekali lagi, dia berkata:

“Wahai Tuhanku aku telah melakukan dosa ampunilah dosaku.”
Lalu Allah berfirman: 

“Hamba-Ku melakukan dan dia mengetahui bahawa baginya tuhan yang boleh mengampun dan menghukumnya, maka aku ampunkan hamba-Ku in, buatlah apa yang kau mahu Aku ampunkan engkau.”

(Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Allah Allah.. ampunkan la aku. :’(



Bagaimana mahu bertaubat?


Saya ada buat secebis nota mengenai bagaimana untuk bertaubat. Banyak cara sebenarnya, namun yang saya tulis adalah antara salah satu caranya. Di sini.



Penutup

Sebelum saya akhiri nota saya, teringat saya pada sirah baginda Rasulullah s.a.w. yang mana dahulu Abu Jahal menentang baginda sungguh-sungguh, namun anaknya Ikrimah masuk Islam lalu beliau menjadi sahabat baginda dan terkenal sebagai antara orang yang dekat dengan baginda Rasulullah s.a.w.

Ketahuilah, manusia yang tampil menentang Nabi s.a.w., lagi Allah terima taubatnya. Apatah pula sekadar manusia yang minum arak, berzina, hisap dadah dan sebagainya.

Bukanlah saya nak mengatakan itu semua baik, tidak. Tetapi saya nak memberitahu bahawa jika seseorang itu untuk kembali kepada Islam, kembali bertaubat kepada Allah, tiada halangan baginya untuk kembali kepada Allah.

Sama sekali tidak ada...


Moga Allah Redha.


Sunday 23 September 2012

Politik itu kotor..?





Bahang pilihanraya sama ada pilihanraya Umum (PRU) mahupun pilihanraya kampus (PRK) kini semakin hangat dan hangit di perkatakan.

Teringat saya ketika di awal sekolah menegah satu ketika dulu, saya gemar mengambil tahu hal-hal politik negara. Tetapi dengan keadaan yang masih mentah lagi, saya jadi pening dengan pertelingkahan parti-parti politik di Malaysia, terutama parti-parti yang dominan. Bukannya “peperangan” idea, tetapi “peperangan” fitnah, jatuh-menjatuhkan, label melabel, dan sebagainya. Sehingga pada satu tahap, saya sedih dengan keadaan orang Islam terutama ketika hampir PRU (Pilihanraya Umum).

Dan saya masih ingat lagi, ketika di tingkatan 4 dan masa itu di perpustakaan, saya membaca Utusan Malaysia (sekarang ada “nama” baru ye?) yang agak mainstream di Malaysia. Di muka hadapan, tajuknya agak “panas dan pedas” (baca : hot and spicy) walaupun saya dah lupa apa tajuknya. Apabila baru nak membaca akhbar tersebut, tiba-tiba datang seorang sahabat baik saya dan menyapa saya lalu menegur,

“Kau baca pasal apa ni? Pasal politik ke? Ala..tak payah ambik tahu la. Bapak aku kata, bukan kita tahu pun siapa yang betul, siapa yang salah. Aku tak ambik tahu pun, kalau bapak aku beli surat khabar, aku baca sukan je.

Lebih kurang begini dialognya, dan saya mula terfikir. Sejak dari saat itu, saya terus tidak ambil peduli mengenai politik negara. Musim pilihanraya Umum adalah musim paling bosan bagi saya, tidak seperti dahulu. Bagi saya, politik itu kotor. Buat apa nak ambil tahu, biarlah orang lain ambil tahu.

Dan keadaan itu berterusan sehingga saya menjejakkan kaki ke universiti, barulah saya ada kesedaran “sivik” semula betapa pentingnya ambil tahu urusan politik negara mahupun kampus, meskipun kita tidak terlibat di dalamnya.



Politik itu kotor?


