Monday 12 November 2012

Gagal dalam peperiksaan?


 
Semasa saya tingkatan lima dahulu, saya bukanlah antara pelajar yang pandai. Bahkan saya pernah gagal dalam beberapa mata pelajaran semasa peperiksaan bulanan. Saya pernah termenung, kemana arah yang saya ingin pergi selepas SPM. Adakah ingin bekerja? Tidak, saya ingin sambung belajar. Saya ingin masuk universiti. Sehinggalah pada pertengahan tingkatan lima, saya mengetahui mengenai kolej matrikulasi, dan saya berazam untuk masuk ke situ. Walaupun pada awalnya pelbagai pandangan negatif yang saya terima, bahkan ada guru yang beritahu pada saya,



Matrikulasi ni susah. Nanti takut awak masuk situ, lepas tu kena buang dari situ.”



Saya tidak peduli, saya tetap hendak belajar ke situ. Dan akhirnya pada detik itu, saya cabar diri saya untuk mendapat straight A. Dan akhirnya ketika keputusan peperiksaan keluar, alhamdulillah saya dapat separuh daripada target saya. Tetapi dalam masa yang sama, sahabat-sahabat saya yang lain tidak berjaya dalam SPM, bahkan ada yang gagal. Saya rasa sedih, sebab saya gagal untuk membantu sahabat saya dapat keputusan yang baik.



Kini, sepanjang saya berada di universiti, saya mempelajari banyak perkara, dan antara perkara yang sangat penting adalah, saya memahami bahawa setiap manusia mempunya kebolehan (ability­) yang tersendiri. Setiap kebolehan seseorang tidak semestinya sama dengan orang lain.



Uniknya kita



Saya ada seorang sepupu yang sejak dari kecil lagi, saya tahu beliau memang tidak minat untuk belajar. Namun atas “desakan” persekitaran, beliau terpaksa juga untuk meneruskan persekolahan. Dan akhirnya keputusan SPM beliau agak teruk, namun perkara itu sudah dijangka oleh beliau sendiri, bahkan keluarganya juga. Saya pernah bertanya kepada beliau, lepas SPM apa yang dia ingin lakukan, pada mulanya dia sendiri masih keliru apa yang ingin dia capai.



Namun selepas SPM, ditakdirkan Allah, dia menyedari kelebihan yang ada dalam diri dia, iaitu dalam bidang automotif. Dia mula minat untuk membaiki kereta dan motosikal, dan akhirnya kini dia memasuki Institut Latihan Perindustrian (ILP) di Mersing. Apa yang menarik minat saya adalah, semasa saya menaiki kereta dengannya, jika ada kereta yang memotong kenderaan kami, melalui bunyi enjin kereta tersebut sahaja, dia sudah mampu meneka enjin apa yang dipakai kereta tersebut, jenis apa, kemudian sistem yang ada dalam kereta tersebut dan sebagainya. Saya kagum mendengar penjelasan dia, seolah-olah saya mendengar lecture oleh pensyarah saya. Saya tersenyum dan menyatakan dalam hati saya, inilah kebolehan yang Allah kurniakan pada dia dan alhamdulillah, dia menyedari.



Salah seorang murabbi saya adalah seorang ahli perniagaan. Dia mempunyai anak syarikatnya sendiri, iaitu Humaira Bookstore dan Maghfirah Sdn. Bhd. Beliau menjual buku-buku islamik, al Quran dan lain-lain. Apa yang saya ingin kongsikan bukan apa yang dia ada sekarang, tetapi apa yang beliau lalui sebelum ini. Sebelum beliau tercebur dalam dunia perniagaan, beliau seorang penuntut di Universiti Teknologi Petronas (UTP). Saya ringkaskan cerita, suatu hari beliau cuba untuk menjual buku-buku islamik di kampusnya, dan apa yang mengejutkan, beliau memperoleh keuntungan mencecah ribuan ringgit dalam masa beberapa minggu. Akhirnya, selepas berbincang dengan keluarga dan sahabat handai, beliau tekad untuk berhenti belajar di UTP. Kalau saya tidak silap, ketika itu beliau pada tahun tiga. Sebagai ganti kepada biasiswa yang beliau dapat sebelum ini, pihak UTP meminta untuk beliau membayar balik kesemua biasiswa yang beliau dapat. Kalau saya tidak silap, dalam anggaran ratusan ribu. Tetapi atas kesungguhan beliau pada kebolehan yang beliau ada, beliau dapat menyelesaikannya dalam masa kurang dua tahun hasil perniagaannya menjual buku!



Fahami kebolehan diri.



