Sunday 4 September 2011

Suasana belajar dan agama..?

(menyambut pelajar-pelajar baru di universiti xyz, kemudian selepas penat ke hulu ke hilir di bawa oleh krew-krew atau fasilitator, di bawa ke dewan utama untuk dengar sedikit ucapan dari pengarah unit kerohanian)


Asalamulaikum pada para hadirin sekalian, yang di muliakan Timbalan Naib Canselor, Prof. Dr. Abc, yang pakai baju kemeja putih tu, yang berbahagia, pengarah bahagian setiap unit, dan yang di hormati, pensyarah-pensyarah yang hadir, abang-abang dan kakak-kakak fasilitator, dan semua adik-adik yang baru datang.

Asalaaaaaaaaamulaikum, warahmatullahiwabarakatuh.

(para hadirin menjawab salam secara bergemuruh)

Dah penat berjalan ke sana ke sini, dah berpeluh ketiak baju kemeja dan baju kurung masing-masing, orang perempuan pun make up dah ada yang pudar, gincu pun dah tertenyeh ke pipi letika lap peluh.., jadi sebelum kita makan tengahari sebentar nanti, kita dengar ucapan dan tazkirah sepatah dua kata dari saya yang dijemput khas, karang jika bagi makan dulu, takde siapa yang nak dengar pula.., jadi sila sabar sikit kerana terpaksa dengar ucapan dan ceramah dalam keadaan penat, saya pun lapar jugak..

(hadirin ketawa kelaparan)

Saya nak panggil adik-adik atau anak-anak ye? Di sebabkan saya masih muda dan bujang lagi, maka saya panggil adik-adik la.

Ok baiklah, adik-adik yang saya hormati sekalian,

Sebelum itu, saya ucapkan selamat datang ke teratak universiti xyz yang menjadi kebanggaan negara kita. Adik-adik antara yang dipilih oleh Allah secara hakikatnya untuk meneruskan misi pembelajaran adik-adik untuk menuntut ilmu.

Ha, adik yang pakai necktie yang longgar tu, apa maksud ilmu?

(adik yang pakai necktie longgar tu kelam kabut tersadar dari tidur selepas di kejut rakannya di sebelah dan terus berdiri serta terpinga-pinga. Adik-adik yang lain banyak sudah ketawa)

Ha, takpelah. Saya tak nak bercerita tentang apa maksud ilmu. Saya nak adik-adik semua cari sebagai antiklimaks untuk ucapan saya hari ini.
Dalam apa jua perkara yang hendak kita lakukan dalam hidup ini, kita sangat memerlukan 2 elemen yang tersangat penting ini untuk memastikan kita mencapai visi dan misi kita dalam melakukan apa jua perkara. Jadi apa itu elemen-elemennya?

2 elemen yang saya katakan sangat penting ini adalah,

Suasana dan sahabat

Sekali lagi saya ulang,

Suasana dan sahabat

Suasana diperlukan untuk kita berasa lebih mudah, selesa dan kondusif serta untuk mengekalkan visi dan misi kita supaya ia tak lari daripada apa yang kita sasarkan dan apa yang telah ditetapkan.

Sahabat pula diperlukan untuk sentiasa memberi dorongan, sokongan, idea, bantuan juga peringatan kepada kita jika kita mula tersasar dari landasan visi dan misi yang telah ditetapkan.

( adik-adik kelihatan terpinga-pinga dalam keadaan lapar dengan elemen yang diberitahu)

Ok lah, nampak macam adik-adik tak faham kenapa dua elemen ini penting. Saya bagi contoh yang dekat.

(berhenti sekejap sambil minum air)

Jika adik nak menjadi seorang doktor yang professional, adik hendaklah banyak kali berada di hospital supaya fikiran adik akan lebih menjurus kepada kedoktoran. Dan di situ sudah pasti adik kenalah rapat dengan doktor-doktor yang lain supaya visi dan misi adik sebagai seorang doktor tak keluar dari landasannya.
Namun jika adik hendak menjadi seorang doktor yang professional, kemudian adik banyak kali berada di bengkel kereta, dan banyak bersahabat dengan mekanik-mekanik yang lain, maka adik susah sangat untuk mencapai visi dan misi adik. Dan selepas tu jadi mekanik jugak..

(suasana kelihatan tegang, dan sesetengah  adik-adik kelihatan serius macam muka marah, maklumlah ramai yang ambil mekanik, lantas beliau berseloroh..)

Contoh3..

(adik-adik ketawa semula kerana ingatkan tiada kaitan dengan mereka. Haha.. )

Seperti juga untuk adik-adik yang sudah bergelar mahasiswa-mahasiswi ni, antara fokus utama adik datang ke universiti adalah untuk menuntut ilmu dunia. Namun jangan lupa fokus paling utama untuk mencari ilmu agama demi kebahagiaan akhirat adik nanti.

Jadi untuk menjadi seorang mahasiswa yang cemerlang dari sudut akademik, adik-adik hendaklah mewujudkan suasana belajar dikalangan adik-adik sendiri terutama di fakulti atau kolej masing-masing. Suasana ini takkan tercetus atau wujud jika adik-adik tak mahu wujudkan dengan inisiatif adik-adik sendiri. Kemudian bila suasana belajar dah wujud, kelompok “study group” merata sana sini, budaya bertanya pensyarah dah jadi seperti makan nasi, budaya fokus dalam kuliah dan bilik tutorial dah seperti fokus ketika menonton wayang, maka ketika itu adik-adik hendaklah mencari sahabat-sahabat yang sama course dan boleh belajar bersama-sama adik. insyaAllah, visi dan misi adik sukar untuk keluar dari treknya jika suasana dan sahabat yang dipilih tepat dengan apa yang dikehendaki..

