Sunday, 30 March 2014

Cerpen : Ibu Dan Ayah Tidak Solat

“Adik-adik semua..” saya merendahkan nada bagi mengakhiri tazkirah maghrib saya,

“Jagalah solat adik-adik semua. Abang bagitau adik-adik semua tentang kewajipan solat, balasan apabila mengerjakan solat dan azab serta ancaman jika meninggalkan solat sebab abang sayang pada adik-adik semua.”

Saya menghelakan nafas. Kelihatan ada yang menundukkan kepala, ada juga yang mengalirkan air mata.

“Abang tahu, ada di hadapan abang yang banyak kali tinggal solat, atau solat lewat, atau ada yang tak pernah solat. Nanti kalau ada masalah, boleh jumpa dengan abang secara peribadi, atau jumpa dengan kakak dan abang fasi yang ada semasa program ini.”

Adik-adik di hadapan saya hampir kesemuanya mengangguk. Memikirkan masa untuk berjumpa barangkali.

Usai tazkirah maghrib itu, kami mendirikan solat isyak secara berjemaah. Kemudiannya ada slot untuk mereka seperti yang telah dirancang oleh kami. Kesemua pelajar yang hadir dalam program ini adalah sekitar umur 13 hingga 15 tahun.

Malam itu, selepas habis slot terakhir, mereka diarahkan pergi ke dorm masing-masing untuk tidur. Saya pula melangkahkan kaki ke kantin sekolah untuk merehatkan diri.

Semasa sedang berjalan, tiba-tiba ada seseorang menegur saya.

"Abang.." tegur seorang peserta, Fatin namanya.

Saya memandangnya dengan senyuman.

"Ya saya?"

Dia merenung tepat pada mata saya.

"Nak tanya.. tadi masa tazkirah maghrib, abang kata solat tu penting kan? Kalau tak solat, nanti kita masuk neraka kan?" Dia memulakan bicara.

Saya memandangnya dengan penuh minat pada butir bicaranya. Namun saya jarakkan diri bagi menjaga jarak antara lelaki dan perempuan.

"Ya.. kenapa ya?"

Dia tundukkan kepala. Mencari sedikit kekuatan untuk meneruskan pertanyaan.

"Tapi.. mak ayah saya selalu tak solat... masuk neraka juga ke? Mak ayah saya orang baik...."

Ternampak butir kaca mengalir dari matanya..

Saya terdiam kelu.

Kelu kerana tidak sangka soalan begini akan ditanya dan dalam masa yang sama saya kagum dengan sensitiviti seorang anak yang baru berusia 14 tahun.

“Hmm..” saya mengusap janggut.

Disitu juga saya memberi tiga cadangan saya untuk dia. Dia mendengar dengan teliti sambil tangannya ligat mencatit apa yang saya cadangkan.

“Apa yang abang cakap tadi cuma pandangan abang saja. Belum tentu berhasil. Kerana hidayah itu milik Allah. Kita usaha saja.” Saya melirikkan senyuman.

Dia mengangguk.

“Oh ya lagi satu..” saya memanggilnya sebelum masing-masing beredar.

“Andai ketiga-tiga perkara tu dah dibuat dan tak berkesan, beritahu pada abang ya.”

Dia tersenyum sambil mengelap air mata.

“Terima kasih abang..”

Dia terus berlalu pergi ke dorm untuk tidur.

“Moga Fatin jadi anak yang solehah.” Doa saya dalam hati.

-----------------------

Fatin melihat jam, baru saja pukul 6 petang. Sebentar lagi ibunya akan pulang ke rumah selepas balik kerja. Ayahnya juga sama.

Tanpa membuang masa, dia terus meletakkan buku “Soal Jawab Tentang Solat” yang baru dibelinya tadi di atas meja solek ibunya. Dan sebuah lagi di atas meja rehat ayatnya.

Dia meletakkan dua buah buku tersebut dengan harapan ibu dan ayahnya akan tergerak hati untuk membaca.

Fatin tersenyum puas. Moga rancangannya menjadi.

Dua hari selepas itu, dia melihat kedua-dua buku yang dibeli untuk ibu dan ayahnya langsung tidak dibuka. Cuma buku itu dialihkan saja untuk memberi ruang pada ibunya bersolek, dan ayahnya meletakkan surat khabar.

Dia tertunduk sayu. Tetapi dia masih belum putus asa. Masih ada pelan yang berikutnya.

Malam itu, sedang Fatin dan keluarganya sedang berehat-rehat, tiba-tiba bunyi azan berkumandang.

