Thursday 15 August 2013

Saya benci ayah saya…




“Ibu, dekat makmal kita ada sorang abang ni namanya abang Hafiz. Dia pernah bekerja sama dengan ayah dulu, bawa van rokok. Saya minta tolong dia carikan ayah. Mana tahu boleh jumpa.” Saya bagitahu ibu tanpa saya terlintas ibu akan fikir lain dan terkilan.

“Kenapa kau nak jumpa ayah kau? Kau tahu kan ayah kau dah buat macam-macam dekat ibu.” Ibu mula menyuarakan rasa tidak puas hati dengan tindakan saya.

Saya terdiam.

Petang tadi sepanjang memandu sampai ke rumah, ibu meluahkan rasa marah dan sedih dengan sejarah lama. Sejarah antara ayah dan ibu satu ketika dulu. Ibu tidak setuju dengan tindakan saya hendak jumpa ayah saya semula dan ibu merasakan seolah saya seperti menyebelahi ayah.

Sedangkan tidak pernah.

Saya cuba minta ibu tidak perlu cerita lagi dan tukar topik, tetapi emosi ibu yang tidak stabil, ibu tetap meneruskan cerita dalam nada meluahkan perasaan.

Perasaan sedih, marah, kecewa.. semuanya bercampur baur.

Saya rasa serba salah dan menyesal buka topik tersebut. Saya minta maaf dengan ibu.

Saya rasa terkilan dengan tindakan saya tadi, tapi apakan daya.

Perasaan seorang wanita yang dikhianati suaminya satu ketika dulu, adalah perasaan yang sukar untuk digambarkan oleh seorang anak.

Seperti saya.

Ah.. saya benci apa yang berlaku dulu. Saya mengharapkan saya bukan anaknya. Saya benci ayah saya.

Tetapi……

Seburuk Mana Pun Dia.

Sampai sahaja rumah, saya termenung seketika. Memastikan rasional saya mengawal minda, agar tidak dipandu emosi yang tidak menentu.

Saya memang benci apa tindakan ayah satu ketika dulu kepada ibu saya hingga membawa penceraian mereka. Saya benci untuk tahu apa yang berlaku sebelum penceraian itu terjadi.  Tetapi ia suatu realiti yang pernah berlaku, dan saya tidak boleh lari dari itu.

Tetapi..  seburuk mana pun ayah saya, dia tetap ayah saya. Meskipun kalau dia menjadi Firaun sekalipun, dia tetap ayah saya.

Dan itu fakta yang tidak dapat diubah dan saya kena menerimanya.

Tetapi saya sedar dan faham, bahawa tidak WAJIB untuk saya menyayangi bapa saya, hatta ibu saya sendiri!

Allah tidak suruh itu. Sebab apa?

Sebab kasih sayang mustahil boleh dipaksa tanpa asasnya. Mana mungkin seorang anak yang tidak diberi nafkah, diabaikan, tidak dijaga, dibiarkan malah pernah satu ketika hendak dijual dahulu, mampu membuta tuli menyayangi orang yang tidak menyayangi kita!

Tetapi Allah meletakkan kewajipan sebagai anak untuk berlaku IHSAN, BERBUAT BAIK dan MENGHORMATI ibu bapa. Ia bukan balasan kepada kebaikan ibu bapa terhadap kita, tetapi ia adalah suatu KEWAJIPAN dan TANGGUNGJAWAB kita sebagai anak, walau seburuk mana pun dia!

Tugas Seorang Anak


Ya, saya tenangkan diri sendiri.

Tugas saya sebagai seorang anak hanyalah tetap menghormati , menjaga kebajikan, mentaati dan memelihara serta memenuhi keperluan mereka selagi ia dibenarkan Syariat.

Biar kejam seorang ayah,
Biar curang seorang ibu,
Biarpun kafir dan sundal ibu dan ayah itu!

Bukan tugas seorang anak untuk menghukum mereka. Segala dosa mereka, kelalaian mereka, dan serba serbi kesalahan dan kekurangan mereka, mereka akan bertanggungjawab di depan Allah tentang apa yang mereka telah lakukan.

Rantai Kebencian


Jika di dunia ini hanya ada ibu bapa dan anak-anak sahaja, nescaya ibu bapa jahat akan sentiasa menzalimi anak-anak, dan anak-anak akan membalas dendam terhadap ibu bapa.

