Tuesday 26 February 2013

Cerpen : Syukur


Aiman merupakan salah seorang jutawan Malaysia. Namanya sering berada di dada akhbar. Syarikatnya menjadi antara syarikat peneraju ekonomi Malaysia. Namun, hatinya selalu gusar dan gelisah. Berfikir tentang keselamatan diri dan keluarganya, hartanya, tekanan pejabat dan pekerja, masalah syarikat dan pelabur, serta 1001 masalah lagi.
 

Danial pula merupakan seorang anak kampung yang hidup dalam serba kemiskinan. Dia mempunyai ramai adik beradik, atas sebab tu dia berhenti belajar sebab mahu bekerja demi menyara keluarganya. Dia hanya ada basikal tua untuk pergi kerja dan gajinya hanya cukup member makan sekeluarga untuk sehari. Ibarat kais pagi makan pagi.


--


Satu hari, Aiman bertekad untuk bercuti ke kawasan pedalaman. Dia mula membawa kereta Mercedes nya bersama keluarga pergi bercuti. Sepanjang perjalanan, dia masih lagi berfikir tentang urusan di syarikatnya.

 

Ketika Aiman melalui suatu perkampungan, tiba-tiba dia ternampak seorang pemuda yang menunggang basikal tua di tepi jalan. Hatinya berbisik,

 

"Alangkah tenangnya kalau aku jadi pemuda tersebut.Tak perlu fikir banyak sampai serabut, cukup sekadar kerja yang ada. Boleh luang masa banyak bersama keluarga, tiada orang nak dengki, tiada orang nak merompak. Seronoknya jadi pemuda miskin tu.."


--


Ketika Danial sedang menunggang basikal untuk pergi kerja, tiba-tiba dia ternampak seorang pemuda memandu kereta Mercedes. Hatinya berbisik,

"Alangkah seronoknya kalau aku jadi pemuda itu. Hidup kaya raya, tak perlu fikir macam mana nak cari duit. Nak beli apa-apa pun senang, boleh bahagiakan ibu dan ayah, boleh besarkan anak-anak dengan selesa, ada duit banyak boleh pergi bercuti sana sini. Seronoknya jadi pemuda kaya tu.."

---

Moral of the story :

1. Bersyukur dengan nikmat yang Allah beri. Jangan terlalu membandingkan nikmat yang ada pada kita dengan orang lain, tetapi belajar bersyukur dengan nikmat yang Allah kurniakan kepada kita. Kerana itulah yang terbaik untuk kita.
2. Kebanyakkan orang mungkin boleh bersabar apabila diberi pelbagai ujian, tapi kebanyakkan orang juga tewas untuk bersyukur apabila diberi pelbagai nikmat.. Allahu Rabbi..

Moga amal diterima Allah. :)
 

Thursday 14 February 2013

Cerpen : Aku, Mereka, dan Hari Valentine's.




“Krinnggggggggg”

Alarm telefon berbunyi.

Jam menunjukkan pukul 5.30 pagi. Aku segera bangun, dan minum air masak, dan terus mengambil wuduk untuk solat sunat. Sebelum aku solat, aku mengejutkan rakan sebilik aku, Amirul, untuk solat sunat bersama.

“Weh Mirul, bangun. Dah pukul 5 lebih ni. Kau dah berapa minggu tak tahajud.”

“Hmm.. aku ‘puasa’ hari ni..” Amirul menyambung tidurnya semula.

“Puasa apa? Puasa sunat ke “puasa” tahajud?. Hish kau ni.” Aku merungut sendirian.

Aku terus mengerjakan solat sunat sehingga waktu subuh, dan terus bergegas ke surau untuk solat subuh berjemaah. Sebelum aku pergi ke surau, seperti biasa aku akan mengejut Amirul untuk pergi bersama. Dan seperti biasa juga, Amirul akan minta aku kejut selepas aku balik dari surau.