“Eh, azan dari henfon siapa tu?” Ayah Fatin bersuara.

Fatin tersenyum. ‘Umpan’ mengena.

“Haa, itu azan dari henfon Fatinlah ayah. Ha, alang-alang dah azan, jom kita solat sama-sama ayah, ibu?” Fatin tersengih sambil memeluk ibunya.

Ayah dan ibunya seperti tersentap.

“Emm.. Kau sembahyang la dulu Fatin. Ayah ada kerja kejap..” Ayah Fatin meluru ke bilik.

Ibu Fatin memandang wajah anaknya. Kegelisahan terserlah di wajahnya.

“Ibu tak masak lagi ni. Ibu nak pergi dapur ya..” Ibu Fatin terus bangun dan meluru ke dapur.

Fatin duduk tercengang. Seolah tidak percaya dengan apa yang berlaku. Hampir saja dia mahu menjerit menangis.

Air mata mengalir di pipinya. Dia gagahkan diri untuk pergi ke bilik air untuk mengambil wuduk dan solat.

Demi mencari kekuatan yang hampir hilang bak ditiup angin.

Usai solat, dia berdoa sungguh-sungguh agar ibu dan ayahnya diberi hidayah oleh Allah.

Selepas doa, dia duduk termenung memandang sejadah. Memikirkan bagaimana pelan ketiga hendak dijalankan.

Teringat kata-kata Abang Shukery mengenai pelan yang ketiga,

“Yang ketiga adalah Fatin berterus terang dengan ibu dan ayah. Tanya dari hati ke hati, kenapa ibu dan ayahnya tidak solat dan tidak mahu bersolat bersamanya. Tetapi strategi ini agak risiko, kerana mungkin akan melukakan hati mereka, atau paling tidak pun, mereka akan marah.

Tetapi bersabarlah. Allah bersama kamu.”

Ayat terakhir itu cukup membuatkan Fatin bersemangat.

“Ya, Allah bersama aku. Aku akan usaha sebaik mungkin!” pujuk hatinya.

------

“Lepas azan isyak nanti, aku akan ajak ibu dan ayah solat lagi sekali. Kalau mereka bagi alasan, aku segera akan minta penjelasan.” Fatin menguatkan azam.

Seperti biasa, mereka akan bersama sekeluarga menonton televisyen.

Tidak lama kemudian, berkumandang azan dari telefon Fatin.

Ibu dan ayahnya memandangnya. Muka mereka nampak kegelisahan.

Fatin tersenyum. Lantas dia menyeru ibu dan ayahnya sama seperti semalam.

“Ibu, ayah, jom solat sama-sama.” Fatin tersengih memandang ibu dan ayahnya.

Ibu dan ayahnya memandang satu sama lain.

“Nantilah, lepas habis berita ni.” Ayahnya memberikan kata tuntas.

Fatin tertunduk dan mengangguk.

Selepas habis berita jam 8 itu, sekali lagi dia mengajak ibu dan ayahnya solat. Seperti biasa, ibu dan ayahnya memberikan alasan.

Segera Fatin bersuara,

“Ayah… Ibu… Kenapa tak nak solat… Ustaz kita cakap, siapa tak solat masuk neraka…” Fatin tunduk.

Ayah dan ibunya tersentap. Ayahnya berang kerana egonya dicabar.

“Kau tu budak kecik lagi, tak payah nak ajar mak ayah kau yang dah lama makan garam dari kau. Cakap dengan ustaz kau tu, jaga anak dia lagi bagus.”

Ayahnya mula marah. Ibunya pula mendiamkan diri.

Fatin tidak dapat menahan air mata yang mengalir. Dia terus bangun dan berlari menuju ke bilik. Dikunci biliknya.

Hatinya meronta. Dia keliru dan celaru kenapa dia dimarahi sedangkan dia mengajak kepada perkara yang baik.

“Apa salah Fatin. Fatin tak faham. Salahkan Fatin mengajak ibu dan ayah untuk solat? Salahkah Fatin beritahu bahawa meninggalkan solat dengan sengaja akan masuk neraka?

Fatin tak mahu ibu dan ayah masuk neraka..” Dia bercakap sendirian sambil mengalir deras air mata membasahi bantalnya.

Dia menangis dan terus menangi sampai akhirnya tertidur.

Fatin tersedar dari tidurnya. Dia melihat jam menunjukkan sudah pukul 2.30 pagi.

“Lama juga aku tertidur.” Bisik hatinya.

Dia teringat pesanan Abang Shukery supaya memberitahunya jika ketiga-tiga pelan itu dah dilakukan.