Sebab itu segala perkara akhirnya perlu dirujuk kepada DIA, Tuhan Pentadbir sekalian Alam.

Kita memohon keampunan kepada Allah agar Allah mengampunkan mereka. Jika ibu bapa kita jahat sekalipun kepada kita, kita mesti memberi MAAF TANPA SYARAT seperti mana Allah mengampunkan kita tanpa syarat.

Jika jiwa kita sempit untuk memaafkan ibu bapa kita, nescaya Allah jua akan menyempitkan keampunan untuk kita yang banyak dosa ini.

Menghormati mereka, cukup dengan kita TIDAK MEMBALAS kejahatan mereka dengan kejahatan kita. Sedangkan kita banyak berbuat jahat kepada Allah, tetapi Allah sentiasa Maha Tahu untuk “berbuat baik” kepada kita.

Maka, seorang anak tidak perlu ulang rantai kejahatan dan akhirnya melahirkan rantai kebencian yang berpanjangan sehingga ke anak cucu.

Kewajipan Tanpa Kasih Sayang

Sangat berat untuk melaksanakan sebuah kewajipan tanpa adanya rasa sayang.

Ya, sangat berat kerana saya sedang mengalaminya. Ingin melaksanakan sebuah tanggungjawab dan kewajipan kepada ayah saya dalam keadaan saya benci dan geram kepadanya.

Ia adalah sebuah beban.

Kewajipan adalah sentiasa melakukan perlakuan baik terhadap ibu bapa meskipun layanannya sangat teruk kepada kita. Kerana ia adalah TANGGUNGJAWAB anak sebagai anak yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat.

Kita perlu TANGGUNG beban itu dan kemudian kita JAWAB di Negeri Akhirat kelak.
Saya teringat kisah di mana satu ketika Umar al-Khattab radiyallahu anhu dan beebrapa orang sahabat melihat seorang perempuan mendukung seorang lelaki tua. Lalu beliau bertanya kepada perempuan itu, “Apakah perihalnya kamu ini?”

Perempuan itu menjawab, “Yang kudukung ini adalah ayahku. Dia sudah tua (nyanyuk) dan mahu bermain denganku.”

Umar al-Khattab radiyallahu anhu teruja dengan kejadian itu lalu berkata, “Wahai sahabat, lihatlah perempuan ini. Beliau telah menunaikan hak bapanya ke atas dirinya.”

Perempuan itu membalas, “ Tidak ya Amir al-Mukminin. Aku belum menunaikan hak bapaku ke atas diriku. Semasa dia menjagaku ketika aku kecil, dia mendoakan panjang umurku. Tetapi semasa aku menjaga ketika dia tua, aku tertanya-tanya bilakah orang tua ini akan mati!”

Nasihat saya kepada anak-anak yang mempunyai ibu bapa yang berbuat baik kepada anda, maka taatlah kamu setaat yang mungkin kepada mereka.

Dan sayangilah mereka sepenuh hati kamu dalam melaksanakan tanggungjawab kamu sebagai anak.

Sebabnya, binasalah si anak yang lupakan peringatan dari kisah ini!


Moga Allah redha.


Mimpi Ngeri Mesir : Para Ikhwan mati katak..?



“Siapa suruh perjuangkan demokrasi.. inilah kesannya..”

“Ikhwanul Muslimin adalah PENGGANAS dan PENJUAL AGAMA ALLAH, mereka memang patut terimanya..”

“Inilah kesan dari demonstrasi jalanan yang dah jelas-jelas haram. “

Ini akibatnya kalau Dakwah mirip-mirip Baginda Rasulullah SAW tidak dibuat dan ditolak di Mesir”

Dan pelbagai lagi “teguran manja” (konon la) yang dilemparkan kepada Mesir yang sempat saya baca, terutama sekali kepada para Ikhwan yang ramai sudah terkorban walau berapa jua angkanya ketika ini.

Darah mereka adalah DARAH KAMI!


Dalam suasana hiruk pikuk dan kelam kabut di Mesir ketika ini, ramai yang membuat spekulasi yang pelbagai di Malaysia.

Apatalah lagi dengan media sosial dan MEDIA MALAYSIA yang menyebarkan fakta yang auta atau ambil sumber dari pihak musuh Islam sendiri!

Saya tak kisah jika anda ingin berpegang kepada pendapat demokrasi itu HARAM dan ingin mengamalkannya.