Aku hanya menggelengkan kepala saja, dan terus melangkahkan kaki ke surau. Pulang saja dari surau, aku mengejutkan lagi Amirul.

“Wei, bangun lah. Dah nak pukul 7 ni. Kau nak solat pukul berapa. 10 pagi ke?” Aku sedikit geram dengan “kedegilan” Amirul untuk bangun pagi.

“Hmmmmm... 5 minit, 5 minit..” Amirul terus memberi alasan.

Tiba-tiba terlintas dalam kepala ku satu idea untuk mengejutkan Amirul. Aku tersenyum sendirian. Dengan segera aku mengambil al Quran di atas meja, dan aku duduk di sebelah Amirul.

“Yaa sin...”

Terkejut Amirul. Dia terus bangun dan duduk.

“Aku belum mati lagi lah.” Amirul menggosokkan matanya.

“Oh yeke. Aku ingat dah “pergi” tadi. Orang yang dah mati je tak solat subuh. Hehe.” Aku tersengih memandang Amirul.

Amirul bangun dan bergegas ke bilik air. Aku bersiap-siapa untuk berjongging. Pagi itu aku memulakan hari seperti biasa, dengan tahajud, solat subuh berjemaah, dan berjogging. Cuma bezanya aku tidak puasa sunat khamis hari ini. Pentingnya tarbiyyah diri sendiri sama ada dari sudut rohani dan jasmani untuk sentiasa kekalkan diri dalam trek dakwah ini.


Selepas jogging, aku pergi ke cafe untuk sarapan. Kemudian, aku berjalan kaki pulang ke bilik. Aku melihat jam sudah pukul 9.30 pagi. Dalam perjalanan, aku berjumpa dengan jiran depan bilik aku, Razi.

“Eh, hensem gila kau pagi-pagi ni. Nak ke mana? Kuliah belum start lagi, semangat sangat kau ni. Hehe.” aku kehairanan melihat penampilan Razi pagi ini.

“Ha, kau pun nak ceramah aku juga ke pagi ni?” Tiba-tiba Razi seolah marah kepada aku.

Aku hairan.

“Aik, kau dah kenapa. Aku tanya kau nak ke mana je. Jangan marah. Aku gurau je tadi.”

“Hmm, aku nak pergi jumpa awek aku hari ini. Hari ini kan Valentine’s Day. Jadi, aku nak belanja awek aku makan.” Jawab Razi. Aku baru teringat hari ini 14 Februari.

“Oh yeke.. tapi kan...” belum sempat aku menghabiskan bicara, Razi sudah memotong.

“Ye aku dah dengar Valentine’s Day tu haram, baru pagi tadi Amirul ceramah kat aku. Tapi aku bukan nak sambut Valentine’s Day ni sangat. Lagipun, takde fatwa yang kata haram. Dan aku keluar dengan awek aku pun bukan buat maksiat. Ok lah, aku gerak dulu. Nanti lambat pula.” Razi terus bergegas pergi ke pondok bas dan meninggalkan aku.

Aku geleng kepala.

“Moga Allah beri kau hidayah. Amin..” bisik aku dalam hati.

***

“Kau tengah buat apa tu? Dari tadi aku tengok kau mengadap laptop je. Nak kata study, macam pelik pula kau study waktu cuti sem ni.” Aku memandang Amirul.

“Ni ha, aku tengah share pasal haram sambut hari Valentine’s Day. Kasi satu dunia tahu terutama budak depan bilik kita tu tahu dan faham yang sambut hari Valentine’s Day ni haram haram dan haram!” Amirul melepaskan marahnya pada aku.

Aku geleng kepala sahaja.

“Kau bagi kuliah dhuha kat Razi ke pagi tadi?” Aku tiba-tiba teringat perbualan pagi tadi dengan Razi.