Lantas dia mencapai henfonnya dan mesej Shukery tentang apa yang berlaku. Usai mesej, dia terus keluar dari bilik menuju ke bilik air untuk mengambil wuduk.

Usai mengambil wuduk, dia melihat henfonnya terdapat 1 SMS. Terkejut Fatin melihat Shukery membalas mesejnya pada waktu sebegini.

“Tak tidur lagi rupanya.” Bisik hatinya. Dia membaca mesej tersebut.

“Waalaikumussalam. Ooh yeke, abang tumpang simpati apa yang berlaku. Sebenarnya ada satu pelan yang terakhir abang tak beritahu. Iaitu doa. Nanti lepas ini solat tahajud dan doa sungguh-sungguh pada Allah. Bukan hanya malam ini saja, istiqomah untuk hari-hari berdoa ya. Moga mereka diberi hidayah.”

Fatin tersenyum.

Ya doa.

Malam itu usai saja dia solat isyak dan solat tahajud serta solat hajat, dia duduk termenung seketika. Mengambil nafas, lalu menadah tangan menghadap kiblat.

Malam itu Fatin berdoa sungguh-sungguh kepada Allah hingga mengalir deras air mata dipipinya. Dikuatkan sedikit bacaan doa agar dia benar-benar menghayati doa itu.

“Ya Allah… Ibu dan ayah orangnya baik. Dia sayang pada Fatin. Dia jaga Fatin betul-betul sampai Fatin besar. Cuma… Ibu dan ayah tak solat je.

Ya Allah.. Fatin sayang ibu dan ayah. Ustaz kata kat sekolah, dengan abang fasi cakap, orang tak solat masuk neraka. Nanti kena seksa kat sana..

Ya Allah.. Fatin tak nak ibu dan ayah masuk neraka. Fatin tak nak ibu dan ayah kena seksa. Fatin tak nak ya Allah. Fatin sayang mereka..

Ya Allah.. Ustaz kata Allah maha mendengar. Allah dengar doa hambaNya. Abang fasi kata doa adalah senjata umat Islam.. Ya Allah.. berilah hidayah pada ibu dan ayah Fatin..

Supaya mereka jaga solat.. Dan solat sama-sama dengan Fatin…”

Fatin menadah tangan tinggi. Meminta pada yang Maha Tinggi dengan sungguh-sungguh.

Tiba-tiba, Fatin tersentak apabila ada air mata yang jatuh menitik pada kedua tapak tangannya yang sedang menadah tangan berdoa.

Dia memandang ke atas. Terkejut melihat ibu dan ayah di belakangnya menangis. Ibunya segera memeluk Fatin. Dan kemudian ayahnya pula memeluknya.

“Fatin… ayah minta maaf sebab ayah marah Fatin tadi. Ayah dan ibu pun sayang Fatin. Ayah dan ibu tak nak masuk neraka.” Teresak-esak ayahnya menangis.

Fatin tersenyum gembira. Syukur pada-Nya kerana hidayah-Nya datang tanpa disangka-sangka. Dia memeluk semula kedua ibu dan ayahnya.

“Ya Allah.. kumpulkan kami dalam syurga Mu ya Allah…” Fatin berdoa dalam hati.



Tamat.

Moga Allah redha.

- Shukery -


p/s: Cerita ini adalah berdasarkan kisah benar. Cuma ada sedikit tokok tambah dibuat untuk melancarkan cerita. :)

p/s/s : Fatin dalam cerita ni bukan nama sebenar. Saya tak tahu nak letak nama apa. Main petik je. -_-

Friday, 7 March 2014

Dunia Tidak Pernah Adil.

Dulu masa saya tahun 2 di UKM (kalau saya tak silap), pernah sekali saya eksiden ringan di kawasan UNIKEB. Sebelum eksiden tu berlaku, saya pergi ke bank untuk keluarkan duit baki yang ada untuk beli makanan dan survive sem itu.

Bila saya tengok balance dalam bank, cuma tinggal lebih kurang RM200++. Saya tertunduk memikirkan cara nak survive. Saya pun beredar dari bank itu dan menuju ke kereta. Kereta itu milik kawan saya, saya pinjam sebab masa tu saya belum ada motor.

Masa saya keluar parking, ditakdirkan Allah, saya secara tak sengaja terlanggar (perlahan kot) side skirt Proton Exora sebelah kiri saya. Saya terkejut.

Saya segera keluar dari kereta untuk lihat "kecederaan" pada kereta saya dan Exora tersebut. Dan secara tak langsung, Pakcik (owner exora) tu keluar dari kereta tersebut.