Setiap orang boleh berjaya dengan syarat dia faham. Dia faham akan dirinya, dia faham akan Islam yang dianutinya, dan dia faham mengenai situasi di sekelilingnya. Saya pernah tulis tentang perkara dalam nota Kita adalah Iron Man”.



Terokai dan fahami kebolehan kita sendiri, dan kita sendiri sahaja yang tahu kebolehan dan kelemahan anda.



Jika kita terokai sirah Rasulullah s.a.w., baginda antara manusia yang mampu mengesan kebolehan dan kelemahan orang lain. Ketika zaman baginda, ada pelbagai jenis kebolehan sahabat-sahabat baginda. Dan baginda menggunakan kebolehan para sahabat sesuai pada tempatnya. Sebagai contoh, ada sahabat yang kuat dalam ingatan (contohnya Abu Hurairah), maka baginda menyuruh agar beliau menghafal dan mencatat sebanyak mungkin hadis daripada baginda. Ada juga sahabat yang hebat dalam berperang (contohnya Khalid al Walid), maka di arahkan baginda untuk menjadi panglma perang. Dan banyak lagi jika kita mengkaji sirah agung baginda Rasulullah s.a.w.



Kenali diri kita, dan cuba fahami kebolehan yang ada pada diri kita, lalu aplikasikan pada tempatnya yang betul.



Ilmu bukan pada gred atau pointer.



Saya setuju dengan statement ini, tetapi ia bukannya lesen untuk kita tidak perform atau berjaya dalam peperiksaan. Bukannya lesen untuk kita gagal dengan teruk dalam peperiksaan. Usaha semampu-mampunya, sehingga ke kudrat yang terakhir, dan setidaknya jika gagal sekalipun di dalam peperiksaan, pastikan gagal dengan bergaya!



Ada sesetengah orang atau ibu bapa, keputusan cemerlang itu sangat di titik beratkan. Sehinggakan ada sebahagian anak-anak yang terasa seperti “buruh asing” yang belajar secara paksa demi memuaskan kehendak kelilingnya sehingga mengabaikan kebolehan yang ada pada diri dia.



Hasilnya, jika tidak mendapat keputusan yang cemerlang, sebahagian pelajar yang betul-betul kecewa akan melakukan tindakan yang luar dari jangkauan, sehingga ke tahap bunuh diri. Apa jadi pada kebolehan yang dia ada? Sudah pasti tumpul dan akhirnya hilang di telan masa. Perkara ini banyak berlaku di Malaysia.



Jika mendapat keputusan cemerlang di dalam peperiksaan, maka di anggap anaknya sudah pandai dan bijaksana, mampu menggarap keputusan cemerlang walaupun TIDAK SOLAT!



Ya, tidak solat. Berapa ramai yang mendapat A dalam subjek Pendidikan Islam, namun tidak solat? Atau cuai dalam melaksanakan solat?



Dan berapa ramai yang masih ingat lagi, apa yang di pelajari dalam apa-apa jua subjek masa semester lepas selepas tamat peperiksaan? Atau pada tingkatan yang lepas?



Bertindak sekarang!

Ada pepatah melayu menyatakan,


“Belakang parang jika di asah inikan tajam”



Ayuh, jangan mengalah walaupun hampir kalah! Mari kita cari sedaya mampu kebolehan kita dari pelbagai sudut. Sekiranya sudah jumpa, gilap sebaik yang mungkin. Kemudian gunakannya untuk manfaat umat Islam khususnya. Jangan gunakan kepada perkara yang boleh mendatang dosa dan kemurkaan Allah. Jika tidak, sia-sia sahaja kebolehan yang Allah kurniakan kepada kita.

Kalau masih tidak jumpa, teruskan mencari, dalam masa yang sama, sentiasa berdoa kepada Allah agar Allah tunjukkan kepada kita kemampuan dan kebolehan kita untuk digunakan untuk masyarakat dan Islam khususnya.


Moga kita dapat sumbangkan sesuatu kepada Islam atau keluarga kita sendiri. Jika tidak pun, sumbanglah sesuatu kepada diri kita, agar kita dapat menjawab pertanyaan di kubur dan di hadapan Allah kelak.





Moga Allah Redha.

Comments
4 Comments

4 comments:

  1. allahamdulillah,dpt juga saya temui motivasi yg memberi saya kesedaran untuk bangkit semula mencari keredaannya

    ReplyDelete
    Replies
    1. Alhamdulillah, Allah pilih saudari untuk terus tabah dan bangkit dalam menempuhi hidup2 seharian..

      moga berjaya.. :)

      Delete
  2. Ya Allah..Trima kasih atas motivation tuan..

    ReplyDelete