Friday 21 October 2022

Blog Ini Hidup Semula?


Alhamdulillah, setelah hampir 8 tahun blog ini berhabuk, akhirnya insyaAllah blog ini akan mula aktif semula untuk perkongsian akan datang.

InsyaAllah, moga ada manfaat untuk penulisan seterusnya. Doakan aku istiqomah kali ini untuk terus menulis.

Meskipun bukan tulis di buku, moga penulisan di dalam blogi ini menjadi saham di Akhirat kelak. Ameen.


Sekian.

Wednesday 3 December 2014

Biskut Mayat Dah Tukar Kerja?

Bismillah..

Uish.. dah lama saya tak buka blog biskut mayat ni.. dah macam rumah mayat rasanya.. Bersawang je..

By the way, disebabkan ramai lagi yang masih bertanya, atau email pada saya melalui blog ini, saya nak bagitahu pada korang yang baru pertama kali sampai ke laman sesawang yang dah bersawang ini,

saya secara rasminya sudah bertukar "tempat kerja" ke www.tarbiahsentap.com..

korang pernah dengar kan? Ke baru pertama kali dengar? Takpe lah kalau pertama kali dengar.

Macam tu, meh jemput datang ke sana, dan like page facebook Tarbiah Sentap.

See you there ! (ayat bajet artis)


Monday 30 June 2014

Ahlan Wa Sahlan Ramadhan



Hmm.. Maaf bulan ini dan bulan lepas saya ada masalah dalam menghupdate belog (gaya inche gabanna). InsyaAllah akan terus mengupdate dengan kerap bermula bulan 7 atau 8.

Doakan saya dapat menyelesaikan urusan saya yang penuh berselirat.

By the way, Selamat Menyambut Bulan Ramadhan Al Mubarak kepada pelancong blog Biskut Mayat.

Ahlan wa sahlan ya Ramadhan.

Ramadhan Kareem. :)


Moga Allah redha.


p/s : Jangan curi minum air kat bilik air naa...

Sunday 18 May 2014

Saya, Falsafah dan As Soff

Sejujurnya, sebelum ini saya agak ‘anti’ dengan falsafah. Kerana pada saya falsafah ini memeningkan dan tidak berapa penting.

Tetapi selepas perbincangan kami dengan Ustaz Suhail di Telegram malam tadi, falsafah ini suatu ilmu yang tidak boleh diabaikan begitu saja. Ilmu falsafah sangat penting dalam pembentukan sesuatu tamadun.

Ustaz Suhail memberitahu garis panduan dalam mempelajari falsafah. Saya kongsikan kepada anda perbincangan kami semua malam tadi.

Moga ada manfaat. :)

---

“Untuk ilmu falsafah dan beberapa kitab turath asas falsafah, nak kuasai kena kuasai 2 konsep kerangka dulu ;

1. Kulliyatul khams
2. Jame wa mana' ( جامع ومانع )

Kemudian aplikasi asas seperti tanaqudh, akas, qias dan lain-lain. Ada 8 minimum. Ini mukaddimah iaitu ilmu mantiq.

Selepas tu baru boleh cuba kuasai falsafah yang merupakan cabang aplikasi ilmu mantiq. Ghayah ilmu mantiq - litahsiin azzihni, menyusun dan menyucikan pemikiran.

Bila diaplikasi dalam falsafah, maka dekat situ peranan ilmu mantiq menjadi tajarrud dengan setiap falsafah.

Sebab itu Al Banna tulis fikrah dengan ilmu mantiq yang tinggi supaya tajarrud dan jelas border aplikasi fikrah ikhwan. Falsafah nak simpulkan adalah aplikasi mantiq dalam menyusun kehidupan.

Di bawah apa-apa konsep, mantiq ajar kita susun, falsafah ajar susun ikut kerangka sesuatu perkara.

Dan tentang part ikhwah tak faham (falsafah), ana tak risau sebab itu salah satu tujuan penulisan iaitu biar org tak faham. Maka yang tak faham akan tahu bahawa diri jahil.

Mengetahui diri jahil adalah separuh ilmu.

Dari mana nak mula?

Mula dengan baca dan berguru. Nak baca apa tu topik lain. Nak tengok ikhwah kena mulakan dengan "beginners mind". Satu konsep dalam zen yang disebut oleh Yoda sebagai,

"You must unlearn what you have learn" (Yoda - star wars).