Saya juga tak kisah jika anda ingin berpegang kepada pendapat demonstrasi jalanan itu HARAM dan ingin mengamalkannya.

TETAPI….

TAK PAYAH LAH untuk mengutuk, mencerca, menghina, mengumpat, atau memandang remeh para Ikhwan yang gugur terkorban di Medan Raba’ah atau di Mesir sana!

Apatah lagi menyatakan kematian mereka kematian yang sia-sia atau mati KATAK!

Bukankah anda juga memegang Sunnah Rasulullah sallahu alayhi wasallam?

Tidakkah anda ingat akan pesanan baginda sallahu alayhi wassalam yang mana baginda menyatakan bahawa JANGAN MENCERCA ORANG YANG MATI, LALU ENGKAU MENYAKITI YANG MASIH HIDUP! (Hadis Sohih Riwayat Tirmidzi)

Sesungguhnya mencerca mereka adalah MENYAKITI kami yang mengasihi saudara AGAMA kami di Mesir!

Kerana apa?

Kerana AGAMA mereka adalah AGAMA kami (Islam),

Kerana RASUL mereka adalah RASUL kami,

Kerana MARUAH mereka adalah MARUAH kami,

Kerana KEHORMATAN mereka adalah KEHORMATAN kami,

Kerana MUSUH mereka adalah MUSUH kami,

Dan DARAH mereka adalah DARAH KAMI!

Bukankah kalian mengetahui bahawa Rasulullah sallahu alayhi wasallam pernah meningatkan bahawa BERKATALAH PERKATAAN YANG BAIK ataupun DIAM.

Kalian lupa?


 Kenapa tidak berjihad ke sana?

Maha suci Allah yang mengetahui setiap detik nadi dan isi hati manusia.
Sekiranya aku mampu dan mempunyai kemampuan untuk meletakkan darah aku ke atas musuh-musuh Allah, sudah pasti aku akan laksanakan!

Tetapi mungkin alasan ku juga terlalu banyak, mungkin juga amalku masih lagi tenggelam timbul, atau aku masih lagi ada penyakit wahan dalam hati ini..

 Tetapi sekurang-kurangnya aku menyahut seruan baginda sallahu alayhi wassalam agar mengambil berat tentang urusan kaum Muslimin!
 
Usah tanya kami kenapa tidak berjihad ke sana dan masih di sini,
tanya dirimu sendiri,
apa yang kamu lakukan untuk ummah ini?


Gelap malam sebelum tibanya subuh

Para pejuang dan pendokong Ikhwanul Muslimin sudah berusaha untuk memperjuangkan Islam sedaya mampu mereka, dan kini hampir 90 tahun.

Kalaulah kalian membaca tulisan ku ini, ku ingin memberi secebis kata semangat walaupun tidak seberapa.

 
Hari-hari berlalu pasti akan ditempuhi kegelapan malam sebelum tibanya keindahan siang.

Pada kegelapan itu terdapat pelbagai kejahatan yang mencengkam malah membunuh para pejuang.

Namun sesungguhnya kegelapan malam itu pasti akan berakhir dengan keindahan waktu Subuh yang terang bendarang.

Semoga Tuhanku dan Tuhanmu iaitu Allah Azza Wa Jalla menurunkan kepada kalian dan kami sebuah kemenangan dalam limpahan kasih sayang.

Yang sudah gugur janganlah di kau bersedih kerana mereka telah bertemu Tuhan dalam keadaan riang,

Dan yakinlah wahai saudaraku, bahawa Allah pasti bersamamu wahai pejuang!

 

Moga amal aku dan kamu diterima Allah yang Maha Penyayang.


Sunday 11 August 2013

Aku, hantaran dan pernikahan.



Hari ni dan semalam agak kecoh (err tak la berapa kecoh sangat) apabila semalam muka hadapan surat khabar Kosmo bertajuk “Ramai membujang lantaran hantaran mahal”.

Berita ni bertambah hangat terbakar apabila ditambah lagi dengan ayat
“Nilai anak dara berkelulusan ijazah boleh mencecah RM50 000”.

Itu baru ijazah (mungkin ijazah sarjana muda), macam mana pula dengan Sarjana (Master) dan PhD?