“Ha’ah. Ada ke patut nak belanja awek dia sempena hari Valentine’s Day ni. Berderau je darah aku. Buat penat je aku share banyak-banyak malam tadi. Dah la aku baru lepas mandi masa tu. Dengan pakai towel masa tu, aku bagi kuliah dhuha kat dia. Lepas tu dia terus blah. Ni aku nak share lagi sekali, siap aku share kat wall dia lagi. Biar kasi tambah perisa.” Amirul mendegus sambil tergelak.

Aku menarik nafas keluh. Kemudian aku gelengkan kepala.

“Kau dah baca kitab Raheeq al Makhtum tu sampai habis?” aku tanya Amirul sambil mencari ubat aku.

“Hmm.. baru habis 2 hari lepas. Kenapa? Kau nak pinjam ke? Bukan ke kau dah khatam 2 kali? Kau nak jadi al Hafiz Raheeq al Makhtum ke? Hehe” Amirul tersengih kepada aku.

Aku tersenyum.

“Apa ibrah kau dapat dari buku tu?” aku meneruskan cari ubat aku.

“Ibrah? Banyak sangat. Kalau aku bagi kuliah kat kau, habis satu semester nanti. Hehe” Amirul tersengih kehairanan dengan soalan aku.

“Apa yang Rasulullah sallallaahu alayhi wa sallam respon apabila orang jahiliyyah masa tu menolak dakwah baginda, bahkan menghina baginda? Baginda share di facebook ke?” Aku sudah jumpa ubat aku, kemudian aku memandang muka Amirul yang kehairanan. Aku tersenyum.

“Errr….” Amirul terdiam seketika.

“Amirul, kau tengok ubat yang aku pegang ni. Ubat ini pahit sangat. Sumpah pahit gila. Aku sendiri tak larat nak makan, tapi aku makan juga sebagai ikhtiar aku nak baik. Sama juga seperti dakwah ilallah dan nasihat kepada manusia, ia sangat pahit untuk diterima manusia terutama yang masih terbelenggu dalam jahiliyyah. Tak mudah untuk mereka menerima begitu sahaja. Hanya orang yang benar-benar nak berubah menjadi baik sahaja akan terima.” Aku memulakan bicara kepada Amirul sambil memakan ubat darah tinggi.

“Jadi bagaimana nak mengajak manusia untuk makan ubat yang pahit ni? Dengan cercaan? Makian? Hinaan? Share di wall facebook secara terang-terangan? Kalau kita buat macam ni, memang selamanya dia akan tolak kecuali dengan hidayah Allah. Tetapi adakah dalam sirah Rasulullah sallallaahu alayhi wa sallam, baginda buat sebegitu?” Aku tersenyum kepada Amirul.

Amirul tertunduk dan menggelengkan kepala.

“Sudah semestinya tidak. Kita hanya penyeru, bukan penghukum. Kita pendakwah, bukan mufti atau Qadi (hakim). Baginda adalah seorang pendakwah, baginda juga adalah seorang mufti dan Qadi. Tetapi adakah apabila berhadapan dengan golongan jahiliyyah, baginda terus menghukum mereka atau menasihat mereka dengan kasar atau sinis?

Kau lupa ke dengan kalam Allah yang mulia dalam al Quran, kitab pemutus antara haq dan batil, Allah berfirman yang bermaksud ;


“Serulah (manusia) kepada jalan Tuhan-mu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik.”
(surah An-Nahl, 16: 125)”.


Amirul mula mengalirkan air mata. Terbayang-bayang cercaan yang dilemparkan kepada Razi pagi tadi. Dia mula kesal.

Aku mendekati Amirul, dan menepuk bahunya.

“Amirul, kita manusia. Tak lepas dari buat kesilapan dan kesalahan. Dosa itu pasti kita akan lakukan samada kita sedar atau tidak. Tetapi, pandanglah kebaikan yang ada dalam diri Razi. Bukan Razi seorang sahaja, bahkan semua mad’u kau. Pandanglah dengan pandangan kasih sayang. Senjata utama dakwah kita adalah kasih sayang.