Jika di tanya saya, jawapan saya,

Politik itu tidak kotor, tetapi Politik Kotor itu yang kotor”

Ya, politik kotor itu yang kotor. Sebabnya, politik yang tidak kotor adalah politik yang berlandaskan al-Quran dan As-Sunnah, atau lebih di kenali sebagai Politik Islam. Kalau dalam bahasa arabnya, “Siyasah Syar’iyyah”.

Untuk saya jelaskan apa itu Politik Islam, konsep-konsepnya, dalil-dalilnya dan sebagainya, maka saya bukan ahlinya. Saya baru belajar, dan bukan bidang saya untuk membincangkan terlalu detail. Rujuk orang yang ahli dalam bidang ini, bukannya ahli politik semata-mata.


Kenapa ambil tahu tentang politik?


Kadang-kadang ada sahabat saya bertanya saya, kenapa ambil tahu hal perihal politik. Bukan ke politik hari “caca merba” seperti yang dikatakan Prof. Madya Dato. Dr MAZA ? Ya, politik hari ini, terutama di Malaysia memang caca merba, tetapi di sebabkan oleh tangan-tangan manusia yang tidak mengenal halal dan haram.

Tetapi ini tidak bermaksud kita tidak perlu ambil tahu langsung. Kena ambil tahu, sebab kita hidup bermasyarakat, terutama mahasiswa/i yang so called berintelektual tinggi atau minda kelas pertama. Siapa lagi yang akan memegang tampuk pemerintahan kelak? Adakah kita mahukan penagih dadah, perompak, penyamun dan sebagainya yang memerintah? Saya tidaklah menghina mereka, tetapi rasanya kita boleh berfikir secara logik akal sendiri tanpa saya mengeluarkan dalil-dalilnya.

Mungkin sesetengah daripada masyarakat, bahkan mahasiswa/i sendiri akan berfikir bahawa politik itu kotor dan jijik. Ketahuilah, berpolitik itu bukanlah sesuatu yang buruk atau dikeji oleh syariah. Ia termasuk dalam tanggungjawab Islam juga. Ia adalah fardu kifayah. Rasulullah dan para sahabat pun berpolitik demi amanah Islam. Apa yang dikeji ialah gila berpolitik atau tamakkan jawatan sehingga melupai dasar- dasar agama. (Prof. Madya Dato. Dr MAZA, Siyasah Perubahan Dengan Maslahah)


Politik Kotor


Sungguh, saya masih mentah lagi dalam dunia politik. Dan cuba untuk “update” dari masa ke semasa. Namun, berdasarkan pemerhatian dari kaca mata seorang yang dhaif ini, fenomena iklim Politik Kotor yang berlegar di ruang angkasa Malaysia sudah meresap dengan kadar yang bahaya untuk kesihatan di dalam kampus, tidak kira mana-mana kampus pun (woha!).

Maka pandangan saya ini menjurus kepada pemerhatian di kampus. Antara Politik Kotor yang “di amalkan” di kampus adalah sikap jatuh menjatuhkan dan fitnah menfitnah. Dari saya tahun pertama, sehinggalah saya tahun akhir, saya masih tertanya,

“Untuk apa kita jatuhkan seseorang jika manifesto atau matlamatnya adalah untuk kebajikan mahasiswa sendiri?”

Soal niat itu, kita ketepikan dahulu. Kerana itu antara dia dan Allah. Sedangkan politik ini di bina adalah untuk saling bangun membangunkan antara satu sama lain. Ia sepatutnya seperti sistem “Simbiosis”, saling bantu membantu antara satu sama lain meskipun berbeza ideologi, fahaman, manifesto dan sebagainya selagi mana ia tidak berbeza matlamat utama. Bukannya bersifat “Parasit”.

Saya bercakap secara umum, siapa makan cili, dia terasa. Siapa yang terasa, padan muka (woha!).
 

Kepada “Kerajaan” dan “Pembangkang” mahupun “Bebas”.



Berpolitik lah dengan iman dan taqwa, dengan matang dan bijaksana, dengan hujah dan idea, dengan semangat dan akhlak dan dengan matlamat dan masa depan.