Tetapi bagi ana, semua perkara ni, kalau perkara paling asas iaitu fikrah Al Banna, tulisan Syed Qutb kita double standard dan minta mas'ul terangkan, tak payah belajar benda lain.

Ana setuju ikhwah kena pulun buku lain, tetapi jangan jadikan alasan tak kuasai buku fikrah. Kuasai dua-dua.

Mutiara malam ini:

1. Banyakkan membaca dgn keutamaan kitab fikrah dan tarbawi
2. Amalkan ilmu yg bermanfaat dari bacaan

Ikhwah jangan lupa selalu tadabbur surah as-sof. Terutamanya ayat 2-3. By the way, ada 4 unsur yang disebut dengan jelas Syed Qutb dalam surah Soff yang menguatkan Sof kita :

1. Kekuatan iman tunjang dan paksi pada kekukuhan saf.

2. Buat apa yang kita cakap/cadangkan.

3. Bergerak dalam sof yang tersusun.

4. Kukuhkan saf yang terbina

Kesimpulan, jika kita ada team yang kuat iman, semua yang dicakap dan rancang dia buat, selalu tersusun dan kuatkan ukhuwwah, insyaAllah kan jadi team terkuat.”

---


Moga Allah redha.

- Shukery -

Thursday 17 April 2014

Karpal Singh Macam Abu Jahal?

Malam tadi kita digemparkan dengan kematian Karpal Singh, ahli parlimen Bukit Gelugor kerana terlibat dalam sebuah kemalangan maut di Perak.

Maka hari ini penuh kicauan di twitter dan status di facebook serta terpampang di dada akhbar mengenai kematian mendiang. Dalam suasana sebegini, ada sebahagian Muslim yang menyatakan kematian Karpal Singh seperti Abu Jahal atau Abu Lahab, atau sebahagian lagi yang menyatakan kematiannya seperti Abu Talib.

Kemudian ada juga Muslim yang mengajak untuk menyedekahkan al Fatihah atau menyatakan Rest In Peace kepada beliau.

Garu kepala.

Sudah Sudahlah….

Beginilah, artikel saya kali ini tak mahu sentuh pasal apa hukum menyedekahkan al Fatihah atau menyebut Rest In Peace kepada mayat Non Muslim. Sebab dah ada dalam majlis fatwa, boleh rujuk di sana.

Saya juga tak berminat untuk komen atau bidas orang yang menyatakan mendiang seperti Abu Talib. Jauh sangat terlajak kias tu.

Sekarang yang agak popular apabila orang menyamakan mendiang dengan Abu Lahab atau Abu Jahal.

Samakah?

Beginilah.

Ini pendapat saya secara peribadi, dan tak bersangkut paut dengan orang lain.

Abu Lahab dan Abu Jahal adalah manusia yang hidup sezaman dengan Rasulullah sallahu alyhi wasallam serta para sahabat radiyallahu anhum ajmain.

Mereka berdua adalah penentang hebat kepada Rasulullah dan para sahabat.

Maka kejahatan mereka adalah hampir setara dengan kebaikan Islam ketika itu. Namun Allah telah memenangkan Islam di atas segalanya, maka kejahatan ketika itu lenyap.

Dan selepas kita memasuki zaman 2014 hari ini, saya yakin tidak ada seorang pun yang berani “claim” seseorang itu baik atau hebatnya seperti Sahabat Rasulullah. Sebab apa?
Sebab kita tahu Muslim hari ini tak setara atau tak setanding langsung kebaikkannya dengan kebaikan para Sahabat dulu.

Benar?

Jadi sepatutnyalah, kita pun TAK PERLULAH untuk “claim” seseorang itu jahat seperti Abu Jahal atau Abu Lahab.

Kerana kejahatan sebahagian non Muslim hari ini kebanyakkanya (terutama di Malaysia) tidak setara atau tidak setanding langsung kejahatan Abu Lahab dan Abu Jahal.

Sehingga Allah masukkan nama Abu Lahab dalam al Quran. Maksudnya dia benar-benar jahat sungguh.

Jadi nak bandingkan mendiang Karpal dengan siapa?

Pada saya, tak perlulah banding dengan sesiapa. Cukuplah kita ucapkan takziah kepadanya.

Kalau kita benar-benar benci padanya, dia sudah tiada.
Kalau kita benar-benar sayang padanya pun, dia sudah tiada juga.

Mendiang sudah mati bertemu dengan Tuhannya, Tuhan saya dan Tuhan pembaca sekalian, iaitu Allah Azza Wa Jalla.