Disebabkan pandangnya Rasulullah sallallaahu alayhi wa sallam kepada kebaikan dalam diri seseorang, sebab itu baginda masih mendoakan Abu Jahal untuk masuk Islam, bahkan menguatkan Islam lagi. Sebab baginda sentiasa memandang kebaikan yang ada dalam diri seseorang. Tetapi hidayah Allah itu memecah segala-galanya. Umar al Khattab yang dipilih untuk terima Islam meskipun dia antara manusia yang ingin membunuh baginda.”

Amirul menangis. Air matanya tidak henti-henti mengalir.

“Ada orang nak bunuh kau tak? Hehe.” Aku bergurau untuk menghilangkan sedikit ketegangan.

Amirul tersenyum dalam keadaan mata yang merah.

“Sudahlah akhi, jangan menangis lagi. Aku pun masih dalam proses nak berubah. Kita sama-sama betulkan niat kita dan perbaharui cara dakwah kita lepas ini.” Aku memberikan senyuman semangat kepada Amirul.

Amirul tersenyum dan mengangguk.

***

Azan isyak sudah berkumandang.

Aku melangkahkan kaki untuk pergi ke surau. Dalam perjalanan, tiba-tiba aku terserempak Razi yang baru hendak pulang ke bilik.

“Assalamualaikum bro. Penat nampak? Atau penat dalam gembira yang tak terhingga sampai tak tahu nak kata apa? Hehe” aku bergurau sambil melemparkan senyuman kepada Razi.

Razi tersengih.

“Waalaikumussalam. Hehe, dalam hati ada fun fair. Hehe.” Razi berhenti dan bersalaman dengan aku.

“Wow, fun fair terus. Ok la, aku nak pergi surau ni. Jom pergi sekali?” Aku cuba mengajaknya meskipun aku tahu dia akan menolak.

“Err, aku penat lah. Nak mandi kejap. Nanti lepas solat, kau pergi cafe tolong belikan air dengan nasi goreng ya. Kang nanti aku bayar kat kau. Hehe. “

“Wah, jadi boss nampak. Haha, okay.”

Razi tersengih sekali lagi.

Aku senyum dan menggeleng kepala melihat gelagat Razi.

Usai pulang dari cafe, aku terus pergi ke bilik Razi dengan membawa makanan yang dipesannya dan mengajak makan bersama-sama di biliknya.

“Azmi, aku nak tanya sikit. Kenapa hari Valentine’s haram ek?” Razi memecah kesunyian kami berdua.

“Hmm.. kau tak baca post bersepah-sepah di facebook?” Aku sengaja menduganya.

“Err.. aku nak baca, tapi aku tak nak baca. Hehe” Razi menyambung makan.

Aku menggelengkan kepala.

“Kenapa perlu sambut hari Valentine’s?” Aku sengaja menjawab soalan dengan soalan.

“Errr.. meraikan kekasih kita. Mungkin, nampak macam sweet sikit.” Razi tersenyum kepadaku.

“Sweet sikit je, kalau tak meraikan lagi sweet banyak.”

“Ha, maksud kau Azmi? ”

“Maksud aku, sweet sikit sebab sweet yang sikit itu dosa, dan sweet yang banyak itu pahala.”

Razi memandang aku yang sedang makan.

“Kenapa kau kata macam tu? Mana kau tahu meraikan kekasih dapat dosa ke pahala? Walaupun tak bersentuhan tangan sekalipun.” Razi seolah tidak berpuas hati dengan jawapan aku.

Aku memandang tepat ke arah Razi.

“Bayangkan kalau kau tengah dating dengan awek kau, kemudian mak ayah kau dan awek kau ada di depan mata korang, apa yang korang akan buat? Jawab jujur.”

“Errr... kitorang tak jadi dating la.” Razi memandang ke arah lain.

“Kenapa pula?” aku sengaja menduganya.

“Sebab.. sebab nanti kena marah pula..”