Penting tak dua elemen ni adik yang tak pakai necktie tu?

(terpinga-pinga kerana baru lepas berbual dengan rakan sebelahnya dan terus berdiri dan tersenyum kambing..)

Penting.., belajar ilmu dunia ini penting..tapi ada perkara lagi penting, iaitu tentang ilmu agama. Kalau takda ilmu agama, macam mana nak solat, zakat, haji dan bla3.. kemudian jawablah sendiri masa dalam kubur nanti.

Di universiti, mahasiswa dan mahasiswi bukan dilatih sekadar untuk cemerlang dalam akademik, tapi yang paling utama adalah menjadi orang yang cerdik.. Siapa orang yang cerdik tu?

Dari Syaddaad bin Aus dari Nabi s.a.w., baginda telah bersabda yang bermaksud : Orang yang cerdik ialah orang yang bermuhasabah diri dan ia beramal untuk hari-hari selepas mati. Orang yang lemah ialah mereka mengikut hawa nafsunya dan ia berangan-angan keatas Allah.
(Riwayat Imam Tirmidzi dalam buku Empat Puluh Hadis: Penawar Hati susunan Abu Ali Al Banjari An Nadwi.)

Maka, suasana agama ini juga wajiblah diwujudkan bukan sekadar di fakulti ataupun kolej, malah di kampus khususnya. Atau orang biasa panggil biah solehah..

err, siapa yang ambil pengajian bahasa arab, betul tak saya cakap bahasa arab ni? Maaf la, saya tak reti berkomunikasi bahasa arab.

(bergema suara pelajar mengatakan betul dan ramai yang mengangguk kepala)

Jika suasana agama ini tiada, maka sukar untuk mencari sahabat-sahabat yang dahagakan ilmu agama ataupun a’lim dan wara’ dalam bidang agama. Lalu, suasana pembelajaran akan jadi penuh dengan maksiat, sebagai contoh belajar berdua-duaan yang bukan mahram di tempat tertutup, dan sebagainya.

Bagaimana nak hidupkan suasana agama ini?

Antaranya yang saya boleh bagi contoh, bagi yang lelaki, ketika masuk waktu solat, dan dengar azan di masjid atau surau di kolej dan fakulti, terus la pergi solat berjemaah. Bukannya lama sangat, jangan menghadap assignment atau laptop 24 jam. Kemudian bila ada ceramah-ceramah agama di masjid atau surau kolej dan fakulti, hadirkan diri. Dari situ secara tidak langsung boleh kita mencari sahabat-sahabat yang rajin ke masjid atau surau kolej dan fakulti.

Bagi yang perempuan pula, kalau berada di bilik, terus solat awal waktu. Kalau di fakulti atau berhampiran masjid, dengar azan terus la pergi. Jangan melengah-lengahkan lagi, nak pergi makan la, shopping la. Kalau tengah makan tu tercekik lepas tu jadi mayat, nak cakap apa dekat kubur?
(suasana jadi tegang seketika..)

Lepas tu tutup aurat dengan sempurna, janganlah terdedah sana sini. Kata al imam ghazali,
“Cara hidup kita di dunia adalah bayangan cara kehidupan kita di Akhirat nanti”
 
Kemudian, adik-adik carilah abang-abang atau kakak-kakak atau sesiapa yang pandai dalam bidang agama untuk dijadikan sahabat. Seperti Rasulullah s.a.w. bersabda yang maksudnya,
Abu Musa al-Asy'ari, bermaksud: “Diumpamakan rakan yang soleh dan rakan yang jahat ialah seperti (berkawan) dengan penjual minyak wangi dan tukang besi. Penjual minyak wangi tidak akan mensia-siakan anda, sama ada anda membelinya atau hanya mendapat bau harumannya. Tukang besi pula boleh menyebabkan rumah anda atau baju anda terbakar, atau mendapat bau busuk.” (Riwayat Bukhari)
 
Selain tu, “Seseorang itu adalah mengikut agama temannya, oleh itu hendaklah seseorang itu meneliti siapa yang menjadi temannya.” (Hadis riwayat Abu Daud).
 
InsyaAllah, jika suasana agama dan sahabat yang beriman dapat di wujudkan, maka adik-adik sebagai mahasiswa dan mahasiswi dapat mengekal fokus visi dan misi paling utama kita sebagai seorang manusia iaitu untuk beribadah kepada Allah dan menjadi khalifah di atas muka bumi ini. (rujuk surah ad dzariyat dan surah al baqarah)
 
(muka kembali bosan..)
 
 
***

Di pendekkan cerita, akhirnya ucapan juga tazkirah sempena menyambut pelajar-pelajar baru untuk sesi unit kerohanian habis jua, pelajar-pelajar dan fasilitator semua mulai pergi makan makan, berborak, buat lawak, minum air, dan masing masing bersedia untuk program yang telah dirancang seterusnya oleh pihak pentadbiran.

Sampai kolej malam tu, roommate sebilik cakap makan tengah hari sangat sedap, kemudian dia tanya tadi tazkirah apa sebab dia tertidur penat.., err, tak ingat, banyak sangat point, tapi ceramah ustaz atau pegawai unit kerohanian tu sungguh kelakar..

Kesimpulannya: Jika korang tak ingat apa apa dalam tazkirah, melainkan kelakar, baik periksa diri masing masing, adakah aku telah benar benar wujudkan suasana agama dan mempunyai sahabat-sahabat yang benar akidahnya dalam kehidupan aku seharian untuk menjadikan aku seorang hamba Allah yang benar-benar beriman sepertimana orang yang telah beriman dengan sebenar-benar iman…….


Selamat menyambung pelajaran ke medan universiti bagi yang akan datang untuk sesi kali ini. Selamat datang kami ucapkan..


Shukery, biskotmayat. Woha!