Sunday, 23 September 2012

Politik itu kotor..?





Bahang pilihanraya sama ada pilihanraya Umum (PRU) mahupun pilihanraya kampus (PRK) kini semakin hangat dan hangit di perkatakan.

Teringat saya ketika di awal sekolah menegah satu ketika dulu, saya gemar mengambil tahu hal-hal politik negara. Tetapi dengan keadaan yang masih mentah lagi, saya jadi pening dengan pertelingkahan parti-parti politik di Malaysia, terutama parti-parti yang dominan. Bukannya “peperangan” idea, tetapi “peperangan” fitnah, jatuh-menjatuhkan, label melabel, dan sebagainya. Sehingga pada satu tahap, saya sedih dengan keadaan orang Islam terutama ketika hampir PRU (Pilihanraya Umum).

Dan saya masih ingat lagi, ketika di tingkatan 4 dan masa itu di perpustakaan, saya membaca Utusan Malaysia (sekarang ada “nama” baru ye?) yang agak mainstream di Malaysia. Di muka hadapan, tajuknya agak “panas dan pedas” (baca : hot and spicy) walaupun saya dah lupa apa tajuknya. Apabila baru nak membaca akhbar tersebut, tiba-tiba datang seorang sahabat baik saya dan menyapa saya lalu menegur,

“Kau baca pasal apa ni? Pasal politik ke? Ala..tak payah ambik tahu la. Bapak aku kata, bukan kita tahu pun siapa yang betul, siapa yang salah. Aku tak ambik tahu pun, kalau bapak aku beli surat khabar, aku baca sukan je.”

Lebih kurang begini dialognya, dan saya mula terfikir. Sejak dari saat itu, saya terus tidak ambil peduli mengenai politik negara. Musim pilihanraya Umum adalah musim paling bosan bagi saya, tidak seperti dahulu. Bagi saya, politik itu kotor. Buat apa nak ambil tahu, biarlah orang lain ambil tahu.

Dan keadaan itu berterusan sehingga saya menjejakkan kaki ke universiti, barulah saya ada kesedaran “sivik” semula betapa pentingnya ambil tahu urusan politik negara mahupun kampus, meskipun kita tidak terlibat di dalamnya.



Politik itu kotor?


Jika di tanya saya, jawapan saya,

“Politik itu tidak kotor, tetapi Politik Kotor itu yang kotor”

Ya, politik kotor itu yang kotor. Sebabnya, politik yang tidak kotor adalah politik yang berlandaskan al-Quran dan As-Sunnah, atau lebih di kenali sebagai Politik Islam. Kalau dalam bahasa arabnya, “Siyasah Syar’iyyah”.

Untuk saya jelaskan apa itu Politik Islam, konsep-konsepnya, dalil-dalilnya dan sebagainya, maka saya bukan ahlinya. Saya baru belajar, dan bukan bidang saya untuk membincangkan terlalu detail. Rujuk orang yang ahli dalam bidang ini, bukannya ahli politik semata-mata.


Kenapa ambil tahu tentang politik?


Kadang-kadang ada sahabat saya bertanya saya, kenapa ambil tahu hal perihal politik. Bukan ke politik hari “caca merba” seperti yang dikatakan Prof. Madya Dato. Dr MAZA ? Ya, politik hari ini, terutama di Malaysia memang caca merba, tetapi di sebabkan oleh tangan-tangan manusia yang tidak mengenal halal dan haram.

Tetapi ini tidak bermaksud kita tidak perlu ambil tahu langsung. Kena ambil tahu, sebab kita hidup bermasyarakat, terutama mahasiswa/i yang so called berintelektual tinggi atau minda kelas pertama. Siapa lagi yang akan memegang tampuk pemerintahan kelak? Adakah kita mahukan penagih dadah, perompak, penyamun dan sebagainya yang memerintah? Saya tidaklah menghina mereka, tetapi rasanya kita boleh berfikir secara logik akal sendiri tanpa saya mengeluarkan dalil-dalilnya.