Dia memandang kereta dia yang tercalar (takde la calar sangat, biasa2 je). Lepas tu dia pandang seolah marah pada saya. Saya terkelu dan meminta maaf sangat2 pada dia. Saya dah serba salah sangat pada pakcik tu. Dan saya terlihat ada plastik yang membungkus seat kereta Exora tu, menandakan kereta tu baru beli.

"So ni macam mana awak nak ganti ni? Nak ikut saya pergi bengkel?"

Pakcik tersebut memulakan soalan.

Saya terkelu.

"Saya.. Saya bayar sekarang pakcik. Kejap lagi saya ada kelas. Agak-agak berapa ya pakcik?" saya terketar-ketar.

Pakcik tersebut pandang muka saya, dan side skirt Exoranya.

"Kau ada duit berapa? RM350 ok? Saya rasa macam mahal je kena cat tu.."

Saya tersentap. Makan dalam soalan dia.

"Saya ada duit RM200 saja pakcik untuk duit makan sem ni..."

Pakcik tu melihat muka saya seolah macam tak percaya. Agakanya mungkin sebab dia tengok saya bawa kereta, jadi dia ingat saya ni anak orang berada.

Hadoyai.

Tiba-tiba isteri dia keluar dari kereta.

"Habis la calar kereta baru kita.." Isteri dia tengok pada Exora tu.

Saya diam je.

" Rm200 pun, 200 ratus la.. " pakcik tu terus menyambung.

Saya tersentap. saya berbisik dalam hati,

"Aku nak makan apa nanti?"

Dalam keadaan gelabah, serba salah, gementar, takut, geram dan bermacam-macam lagi, dah macam rojak perasaan saya. Saya pun serahkan RM200 yang baru saja saya keluarkan dari bank kepada pakcik tu.

Pakcik tu geleng kepala, dan terus masuk kereta dengan isteri dia.

Saya terkesima. Seolah macam mimpi. Duit yang baru saya keluar dari bank, akhirnya berpindah pada tangan orang lain. Atas sedikit kecuaian saya yang saya rasa tak patut pakcik tu "pow" saya macam tu sekali.

Saya terus masuk dalam kereta, dan drive penuh hati-hati menuju ke fakulti. Semasa memandu, tanpa saya sedar saya menangis seorang diri. Terkenangkan dosa-dosa saya.

"Mungkin ini balasannya.." saya mengeluh dalam hati.

Sampai saja di fakutli ,terus pergi ke kuliah dalam keadaan sedih namun saya sembunyikan dari kawan-kawan saya.

Malam tu, lepas solat maghrib berjemaah di surau kolej saya, saya terus mencari seorang mentor saya, abang Khalid Jimat. Saya ceritakan peristiwa tersebut dari A sampai Z. Saya minta nasihat dan pandangan dari dia.

Saya ketika itu menangis sedu sedan depan beliau. Rasa stress teramat sangat.

Dia termenung seketika. Seperti biasa memikirkan ayat-ayat yang sesuai untuk dituturkan.

Dia mengucapkan takziah dan memberi kata-kata nasihat dan semangat. Saya tak berapa ingat sangat. Tetapi yang paling saya ingat dan saya berpegang sampai hari ini,

"Shuk.. Dunia ini tak pernah adil selagi mana Islam tidak memerintah. Tetapi di negeri Akhirat sana adalah tempat yang seadil-adilnya. Kalau shuk tak puas hati, tuntutlah di akhirat nanti. InsyaAllah."

Bila dengar saja, saya tersenyum. Saya menangguk.

Terasa lega hati saya. Lega sangat.

Ya, saya masih ada mahkamah Akhirat. Apa ada hal? :)

Tuesday, 4 March 2014

‘Niqabis’ Dan Muslimah Yang Tertipu

Pada suatu hari..

Di tempat yang berbeza namun pada waktu yang sama..

Seorang ‘Niqabis’ dan seorang Muslimah bertudung labuh (tidak berpudah) mengambil gambar masing-masing dalam gaya selfie. Kalau nak nampak kelainan sikit, ambil gambar dari posisi lain tapi tidak mengadap kamera.Namun mereka berdua tidak mengenali antara satu sama lain.

Tetapi mereka mempunyai keinginan dan hasrat yang sama..

Upload gambar selfie dalam facebook mereka berdua.

Niat mereka berdua juga sama. Ingin ‘berdakwah’ kepada kawan FB mereka yang tidak menutup aurat supaya tergerak hati untuk menutup aurat. Namun mereka tersilap langkah dan cara.