Sekarang sudah masuk urusan mendiang dengan Allah. Bukan urusan kita sebagai manusia.

Janganlah Berpecah Lagi.

Hentikanlah perpecahan umat Islam yang sudah sedia pecah.

Sudah-sudahlah bergaduh.

Islam tidak menang dengan kematian musuh Islam, tetapi Islam menang apabila umat Islam memenuhi kriteria yang ditetapkan oleh Allah untuk mendapat kemenangan.

Antaranya adalah berasa mulia (‘izzah) dengan Islam.

Alangkah anehnya negeri ku ini.

Kita berpecah pada tempat yang tak sepatutnya berpecah.
Kita berbalah pada tempat yang tak sepatutnya kita berbalah.

Barulah saya memahami sedikit bagaimana Khilafah Abbasiyah yang hebat boleh tersungkur..
Bagaimana Khilafah Turki Uthmaniyyah yang gah boleh terkubur..

Dan bagaimana Empayar Melayu Melaka yang makmur boleh berterabur..

Bukan semata-mata hanya musuh dalam selimut atau musuh luar..

Tetapi kesatuan Islam yang hancur lebur…

Nangis.


Moga Allah redha.



p/s : Saya ucapkan takziah kepada keluarga mendiang Karpal Singh. 

ini cuma dua ploh sen dari saya.

Tuesday 1 April 2014

Cerpen : Aku Nak Bercerai

"Shuk..."

Mata saya segera memandang sahabat yang sudah lama tidak berjumpa sambil menghirup secawan teh o limau suam.

"Ye mir.. muka muram durja je?" Saya mengangkat kening sambil meletakkan cawan teh o limau suam ke atas meja.

Syamir mengeluh.

"Aku sebenarnya ada benda penting nak story kat kau.." Syamir tunduk. Wajahnya sugul. Seolah dihempap oleh masalah besar.

"Sebab tu kau nak jumpa aku? Dah lama menyepikan diri lepas kawin dulu, maklumlah dah bahagiakan.." saya bergurau sambil tersengih untuk menceriakan suasana.

Syamir tertunduk.

Saya pula serba salah.

"Err.. kau kenapa? Em.. kalau tak keberatan, meh story pada abang. Biar abang long settlekan.. hehe... " saya menepuk bahu Syamir.

Syamir tersenyum kelat. Terasa berat baginya untuk bercerita.

"Begini.. isteri aku... emm.... " kata-katanya terhenti seketika.

"Hmm? Kenapa dengan isteri kau?" Saya tertanya-tanya.

Syamir mengeluh lagi.

"Ish kau ni. Asyik mengeluh ja. Macam lagak presiden dunia yang banyak masalah ja.." saya tersengih. Saya bergurau untuk mengurangkan sedikit tekanan yang dialami.

Syamir tersenyum lagi. Seperti biasa, senyuman yang kelat.

"Beginilah... aku terus terang saja. Aku tanya ini untuk minta pendapat dan pandangan kau. Bukan nak buka aib sesiapa. Moga kau dapat bantu aku.." mata Syamir merenung tepat wajah saya.

Nampak keseriusan beliau.

Saya mengangguk.

"Shuk.. Aku nak bercerai dengan isteri aku... apa pandangan kau?" Muka Syamir sedikit berkerut dan serius.

Hampir tersembur air teh o limau dalam mulut saya. Terkejut dengan kata-kata beliau.

"Kau nak bercerai? Kau baru je berapa tahun kahwin, dan sekarang kau nak bercerai? Aku salah dengar ke apa ni?" Saya mengangkat kening.

"Ya aku serius... " Syamir merenung tegas pada wajah saya.


Saya terkesima seketika. Rasa macam di sambar halilintar. Tersentak dengan kata-katanya.
Saya mengambil nafas panjang. Menyusun kata-kata demi menyelamatkan masjid yang baru beberapa tahun terbina.

"Apa sebab kau nak bercerai? Kau dah ada anak sorang tahu. Ini benda serius. Perkara halal yang Allah benci. Benda ni juga menentukan masa depan anak kau. Kau jangan main-main." Kini saya pula serius.

Syamir menghirup secawan teh o yang baru sampai.

"Isteri aku... hmm.. begini.. dulu sebelum kahwin, masa kami tengah bercinta, aku tengok isteri aku nampak macam baik je. Nampak macam rajin saja. Segalanya nampak indah.. walaupun mungkin tak pakai tudung dan tak jaga pergaulan, namun dia setia dengan aku. Dengan aku pijak semut pun tak mati. Tapi segalanya berbeza selepas kahwin.."