Mungkin sesetengah daripada masyarakat, bahkan mahasiswa/i sendiri akan berfikir bahawa politik itu kotor dan jijik. Ketahuilah, berpolitik itu bukanlah sesuatu yang buruk atau dikeji oleh syariah. Ia termasuk dalam tanggungjawab Islam juga. Ia adalah fardu kifayah. Rasulullah dan para sahabat pun berpolitik demi amanah Islam. Apa yang dikeji ialah gila berpolitik atau tamakkan jawatan sehingga melupai dasar- dasar agama. (Prof. Madya Dato. Dr MAZA, Siyasah Perubahan Dengan Maslahah)


Politik Kotor


Sungguh, saya masih mentah lagi dalam dunia politik. Dan cuba untuk “update” dari masa ke semasa. Namun, berdasarkan pemerhatian dari kaca mata seorang yang dhaif ini, fenomena iklim Politik Kotor yang berlegar di ruang angkasa Malaysia sudah meresap dengan kadar yang bahaya untuk kesihatan di dalam kampus, tidak kira mana-mana kampus pun (woha!).

Maka pandangan saya ini menjurus kepada pemerhatian di kampus. Antara Politik Kotor yang “di amalkan” di kampus adalah sikap jatuh menjatuhkan dan fitnah menfitnah. Dari saya tahun pertama, sehinggalah saya tahun akhir, saya masih tertanya,

“Untuk apa kita jatuhkan seseorang jika manifesto atau matlamatnya adalah untuk kebajikan mahasiswa sendiri?”

Soal niat itu, kita ketepikan dahulu. Kerana itu antara dia dan Allah. Sedangkan politik ini di bina adalah untuk saling bangun membangunkan antara satu sama lain. Ia sepatutnya seperti sistem “Simbiosis”, saling bantu membantu antara satu sama lain meskipun berbeza ideologi, fahaman, manifesto dan sebagainya selagi mana ia tidak berbeza matlamat utama. Bukannya bersifat “Parasit”.

Saya bercakap secara umum, siapa makan cili, dia terasa. Siapa yang terasa, padan muka (woha!).
 

Kepada “Kerajaan” dan “Pembangkang” mahupun “Bebas”.



Berpolitik lah dengan iman dan taqwa, dengan matang dan bijaksana, dengan hujah dan idea, dengan semangat dan akhlak dan dengan matlamat dan masa depan.

Demi meninggikan semula panji-panji Islam yang kian di patah-patahkan,

demi mengejutkan semula ummah yang kian jauh dari kefahaman Islam yang sebenar,

demi mendirikan semula Tamadun Islam yang hilang di telan zaman,

dan demi memastikan keadilan Islam di rasai oleh segenap makhluk di seluruh cakerawala.

Jauhkanlah dari berpolitik dengan politik jatuh menjatuhkan antara kawan dan lawan, fitnah memfitnah antara sesama Muslim dan sebaliknya, hina menghina antara sahabat dan musuh, juga hasad dengki antara Ulama’ dan Umara’.

Ingatlah pesanan Rasulullah s.a.w. dalam sebuah hadis yang bermaksud ;

“Jangan saling berhasad dengki, jangan saling menaikkan harga bukan untuk membeli, jangan saling membenci dan jangan saling belakang membelakangi (memutuskan hubungan), (tetapi) jadilah hamba-hamba Allah yang bersaudara. Seseorang Muslim adalah saudara kepada seorang Muslim yang lain. Dia tidak menazalimi, tidak membiarkan, tidak mengabaikan tanpa pertolongan dan tidak menghinanya. Takwa letaknya di sini – sambil menunjukkan kepada dadanya-. Sesorang sudah cukup jahat apabila dia memperlekehkan saudara seislamnya. Setiap darah, harta dan maruah orang Islam adalah haram (diceroboh) oleh orang Islam yang lain.”
(Riwayat Muslim daripada Abu Hurairah r.’anhu)

Untuk mahasiswa/i di kampus yang bertanding, corak politik anda semua sedikit sebanyak mempengaruhi corak politik negara. Jika politik kotor yang anda pilih untuk di amalkan, maka saya khuatir politik kotor jugalah yang sentiasa bermahasultan sampai bila-bila di Malaysia.

Ayuh, ubah paradigma anda. Fikir tujuan anda hidup, dan fikir tujuan anda berpolitik. Untuk diri anda atau untuk kepentingan ummah?