Selepas upload dalam FB, mereka pun terus membuat profile picture.

Tidak lama kemudian, muncul sang buaya berwajah ala-ala ostad atau sang buaya yang berwajah bukan ostad pun, dalam ruangan komen mereka berdua.

Apa yang sang boya ini komenkan?

“Subhanallah! Cantiknya ciptaan Allah..”

“Wanita adalah seindah perhiasan dunia. Teruskan istiqamah wahai mujahidah.”

“Wah, sejuk perut ibu mengandung. Boleh masuk meminang ni. HEHE.”

Dan lain-lain komen (anda letaklah sendiri apa yang anda rasa nak letak).

Tidak lama kemudian, si niqabis dan muslimah ini pun membaca komen-komen sang boya ini. Lalu mereka tersipu-sipu malu (konon). Lantas membalas di ruangan komen ;

“Thanks.. :) “

Akhirnya tertipulah seorang Niqabis dan Muslimah ini di alam maya.

Strategi sang boya itu tidak berhenti setakat di situ. Lalu di PM inbox tersebut dengan mesej,

“Selamat berkenalan.. :) “

Kalau yang tahu bahasa arab ciput, akan inbox ;

“Salam ukhuwwah fillah. :) “

Dalam riwayat lain, ada tambahan, “abadan abada.. :) “

Jatuh kerusi.
 
PERHATIAN! Aku tak stalk okay. Aku nampak di newsfeed.
Peluh kecil
Salah Siapa?

Pernah jumpa situasi-situasi di atas? Mesti pernah punya. Melainkan anda tidak ada facebook.

Aku kepilkan sekali ‘bukti’ yang telah di sensor agar aku tak cakap berdasarkan imiginasi, tetapi berdasarkan realiti.

Realiti yang menakutkan.

Sebenarnya perkara ni dah banyak dibincangkan di status facebook, group-group, halaqah, usrah, seminar, blog (eh?), dan apa-apa jualah. Banyak kali bincang.

Tetapi makin meningkat pula peratusan isu ini berlaku. Walaupun tidak semua golongan ‘niqabis’ dan muslimah tudung labuh buat perkara di atas, tetapi sangat ramai yang berbuat demikian.

Sebelum tu, aku minta maaf atas beberapa perkara sebelum aku meneruskan penulisan. Pertama, aku minta maaf sebab guna kata ganti diri “Aku”. Sebab aku tak mahu guna ayat ‘lembut’ dan ganti diri lembut. Perkara ni kena bertegas, kalau tidak ia akan jadi fitnah akhbar yang melanda kaum Muslimin.

Yang kedua, aku minta maaf jika istilah “niqabis” dan “Muslimah tudung labuh” tidak menyenangkan para pembaca. Aku takde istilah lain untuk menggambarkan mereka. Ini saja istilah yang muncul dalam minda aku. Maaf ya.

Yang ketiga, tulisan aku kali ini agak keras, sama seperti tulisan aku dua tahun lepas. Sebabnya seperti yang pertama tadi.

Yang keempat, maaf kalau anda dah bosan baca isu ini. Boleh tekan button “X”.

Peluh kecil.

Okay, berbalik semula kepada perbincangan. Persoalannya, salah siapa sebenarnya? Salah kaum hawa itu? Atau kaum Adam?

Jawapan aku, salah dua-dua.

Yang pertama salah lelaki sebab anda tak menundukkan pandangan anda.

Err.. To be precise, sebenarnya bukan anda, tetapi KITA. Ya, termasuk aku sekali sebab aku lelaki. Bukan makhluk dua alam.

Peluh kecil.

Allah berfirman ;

“Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat (menjaga) pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah Amat Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang mereka kerjakan.”

“Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat (menjaga) pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; …..”

(Surah An Nur 24 : 30-31)

Maaf aku tak nyatakan habis ayat yang ke 31 tu secara habis, sebab ayat yang seterusnya khas untuk kaum Hawa.

Sekali lagi aku ulang, KHAS untuk kaum hawa.

Persoalan timbul di sini, perasan atau tidak kenapa Allah tegur sebut “Orang Lelaki” dahulu?

Sebenarnya perkara ini ada perbahasan ulama’. Aku tak ingat siapa dan kitab apa. Nanti boleh rujuk semula. Kalau aku salah, tolong betulkan.

Tetapi apa yang disampaikan dalam perbahasan itu, antara sebab berlakunya penzinaan dimulai dengan lelaki. Dan perempuan sekali.

Lelaki sukar menjaga pandangan. Allah tahu sifat hamba-Nya, dan antara sifat lelaki ini adalah matanya LIAR.