“Kalau kau nak tahu, perkara yang kau buat tetapi kau rasa bersalah dan tak mahu orang lain mengetahui kesalahan yang kau buat, itulah dosa. Dan sebaliknya, itulah pahala.”

Razi terdiam.

“Razi, Rina adik perempuan kau kan? Bayangkan adik perempuan kau dating dengan lelaki yang kau tak kenal depan mata kau, bermesra dan bermanja, walaupun tak berpegangan tangan sekalipun, apa perasaan kau?”

Razi tertunduk.

“Jangan bohong aku. Aku pun ada adik perempuan. Kita semestinya geram. Sebab apa? Sebab dia adik perempuan kita, orang yang kita nak lindung, orang yang mana kita sayang. Sama juga macam awek kau, dia ada ayah, mungkin ada abang. Apa perasaan ayah dan abang dia juga emak dia kalau mereka tahu anaknya berdating dengan kau sampai malam.” Aku bangun dan duduk sebelah Razi. Aku menepuk bahunya.

“Aku tahu Azmi, aku tahu berdosa. Tapi Azmi, apa aku nak buat. Aku tak boleh tinggalkan dia macam tu je. Bukan mudah..” Razi mula menitiskan air mata.

Aku tersenyum. Di matanya yang berkaca itu, penuh dengan seribu keinsafan. Aku bersyukur kerana masih ada layar iman di dalam hatinya.

“Aku tak suruh kau tinggalkan terus. Tapi perlahan-lahan. Kita pun baru tahun 2. Ada lagi setahun pengajian. Banyak lagi kerja kita kena lakukan. Apa salahnya kau tinggalkan dia untuk setahun dua, kemudian kalau benar kau sayangkan dia, carilah dia semula, dan nikahilah dia.” Aku mula menenangkan Razi.

“Lagi satu, iman kita ni menaik dan menurun. Ada masa menurun sangat, dan ketika menurun tu, kita perlukan sahabat yang soleh untuk nasihat. Aku bukan orang yang soleh, tapi aku boleh bawa kau jumpa orang-orang soleh.” Aku tersenyum.

Razi memandang aku.

“Siapa? Kat mana?” Razi mula berminat dengan pelawaan aku.

“Setiap minggu, aku ada usrah. Usrah itu salah satu terapi jiwa muslim. Ia berfungsi sebagai penguat iman kita. Tapi aku tak kata usrahlah segala-galanya, tetapi sedikit sebanyak usrah dapat membantu kita. Dan kalau kau nak tahu, dengan usrah juga aku jadi seperti hari ini.” Aku menepuk bahu Razi.

Razi terdiam seketika.

“Aku nak join kau usrah boleh? Ada ketua ke dalam usrah tu?”

Aku tersenyum gembira. Alhamdulillah, maha suci Allah yang menurunkan hidayah kepada siapa yang Dia mahukan.

“Aku usrah di luar kampus dengan beberapa sahabat aku dan seorang ustaz. Ustaz aku tu ketua usrah aku. Nanti esok aku bawa kau jumpa dia. Boleh berkenalan sekali sambil minta nasihat dari dia. Aku ni tak pandai sangat bagi nasihat.”

Razi tersenyum.

“InsyaAllah. Terima kasih Azmi. Kalau kau nak tahu, sebenarnya, aku selalu mengharapkan ada orang datang nasihat kepada aku secara begini daripada orang menegur aku secara sindiran atau post di facebook dengan ayat cercaan atau kutukan.” Razi meluahkan sedikit ketidak puas hatiannya kepada aku.

“Biasa lah tu..” aku memeluk Razi. Menitis air mata aku.


“Mahasuci-Mu ya Allah, ampunkanlah kami...”


***

Moga amal diterima Allah.

Sunday 10 February 2013

Cerpen : Al kisah seekor ayam


Di sebuah kawasan hutan yang tak berapa hutan, terdapat 3 burung sekawan yang bersahabat baik sejak kecil lagi, iaitu Ayam, Bayan dan Merpati.