Kepada “Atas pagar” dan “di luar kawasan (tidak ambil tahu hal semasa)”


Pemimpin masa hadapan bermula dengan generasi maha kini. Pilihlah pemimpin yang di yakini adil dan saksama dalam melaksanakan amanah yang di beri. Walaupun hanya sekadar pemilihan Majlis Perwakilan Mahasiswa.  Anda yang menentukan kebajikan anda semua (termasuk saya).

Dan jika anda tidak mengambil tahu urusan umat Islam, maka dengarlah amaran dari junjungan kita Rasulullah s.a.w. dalam sebuah hadis yang bermaksud

“Sesiapa yang tidak menghiraukan hal ehwal umat Islam, maka dia bukan daripada kalangan mereka”
(Riwayat ath-Thobarani daripada Huzaifah bin al-Yaman)



Dan saya?


Saya sedar dan akui, suara saya hanyalah kecil, sekecil semut di dalam ribuan kerengga. Bahkan jutaan barangkali. Namun saya tetap ingin meluahkan pendapat dan seruan saya yang mungkin tidak bernas di mata sesetengah pihak.

Akhir sekali, saya menyeru anda semua agar menyertai dalam sebuah kerangka gerak kerja yang lebih besar daripada sebarang parti politik, jemaah mahupun organisasi. Penyertaan yang saya serukan ini tidak memerlukan anda meninggalkan apa yang anda sudah sertai, dengan syarat organisasi itu tidak menyanggahi al-Quran dan Al-Sunnah, iaitu bekerja ke arah tajdid dan islah, PEMBAHARUAN DAN PEMBAIKIAN.*


Ketahuilah, kita dilahirkan sebagai ahli politik meskipun kita tidak berparti. (Dr Maszlee Malik, Konvensyen Fiqh Politik 2012)


Semoga Allah Redha.







p/s :
1. * edit sedikit daripada artikel Prof. Madya Dato. Dr MAZA, Fikrah merentasi Jemaah.
2. Disclaimer: Saya tidak berpihak kepada mana-mana blok.

Monday, 17 September 2012

Perpisahan itu indah..?



Beberapa jam yang lalu, telah pulangnya seorang tokoh besar perjuangan Palestina, Sheikh Raed Solah atau di kenali sebagai Sheikh al Aqsa setelah berada di Malaysia selama kurang lebih 11 hari. Perpisahan ini memberi impak yang sangat tinggi kepada para pencinta perjuangan Palestina, dan sekaligus memberi impak kepada perubahan pemikiran sebahagian rakyat Malaysia.


Setiap orang dalam dunia ini pernah mengalami sebuah perpisahan. Sama ada perpisahan sementara; contoh seperti pergi sekolah, masuk universiti, pergi seberang laut (baca: oversea) dan sebagainya, atau perpisahan berbentuk kekal selamanya, iaitu kematian.
 

Perpisahan sekolah tarbiyyah


Tidak di nafikan, ada kalanya perpisahan itu memberi impak yang buruk kepada seseorang. Contoh terdekat kalau ibu bapa yang berpisah atau bercerai. Namun , jika perpisahan yang asalnya untuk tujuan kebaikan, maka insyaAllah ia menjadi sebuah sekolah atau madrasah tarbiyyah untuk seseorang.

Contohnya kalau kita mempunyai anak atau sahabat yang akan menyambung pelajaran ke seberang laut, pada awalnya mungkin kita akan rasa sedih kerana kehilangan mereka (walaupun hanya sementera), tetapi pada akhirnya jika kita faham dan selami hikmah di sebalik takdir Allah, maka baru kita faham bahawa ia merupakan suatu proses tarbiyyah yang menjadi sunnatullah, bukan sahaja kepada sesiapa yang so called pejuang, bahkan untuk semua manusia, kerana kehidupan tanpa perpisahan hanyalah di syurga kelak. Maka, sepanjang proses kehidupan kita seharian, mahu atau tidak kita pasti dan pasti akan mengalami sebarang bentuk perpisahan.