Jatuh kerusi.

Tak perlu nak kaver macho dan innocent lagi brader. Akui saja, memang ini sifat lelaki. Pantang nampak dahi licin, naik tocang.

Sebab itu Allah menyebut lelaki TERLEBIH DAHULU untuk menundukkan pandangannya sebelum perempuan. Got it?

Tetapi inilah perkara yang paling sukar dilakukan oleh kita. Susah sangat. Tetapi kalau berjaya buat, rasa gembira sangat. Kan?

Sebab aku hari-hari melaluinya.

Tunduk muka.

Yang kedua adalah salah perempuan. Sebab perempuan antara pemula kepada zina.

Dengan erti kata lain, perempuan boleh menyebabkan lelaki tak tunduk pandangan.

Bayangkan seorang perempuan, pakai seksi tahap dewi, gelang kaki berbunyi, kasut tinggi, rambut beralun ditiup bayu, jalan macam model dunia, lalu depan sekumpulan lelaki.

Dan anda perempuan, beranggapan lelaki tidak akan pandang perempuan seksi itu?

Hello.

Hanya lelaki yang beriman di akhir zaman dan berpegang pada ayat Allah seperti di atas saja yang tak akan pandang.

Tetapi at the first place, mesti akan pandang. Imam muda ke, tok imam ke mesti akan jem punya.

Mungkin itu hikmah Allah beri keringanan bahawa pandangan pertama boleh, pandangan kedua di haramkan. Kalaulah pandangan pertama sudah haram, mau berdosalah kami sebagai lelaki hari-hari.

Err.. Untuk lelaki janganlah bayangkan perempuan seksi tu. Takut berdosa pula. Aku cakap pada perempuan sekarang ini.

Peluh besar.

Ada satu lagi perbahasan,

"Dan pencuri lelaki dan pencuri perempuan, potonglah tangan keduanya sebagai satu balasan ke atas apa yang mereka mengusahakan, dan hukuman contoh daripada Allah; Allah Perkasa, Bijaksana."

(Surah Al-Maidah 5 : 38) 

"Perempuan dan lelaki yang berzina maka deralah tiap-tiap seorang daripada mereka 100 rotan dan janganlah belas kasihan kepada kedua-duanya kerana ini akan mencegah kamu untuk (menjalankan) agama Allah, jika kamu beriman kepada Allah dan hari akhirat dan hendaklah (pelaksanaan) hukuman mereka disaksikan sekumpulan daripada orang yang beriman." 

(Surah An-Nur 24 : 2) 

Tentang dua ayat di atas turut ada perbahasan dalam kitab yang aku dah lupa juga.

Tepuk dahi.

Ulama’ dulu bahaskan kenapa Allah guna perkataan lelaki dulu untuk hukum potong tangan kerana mencuri, tetapi untuk hukum berzina Allah dahulukan perkataan perempuan.

Ada yang berpendapat Allah dahulukan perkataan perempuan untuk hukum berzina kerana kebiasaannya punca penzinaan bermula dari perempuan. Manakala mencuri ini biasanya lelaki yang suka mencuri.

Jarang dengar rompakan bank dilakukan oleh sekumpulan perempuan.

Peluh kecil.

Tetapi biasa dengar dan nampak sekumpulan, malah segerombolan perempuan memakai seksi-seksa di khalyak ramai. Dan pelacur juga dari kalangan perempuan. Ada ke pelacur dari lelaki?

Abaikan pondan dan mak nyah, sebab mereka mahu jadi perempuan.

Nasihat Tulus Mulus Suci Kudus Dari Seorang Lelaki

Aku rasa perbahasan di atas tadi tu lebih merujuk kepada isu berzina. Anda tak rasa begitu? Hehe. Kan dah ke laut.

Tetapi perbahasan itu tetap boleh dikaitkan dengan apa yang artikel kali ini nak sampaikan.

Sebelum aku menutup nota untuk kali ini, aku ingin beri sepotong dua potong nasihat khas untuk perempuan dari aku, mewakili lelaki-lelaki sejati yang ingin menjadi lelaki beriman akhir zaman.

Sudah-sudahlah selfie di facebook tu.

Jujur aku cakap, kadang-kadang keluar gambar anda di “suggested friend’ sebelah kolom kanan facebook tu.

Banyak kali aku cuba jaga pandangan dan buat tak tahu saja, tetapi kadang-kadang tertekan juga suggested friend tu.

Sebab gambar niqabis atau muslimah tudung labuh itu sedikit menarik perhatian aku.