Syamir menghela nafasnya. Pandangannya beralih ke jalan raya yang sesak dengan kenderaan.

Saya menumpukan sepenuh perhatian dengan apa yang ingin disampaikan.

"Selepas kahwin, walaupun dia dah berubah sedikit, dah pakai tudung, dah jaga pergaulan dengan lelaki lain. tapi hubungan kami dah jadi macam hambar sejak kebelakangan ini. Seolah dah habis cinta kami masa zaman bercinta dulu. Lepas kahwin, hanya menikmati beberapa manisan cinta yang berbaki."

Dia menghelakan nafasnya lagi.

"Kalau dulu, dia selalu lipatkan baju aku, sediakan makanan untuk aku, ironkan baju aku, tunggu aku depan pintu, layan aku, dan macam-macam lagi. Sejak dah ada anak dan setahun kebelakangan ni, tak macam dulu lagi.. Hari-hari aku makan luar, balik kerja tengok dia dah tidur. Aku pun tension tidur juga. Entah la.. aku rasa..." Syamir mengeluh.

"Hmm.. kau rasa apa?" Saya mengangkat kening.

"Aku rasa kami dah hilang cinta agaknya. Hati masing-masing dah pudar..". Syamir menghebuskan nafas yang agak berat.

Begitu juga saya.

Saya bersandar di kerusi makan. Termenung seketika.

"Sebelum aku bagi pendapat aku, aku nak bagitau yang aku bagi pendapat sebagai seorang bujang. Tak pernah kahwin lagi. Bercinta tu... pernah la kot." Saya menghela nafas.

"Syamir.. kahwin ni adalah suatu perkara yang sangat besar. Sebab tu ia ibarat mendirikan masjid. Untuk kau robohkan masjid, ia ibarat kau melakukan suatu kemusnahan yang dahsyat."

Syamir mengangguk.

"Selepas saja akad nikah.. sepatutnya kau kena sentiasa hadirkan dua elemen yang saling lengkap melengkapi sepanjang kau mendirikan rumah tangga hingga akhir hayat. Jika satu elemen lemah, satu lagi elemen akan menguatkan."

"Elemen apa?" Syamir mengangkat kening.

"Cinta dan tanggungjawab" saya jawab tuntas.

Syamir termenung.
"Cinta ini relatif dan abstrak. Tiada kayu ukur atau parameter untuk tentukan berapa peratus yang turun dan berapa peratus yang naik. Namun kita sendiri mengetahui sejauh mana cinta kita pada seseorang. Diri kita sendiri yang boleh agak."

"Cinta ni sifatnya akan menaik, dan ada kala ia akan menurun. Apabila menaik, kau akan romantik tahap romeo dan juliet atau lebih lagi. Tetapi macam mana kalau ia menurun?"

"Ha'ah. Macam mana kalau menurun?" Dahi Syamir berkerut.

"Itulah fungsi tanggungjawab. Tanggungjawablah yang akan membantu mempertahankan cinta daripada terus pudar dan hilang. Mustahil untuk kau penuhi tanggungjawab dengan sempurna tanpa hadirnya cinta."

Syamir mengusap janggutnya.

"Dalam Islam, Allah meletakkan kewajipan untuk seorang anak patuh dan taat kepada ibu bapanya, dan jangan sekali kata 'Ah' pada mereka. Tetapi, dalam Islam TIDAK meletakkan kewajipan untuk seorang anak cinta dan kasih kepada ibu bapa mereka. Kerana cinta dan kasih itu adalah suatu perasaan yang abstrak, sukar hadir walau dipaksa, dan sukar pergi walau dihalau."

"Namun... untuk seorang anak taat dan patuh dengan bersungguh pada ibu dan ayahnya, mahu tidak mahu KENA hadirkan perasaan cinta dan kasih itu walaupun hadirnya itu lambat sekalipun. Jika tidak, anak itu akan taat dan patuh dalam keadaan derita dan terseksa batinnya kerana kehausan perasaan tu."

Syamir mengangguk. Dia mendengar dengan tekun.

"Begitu juga suami isteri. Mungkin atas alasan itu, Allah menghadirkan tanggungjawab antara suami isteri, moga dengan tanggungjawab yang dipikul dan diamanahkan itu, mampu mempertahankan cinta yang bersemi tu. Jika cinta pudar, tanggungjawablah yang akan menyerikan semula cinta."

Syamir tersentak. Seolah sesuatu mengganggu fikirannya.