Sesuatu tak kena

Sebenarnya isu ni dah lama diperkatakan, malah sejak saya meja sekolah lagi. Saya ingat lagi dulu, masa di sekolah ramai kawan saya yang lelaki merungut hantaran perkahwinan mahal, malah mencecah puluhan ribu.

Walaupun saya tak berapa ambil kisah sangat, tapi terfikir juga.

Ya, kenapa mahal sangat? Tapi saya cuma pendamkan saja, sebab bagi saya masa tu, saya kahwin pun lama lagi.

Dan apabila semalam saya baca berita tentang tu, saya rasa ada sesuatu yang tak kena. Saya tetap tak bersetuju dengan hantaran yang hanya sekadar adat je pun, tetapi nilainya ditinggikan sehingga memaksa para lelaki berhutang untuk berkahwin!

Tetapi dari sudut lain, saya merasakan sesuatu yang tak kena. Sesuatu yang saya sukar nak letakkannya dalam tulisan mahupun perkataan. Saya tak tahu bagaimana nak luahkan. Mungkin satu hari nanti jika saya faham bagaimana untuk di luahkan, saya akan kongsikan..

Nilai sebuah pernikahan.

Saya rasa saya bukan orang yang layak untuk menulis perkara ni, sebab saya belum bernikah lagi.

Tapi saya menulis berdasarkan pembacaan dan pengalaman berharga, termasuklah pengalaman saya sendiri yang pernah duduk di bawahpayung perkahwinan ibu bapa, dan pernah menangis bawah awan penceraian ibu bapa.

Apabila sebut bab pernikahan, ramai para pemuda pemudi terutama sekali mahasiswa/I yang bulat mata dan bersedia dengan penuh semangat untuk mengetahui lebih dalam tentang bab pernikahan.

Lantaran semangat yang membuak-buak, ada yang tanpa berfikir panjang terus memberitahu ibu bapa ingin berkahwin semasa di alam kampus.

Apabila ibu bapa tak mengizinkan, atau hantaran yang dikenakan dari pihak perempuan terlalu mahal, atau ada ibu bapa yang mahukan anaknya (terutama lelaki) mesti ada kerja, rumah dan kereta sendiri, ramai yang memberontak di dalam hati.

“Mak ayah ana tak faham lagi nih.. Kalau mak ayah ana orang dakwah, mesti dia bagi je ana kahwin awal..”

Keluhan yang saya kadang-kadang dengar. Jujurnya, saya dulu pun pernah berfikiran sebegini.

Ibu bapa tak faham dakwah dan tarbiyyah.

Itulah rungutan yang kebanyakkan dari kita (malah aktivis dakwah) sebutkan..

Tetapi..

Jarang antara kita yang cuba memahami dan mendalami, kenapa ibu bapa tak mengizinkan kita kahwin awal, ataupun bakal mertua meletakkan harga hantaran yang tinggi kepada kita (lelaki).


Beban, tugas dan tanggungjawab

Saya membaca buku “Aku terima Nikahnya” karya Ustaz Hasrizal Abdul Jamil. Habis baca buku tu, saya menangis sendirian.

Kenapa?

Akhirnya saya memahami kenapa ibu saya begitu berat untuk melepaskan saya kahwin awal. Saya faham kenapa ibu saya minta saya bekerja dahulu, mempunyai kenderaan dan rumah sendiri dulu.

Ibu saya masih belum bersedia untuk membiarkan anaknya menggalas beban, tugas dan tanggungjawab yang sangat berat di kemudian hari.

Ya, ibu saya belum bersedia. Ibu saya dah merasakan betapa peritnya sebuah penceraian rumah tangga, dan ibu saya tak mahu saya melaluinya pada masa akan datang.

Dulu saya gagal melihat sebuah pernikahan secara holistik (keseluruhan). Saya hanya melihat pernikahan itu dari kaca mata sentimental, romantis, dan kehendak hati.

Sedangkan nilai pernikahan menuntut lebih dari itu!

Ia melibatkan beban, tugas dan tanggungjawab.

Beban membina  dan mengukuhkan sebuah rumahtangga.
Tugas memberi nafkah serta membentuk makhluk yang bernyawa bernama manusia.
Serta tanggungjawab menjadikan manusia itu hamba dan khalifah di bumi Sang Pencipta.

“Dan juga mereka (yang diredhai Allah itu ialah orang-orang) yang berdoa dengan berkata: "Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”

(Surah al Furqan ayat 74)


Moga Allah redha.