Bukan sedikit, banyak sebenarnya.

Mujurlah hari itu ada seseorang telah tegur dan nasihatkan aku. Lantas aku berazam dengan setinggi azam untuk refresh page supaya hilanglah suggested friend dan diganti dengan suggested group dan iklan sponsored.

Itu lebih baik daripada aku terkesima melihat keayuan mata niqabis dan keanggunan gaya muslimah tudung labuh.

Jatuh kerusi. Bengkak dah kepala.


Solusi

Jadi lepas panjang-panjang yang aku tulis ini, apa solusi dan langkah yang boleh dilakukan?

Err.. Fikirlah sendiri. Dah besarkan.

Woha!


Moga Allah redha.

p/s: Tukarlah profile picture. Tak payah letak gambar anda. Keselamatan terjamin, pandangan lelaki pun sejahtera. Jangan sampai tertipu lagi sudah.


Aman tanpa perang.

Saturday, 1 March 2014

Kerana Allah Itu Tidak Mengecewakan. Percayalah!

Beberapa hari lepas (dah seminggu lebih rasanya), ada seorang rakan kepada rakan saya 'mengadu' atau meminta 'kaunseling' dari saya, seorang kaunselor yang tak bertauliah. Apatah lagi nak ada lesen. Mimpilah. Cap ayam sungguh saya. Tetapi hairan kenapa kawan saya boleh cadangkan nama saya.

Garu kepala.

Tetapi tak apalah. Saya cuba bantu mana yang paling mampu. Mula-mula saya nak mesej sahaja dia, kemudian disebabkan saya malas menaip mesej dan ada perkara yang penting, maka saya call dia untuk memudahkan bual bicara dan penyampaian.

Saya tanya dia, apa masalah dia. Tanpa banyak bicara, dalam nada sedu sedan, dia terus memulakan ceritanya.

Oh sebelum tu, saya rahsiakan namanya. Kita nak tahu ibrah atau pengajaran dari kisah dia, bukan siapa dia. Kita anggap dia sebagai "A".

"Manusia yang cetek agama.." kata dia masa mesej awal dengan saya, "boleh ke berubah? Ada ke jalan?"

Bila saya membaca soalan ini, saya tersenyum simpul. Kemudian saya memulakan sedikit dialog ringkas sebelum dia bertanya soalan seterusnya.

"Kenapa Allah tak makbulkan doa saya? Saya nak ibu bapa saya macam orang lain. Suruh anak-anaknya solat. Marah bila anak-anak tak solat."

"Saya nak ibu bapa saya solat berjemaah dengan saya. Saya nak diorag bagi didikan agama dekat saya. Saya nak semua benda yang ibu bapa orang lain buat dekat anak diorang. Tetapi hakikatnya, doa saya tak pernah jadi kenyataan..."

Bunyi nada pada akhir mesej itu seolah kecewa dan putus asa.

Tanpa saya sedari, berkaca mata saya. Saya tak perasan bahawa saya nak menangis. Sedih..

Bukan sedih dengan apa yang dia lalui. Tetapi sedih kerana apa yang dia fikirkan, pernah saya fikir dan lalui satu ketika dulu.

Bahkan lebih lagi...

Selepas itu, saya terus nekad untuk call dia untuk berkongsi beberapa cerita serta nasihat. Sebab pada saya, jika tidak dibetulkan bentuk fikir ini, akan membawa kepada situasi yang lebih parah dah bahaya.

Ada Melalui Jalan Bahagia.

Kemudian tadi, ketika saya bukak facebook, secara tidak sengaja terpapar satu status seorang rakan facebook saya, yang berkongsi kerinduan kepada ibu bapanya di rumah sambil tunjuk gambar ibu bapa mereka yang sedang bergurau senda.

Antara status yang ditulis ;

"Syurga,

Anak rindu.
Doakan anak tenang di sini ye.
Anak rasa macam terlalu banyak tekanan sekarang ni.
Mungkin sebab anak exam kut.
Doakan anak dapat menjawab exam dengan tenang ye. Nak ketam nak sotong nak sambal belacan nak sambal tumis ikan bilis nak mee ayah nak nak nak facial nak baju heh.

Rindu."

Bila saya membaca status ini, saya rasa sebak secara tak sengaja.

Entah. Saya tidak tahu mengapa. Mungkin saya rindu pada ibu saya di kampung.

Mungkin juga saya rindu dan teringin untuk mempunyai ibu bapa seperti rakan saya itu. Seperti mana yang diinginkan oleh rakan baru saya, si A.