"Dan akhir sekali, apabila cinta dan tanggungjawab ini diadun dan disebatikan dengan baik dan saksama, akan terlahirlah suatu tindakan yang sangat terpuji."

"Apa dia tindakan tu?" Syamir terpinga-pinga.

"Erti sebuah pemberian tanpa mengharap penerimaan. Memberi tanpa mengharap dibalas kembali."

Syamir termenung.

"Jadi sepatutnya aku kena beri pada isteri aku tanpa mengharap dia balas apa aku beri?" Syamir mengangkat kening.

Saya tersenyum. Syukur dia mengerti.

"Ada masa, rendahkan ego pada isterimu wahai teman. Jika dia tidak memasak, kau masakkanlah untuk dia, walaupun hanya telur goreng atau megi kari. Kalau ada kesempatan, ironkanlah baju untuk dia sekali walau kau iron senget sana sini, bukan hanya untuk diri kau. Jika punya waktu, bawalah dia berdating dengan kau, hanya berdua. Cari masa untuk kau dan isteri kau bersama. Anak kau suruh kawan atau keluarga terdekat kau jaga sekejap. Pergi tasik titiwangsa ke, atau mana-manalah tempat romantik."

Saya dan Syamir tersenyum.

"Dan wajibkanlah diri dan keluarga kau untuk tahajud bersama walau sebulan sekali. Itulah masa paling sesuatu untuk kau menyerikan cinta kembali." Saya melirikkan senyuman.

Secara tiba-tiba, Syamir mengalirkan air mata.

"Eh kenapa kau bro?" Saya terkejut. Tak pernah nampak dia menangis.

"Aku., aku rasa macam dah lama tak tahajjud. Apatah lagi dengan isteri. Sejak aku tinggalkan usrah dan dunia dakwah dan tarbiyah.." Syamir mengesat airmata lelakinya.

Saya menepuk bahunya.

"Dah la.. jangan menangis bro. Tak macho la kau. Hehe." Saya tersengih.

Syamir menganggukkan kepala menahan sebak.
"Yang penting, banyakkan berbincang dengan isteri kau. Bincang elok-elok. Benda boleh settle. Jangan pernah terfikir untuk bercerai. Itu bukan jalan penyelesaian." Saya memberikan harapan dan cadangan.

Syamir tersenyum. Ya, dia terasa seolah tergesa-gesa tindakannya.

"Terima kasih bro.. err.. kau join usrah lagi? Aku rasa nak join semula.." Syamir memandang wajah saya.

Saya tersenyum lebar.

"Aku usrah malam esok kat rumah aku. Mai datang lepas isyak. Lu belajar jalan ke sorga!" Saya berjenaka.

Kami berdua ketawa.


Tamat

Moga Allah redha.

- Shukery -

Monday 31 March 2014

Kisah Disebalik Bulan Mac. Tahukah Anda?

“Tidak mahu ku ingat lagi…
Apa yang telah terjadi…
Tragedi Oktober..”

(tarik nafas)

Pernah dengan lagu ni? Ini lagu masa saya zaman sekolah dulu. Sangat popular dalam kalangan kami. Tajuknya Tragedi Oktober.

Tapi bila saya dah besar matang ni (ehem ehem), saya dah lupa lagu ni. Liriknya pun saya dah lupa, hanya ingat tajuk saja.

Hari ini hari terakhir untuk bulan Mac bagi tahun 2014. Maksudnya kita sudah melepasi ¼ tahun 2014.

Dan pada bulan Mac ni, ada macam-macam peristiwa berlaku. Saya tak nak sebut satu persatu secara detail dan kesemuanya, kerana saya bukan tahu kesemuanya.

Saya cuma sebutkan beberapa kisah dalam bulan Mac yang melanda dunia Islam agar kita semua duduk berfikir dan bermuhasarawak.

Di mana dan apa peranan kita?

Tunduk muka.

Tahukah anda?

Pada 17 Mac 624 (anggaran) bersamaan 17 Ramadhan tahun kedua Hijrah, perang pertama dalam dunia Islam yang telah memberi tamparan hebat kepada musuh-musuh Islam telah meletus iaitu perang Badar. Peperangan ini diriwayatkan disertai oleh 313 kaum Muslimin dan 1000 kaum Musyrikin dan akhirnya kemenangan berpihak kepada kaum Muslimin. Peperangan ini menunjukkan bahawa angka bukanlah penentu kemenangan, tetapi keimanan dan pertolongan dari Allah adalah sebenar-benar penolong.