Demi meninggikan semula panji-panji Islam yang kian di patah-patahkan,

demi mengejutkan semula ummah yang kian jauh dari kefahaman Islam yang sebenar,

demi mendirikan semula Tamadun Islam yang hilang di telan zaman,

dan demi memastikan keadilan Islam di rasai oleh segenap makhluk di seluruh cakerawala.

Jauhkanlah dari berpolitik dengan politik jatuh menjatuhkan antara kawan dan lawan, fitnah memfitnah antara sesama Muslim dan sebaliknya, hina menghina antara sahabat dan musuh, juga hasad dengki antara Ulama’ dan Umara’.

Ingatlah pesanan Rasulullah s.a.w. dalam sebuah hadis yang bermaksud ;

“Jangan saling berhasad dengki, jangan saling menaikkan harga bukan untuk membeli, jangan saling membenci dan jangan saling belakang membelakangi (memutuskan hubungan), (tetapi) jadilah hamba-hamba Allah yang bersaudara. Seseorang Muslim adalah saudara kepada seorang Muslim yang lain. Dia tidak menazalimi, tidak membiarkan, tidak mengabaikan tanpa pertolongan dan tidak menghinanya. Takwa letaknya di sini – sambil menunjukkan kepada dadanya-. Sesorang sudah cukup jahat apabila dia memperlekehkan saudara seislamnya. Setiap darah, harta dan maruah orang Islam adalah haram (diceroboh) oleh orang Islam yang lain.”
(Riwayat Muslim daripada Abu Hurairah r.’anhu)

Untuk mahasiswa/i di kampus yang bertanding, corak politik anda semua sedikit sebanyak mempengaruhi corak politik negara. Jika politik kotor yang anda pilih untuk di amalkan, maka saya khuatir politik kotor jugalah yang sentiasa bermahasultan sampai bila-bila di Malaysia.

Ayuh, ubah paradigma anda. Fikir tujuan anda hidup, dan fikir tujuan anda berpolitik. Untuk diri anda atau untuk kepentingan ummah?


Kepada “Atas pagar” dan “di luar kawasan (tidak ambil tahu hal semasa)”


Pemimpin masa hadapan bermula dengan generasi maha kini. Pilihlah pemimpin yang di yakini adil dan saksama dalam melaksanakan amanah yang di beri. Walaupun hanya sekadar pemilihan Majlis Perwakilan Mahasiswa.  Anda yang menentukan kebajikan anda semua (termasuk saya).

Dan jika anda tidak mengambil tahu urusan umat Islam, maka dengarlah amaran dari junjungan kita Rasulullah s.a.w. dalam sebuah hadis yang bermaksud

“Sesiapa yang tidak menghiraukan hal ehwal umat Islam, maka dia bukan daripada kalangan mereka”
(Riwayat ath-Thobarani daripada Huzaifah bin al-Yaman)



Dan saya?


Saya sedar dan akui, suara saya hanyalah kecil, sekecil semut di dalam ribuan kerengga. Bahkan jutaan barangkali. Namun saya tetap ingin meluahkan pendapat dan seruan saya yang mungkin tidak bernas di mata sesetengah pihak.

Akhir sekali, saya menyeru anda semua agar menyertai dalam sebuah kerangka gerak kerja yang lebih besar daripada sebarang parti politik, jemaah mahupun organisasi. Penyertaan yang saya serukan ini tidak memerlukan anda meninggalkan apa yang anda sudah sertai, dengan syarat organisasi itu tidak menyanggahi al-Quran dan Al-Sunnah, iaitu bekerja ke arah tajdid dan islah, PEMBAHARUAN DAN PEMBAIKIAN.*


Ketahuilah, kita dilahirkan sebagai ahli politik meskipun kita tidak berparti. (Dr Maszlee Malik, Konvensyen Fiqh Politik 2012)


Semoga Allah Redha.







p/s :
1. * edit sedikit daripada artikel Prof. Madya Dato. Dr MAZA, Fikrah merentasi Jemaah.
2. Disclaimer: Saya tidak berpihak kepada mana-mana blok.