Tetapi tidak bermaksud saya iri hati pada dia.

Tidak sama sekali.

Kerana itu rezeki dia, mempunyai seorang ibu dan ayah yang banyak mengambil berat urusannya, ada disisi ketika dia tertekan, sentiasa memberi semangat ketika dia jatuh.

Saya turut gembira kerana Allah kurniakan dia keluarga sebegitu. Dan saya juga turut bahagia dengan keluarga saya. Walaupun banyak kekurangan sana sini, tetapi bahagia itu tetap saya nikmati.


Kita Yang Mencipta Melodi Hidup Kita

Saya masih muda lagi. Masih mentah dalam banyak perkara. Masih gelabah dalam pelbagai situasi.

Tetapi saya juga diizinkan Allah untuk melalu dan menghadapi rencam ragam yang pelbagai.

Hidup ini ibarat melodi lagu. Kita yang buat dan reka melodi tersebut. Samada menjadi merdu, sumbang, mendayu, rancak, atau sebagainya.

Anda adalah komposer lagu hidup anda sendiri. Kerana itu Allah ilhamkan kepada kita dua jalan.

Jalan menuju ketaqwaan dan jalan menuju kebinasaan. Beruntunglah sesiapa yang memilih jalan menuju ketaqwaan, rugilah sesiapa yang memilih jalan menuju kebinasaan.

Sesiapa yang mengenali saya secara peribadi, mereka akan tahu bagaimana perjalanan hidup saya satu ketika dulu, dan bagaimana saya ubah semula melodi saya dari sumbang kepada sedikit merdu.

Err.. Takde la merdu sangat. Sumbang juga kadang-kadang. Sedap didengar sendiri je barangkali. Eheh.

Saya sedar dan tahu, di sana ramai orang mencari-cari jalan dan makna hidup ini. Di sana juga ramai menanti-nanti dan teringin ibu bapa mereka menjadi sebaik malaikat dan seanggun bidadari. Namun ramai juga yang kecewa kerana pada mereka permintaan mereka pada Pemilik Langi dan Bumi masih lagi tidak diperkenankan.

Erk, faham ke dak ni? Ok, saya tak tulis bahasa langit sangat. Saya guna bahasa bumi. Hehe. Guna bahasa mudah.

Saya tahu ramai yang mungkin hampir kecewa dan putus asa dengan doa kepada Allah.

Dan saya tahu ramai yang menginginkan ibu bapa mereka adalah ibu bapa yang soleh, tetapi sayangnya tidak soleh seperti mana yang mereka impikan. Bahkan kadang-kadang lebih teruk.

Dan saya juga tahu ramai juga yang menginginkan kehidupan yang menggembirakan, ada adik beradik yang sporting dan memahami, ada harta yang dapat menampung kehidupan mereka, ada kereta yang boleh bawa mereka jalan-jalan, ada duit lebih untuk dibawa melancong ke mana-mana dan lain-lain.

Saya tak mahu cerita tentang apa yang berlaku pada kehidupan saya yang lalu. Saya cuma nak nasihatkan sedikit saja. Nasihat ini saya cuba semaksima mungkin untuk jujur dan ikhlas dari hati saya.

Saya cuba menulis dari hati, agar ia dapat menyentuh hati-hati yang ingin mencari.

Nasihat saya...

Setiap orang ada jalan cerita sendiri. Ada melodi yang tersendiri.

Ada yang indah, ada yang pedih.
Ada yang gembira, ada yang duka.
Ada yang sumbang, ada yang merdu berkumandang.
Ada yang semanis madu, ada yang sepahit hempedu.

Tetapi ketahuilah, Allah takdirkan apa yang berlaku pada diri kita semua PASTI dan PASTI ada hikmah dan rahsia disebaliknya.

Tugas kita pula, TERUSKAN hidup ini, dan teruskan BERHARAP kepada Allah. Jangan mematikan doa kita kepada-Nya. Jangan pernah putus asa. Jangan pernah mengalah!

Kerana percayalah cakap saya..

Jika kita tidak berputus asa dengan rahmat Allah, dan jika kita sentiasa berdoa dan bersangka baik kepada Allah, nescaya suatu hari nanti kita akan menjumpai permata hikmah yang tersembunyi disebalik perjalanan yang kita akan lalui pada masa depan.

Buktinya? Alhamdulillah saya sudah ketemukan permata hikmah itu. Walau tidak semua, namun cukup untuk saya terus melaju berlari menuju Allah.

Percayalah...

Kerana Allah itu tidak pernah mengecewakan.

:)


Moga Allah redha.

- Shukery -