Senyum

Pada 26 Mac 625 bersamaan 7 Syawal tahun ketiga Hijrah, perang kedua dalam dunia Islam sekali lagi meletus iaitu perang Uhud. Kisah perang Uhud ini banyak memberi pengajaran kepada umat Islam antaranya adalah patuh kepada arahan pimpinan dan jangan buat ‘kepala’ sendiri. Dalam peperangan ini, bapa saudara Rasulullah sallahu alayhi wasallam, Saidina Hamzah telah syahid.

Pada 30 Mac 1432, lahirnya seorang perwira, panglima dan juga sebaik-baik raja yang telah membuka kota yang telah dijanjikan oleh Rasulullah iaitu kota Konstantinople. Beliau ialah Sultan Muhammad Al Fateh. Kelahirannya memberi sinar harapan kepada dunia Islam untuk terus meninggikan kalimah Allah ke tempat yang paling tinggi. Senyum.

Pada 3 Mac 1924, bermulalah gerhana untuk Dunia Islam apabila secara rasminya Khilafah Islam di Turki diruntuhkan atau dibubarkan oleh musuh-musuh Islam, antaranya adalah Mustafa Kamal At Tarturk. Maka menangislah seluruh bumi dan langit akan pengkhianatan terbesar dalam dunia Islam oleh orang Islam sendiri. Musuh-musuh Islam yang berada di luar tersenyum girang sambil makan pop corn dan air coke!

Pada 22 Mac 2004, Syeikh Ahmad Yassin telah syahid apabila di bedil oleh 3 peluru berpandu dari helikopter Apache. Beliau adalah seorang murabbi yang tua umurnya namun muda jiwanya dan osem perjuangannya merupakan Simbolik 'Perjuangan Jihad' di Tanah Palestin dan sumber ketakutan pada jiwa Yahudi dan Nasrani.

Pada 22 Mac 2013 pula, peristiwa pembunuhan Syeikh Said Ramadhan Al-Buti oleh pihak tidak bertanggungjawab (disyaki geng geng Basyar Assad) dalam konflik perang Syria. Beliau merupakan seorang ulama' Syria yang telah memberi banyak sumbangan dalam dunia keilmuan Islam dan antara kitab yang dikarang dan memberi sumbangan besar pada dunia Islam adalah Fiqh Sirah.

Pada 17 Mac 2013, seorang murabbiah dan ibu kepada anak yang di infaqkkan kepada Allah, Ummu Nidhal, telah meninaggal dunia. Beliau telah menjadi simbolik kepada “Perjuangan Muslimah” di Tanah Palestin dan menjadi contoh terbaik dalam mendidik anak-anaknya.

Sila kagum dari jauh.

Pada 8 Mac 2014, sebuah pesawat MH370 milik syarikat penerbangan Malaysia Airlines (MAS) telah hilang dari radar dan sehingga kini masih tidak dijumpai (ketika artikel ini ditulis). Kehilangannya menimbulkan pelbagai spekulasi dan misteri antaranya dihijack, terhempas, bahkan ada yang kata disorok jin!

Beberapa selepas itu, sekumpulan bomoh vip 1 Malaysia (yang telah memalukan Malaysia) telah muncul bagi memberi sumbangannya sama.

Kesat peluh.

Pada 15 Mac 2014, 5 orang maut dan 4 lagi kritikal kerana overdose dadah semasa berada di konsert MFA yang berlangsung di Bukit Jalil. Saya tak mahu komen banyak, sebab dah ramai komen. Yang saya mampu hanya istighfar dan tunduk kepala serta bertanyakan pada diri,

“Shuk, kau main-main dalam dakwah ni..”

Menangis.

Dan tahukah anda,

Pada 31 Mac 2014, artikel ini telah ditulis?

Eh?

Dan Mana Peranan Kita?

Sebenarnya banyak lagi peristiwa suka dan duka yang berlaku pada bulan Mac ketika dalam lipatan sejarah dunia Islam. Tinggal lagi kita tahu dan tak tahu saja.

Bukan saja untuk bulan Mac, malah untuk bulan-bulan yang lain.

Namun yang paling pentingnya bukan pada bulan dan tahun bila kisah itu berlaku, atau di mana sejarah itu berlangsung.

Tetapi apa yang paling penting adalah,

Di mana peranan kita sebagai seorang Muslim untuk meninggikan kalimah Allah?

Nyorok bawah meja.


Moga Allah redha.

Shukery.