Sewaktu mereka sedang melepak-lepak di bawah pokok, tiba2 Merpati bertanya kepada ayamg satu perkara yang yang menjadi tanda tanya selama ini kepadanya.

"Eh, aku sebenarnya nak tanya sesuatu pada kau sejak dulu lagi."
Merpati merenung wajah ayam.

"Kau nak tanya apa?”
Ayam kehairanan dengan pandangan tajam Merpati.

"Hmm.. aku keliru, kau ni sebenarnya jenis apa ya? Burung atau apa? Sebabnya, kenapa kau tak boleh terbang tinggi macam burung-burung lain?”

Ayam terdiam.


Bayan tergelak kecil. Dia pun sebenarnya tertanya-tanya adakah Ayam ni spesis burung atau tidak. Melihatkan wajah Ayam yang tiba-tiba saja sedih, Bayan mula serba salah, lalu dia segera memujuk Ayam.

"Ayam, kau nak tahu tak, hari tu aku ada jumpa....”

Belum sempat Bayan menghabiskan kata-katanya, Ayam yang malu dan sedih, segera meninggalkan kawannya itu menuju ke suatu tempat.

Merpati dan Bayan mula cemas. Mereka segera mengejar Ayam tanpa banyak bicara.

Ayam berlari mencari pokok tinggi yang banyak dahan. Dia terjumpa sebuah pokok yang sangat tinggi dan mempunya banyak dahan di tengah hutan tu. Kemudian, dengan pantas dia melompat memanjat pokok tersebut dari dahan ke dahan untuk sampai ke puncak.

Merpati dan Bayan yang mengejar dari belakang terkejut dengan tindakan Ayam ingin lakukan.

Ayam kini berada di puncak pokok. Dia bersedia untuk terjun ke bawah kerana ingin membuktikan kepada Bayan dan Merpati bahawa dia boleh terbang seperti burung-burung lain.

Bayan dan Merpati panik, mereka mempercepatkan terbang sambil menjerit sekuat hati agar Ayam memberhentikan tindakan bodohnya itu. Tetapi tidak dipedulikan Ayam. Saat sahaja Ayam ingin terjun, tiba-tiba Bayan segera kata,

“Aku ada benda nak bagitau, mesti kau gembira kalau tahu..”

Ayam terdiam seketika. Dia memandang ke arah Bayan.

“Apa dia?”

Bayan dan Merpati akhirnya sampai hampir kepada Ayam. Mereka berdua tercungap-cungap kepenatan.

"Ayam... Aku nak bagitau kau yang kau ni sebenarnya terkenal di kawasan bandar meskipun kau tak tahu. Hari tu aku ada jumpa bangunan namanya KFC (Kentucky Fried Chicken), Ayamas, dan macam-macam lagi yang ada nama kau. Popular juga kau.”

Ayam terdiam seketika. Dia tersenyum dan akhirnya turun ke bawah. Dia bertanya kepada Bayan,

“Jom bawa aku pergi ke tempat tu. Aku nak tengok juga.”

---

Moral of the story ;

1. Kalau ikan hanya mampu berenang, jangan paksa dia untuk menjadi seperti monyet yang pandai memanjat pokok. Kalau tidak, selamany ikan akan menganggap dirinya gagal.

2. Setiap orang ada kemampuan tersendiri. Ada orang hebat akademik dan teori, ada orang hebat praktikal , ada orang hebat menghafal, ada orang hebat dalam memahami sesuatu perkara, ada orang bijat berniaga, dan lain-lain. Itulah ragam dan kelebihan manusia yang pelbagai.

Cari dan selamilah kemampuan kita. Setiap orang unik. Jangan lihat orang yang mendapat A itu bijak, dan yang tak mendapat A itu gagal.

Dunia ini luas, bukan sekadar dalam kuliah saja. :)

Moga amal diterima Allah.