Antara elemen yang dapat di pelajari dalam “subjek” perpisahan ini adalah kesabaran dan keyakinan mengenai takdir Allah. Semakin kita yakin mengenai ketentuan Allah, semakin kita banyak sabar. Semakin banyak sabar, semakin banyak nikmat Allah beri. Allahu Rabbi. Sabar ini bukan belajar (secara praktikaliti) daripada dewan kuliah ataupun ceramah-ceramah, tetapi berdasarkan pengalaman dan ujian yang Allah beri kepada kita.


Perpisahan itu indah


Mungkin ramai menyatakan perpisahan itu menyakitkan. Namun jika kita telusuri dan muhasabah semula hikmah perpisahan yang di lalui, maka kita akan faham bahawa indahnya nilai sebuah perpisahan. Kerana apa? Kerana banyak perkara kita akan belajar daripadanya sebelum kita mengalami perpisahan yang kekal selamanya daripada dunia ini. Mungkin kita akan belajar tentang bagaimana sifat dan sikap manusia, kesabaran, kecekalan, keyakinan tentang takdir, dan sebagainya.

Maka perpisahan di dunia mendidik kita agar kita memahami akan tujuan hidup kita, seterusnya tempat di stesen kehidupan terakhir kita di alam yang tiada perpishan di dalamnya, iaitu Syurga atau Neraka.

Usahlah terlalu sedih akan perpisahan. Sedih tidak mengapa, tetapi jangan sampai memakan diri. Kerana di sebaliknya, terdapat permata yang indah menanti.




Semoga Allah Redha.







p/s: mulai entri ni, kebanyakkan entri aku adalah bersifat formal (walaupun kadang-kadang rimas dengan formal ni). *uhuk*uhuk*. Dan aku juga akan tukar penggunaan kata ganti diri, daripada “aku” kepada “saya”. Erk?

Thursday, 6 September 2012

Mahu belajar agama (Islam) dari awal, tetapi bagaimana?



err.. belajar pastikan berguru!

Nota kali ini aku hanya mampu copy paste daripada posting seorang sahabat aku di group facebook. Err, sudah pasti kalau jatuh di tangan aku, pasti aku akan edit sikit-sikit ayatnya versi aku tanpa mengubah maksud. Haha.

Ia mungkin garis panduan (guidelines) yang berguna kepada sesiapa yang baru nak belajar semula ilmu agama terutama diri aku sendiri.
*uhuk*uhuk*.

---

Secara ringkas padat dan muktahirnya, ilmu yang wajib dipelajari oleh semua Muslim dulu, kini dan selama-lamanya sebelum jadi encik mayat adalah ilmu FARDHU AIN. Aku rasa dalam subjek pendidikan Islam di sekolah menengah ada belajar pasal ni.
Dah lupa? Pergi buka buku sekolah menengah adik-adik anda yang bertajuk “Pendidikan Islam”!

Ilmu fardhu ain itu ada tiga bahagian :

1. Tauhid/Akidah/Iman
2. Feqah/Syariah/Islam
3. Tasawwuf/Hakikat/Ihsan


Ok, mari kita bahaskan satu persatu (walaupun dah dibahaskan pun).

----------------------------------------------------------------------------------------------

1. Ilmu TAUHID diguna pakai dalam hati (iktikad), bukan sekadar hanya menanam durian D24 di pinggiran kedua bibir. Sape ada satu bibir je?

Ilmu tauhid juga yang membuahkan keyakinan yang sebenar-benar yakin tentang keesaan Allah Rabbul Jalil lantas menolak perkara-perkara lain yang so called tuhan oleh manusia dan totally mengaku kewujudan Allah. Ia juga membahaskan tentang 50 sifat.

Oleh itu, kepada sesiapa yang nak bermula dari awal, maka di cadangkan oleh penulis (bukan aku) untuk memulakan dengan kitab :-

(a) matan ummul barahin (kitab arab)
(b) faridah faraid fil ilmi aqaa'id (kitab jawi)

Tak reti baca tulisan jawi? Maka belajarlah. Tak salah bermula dari sekarang, bukan dah nak beli kain kapan baru nak belajar.

----------------------------------------------------------------------------------------------

2. Ilmu FEQAH diguna pakai pada perbuatan zahir (ritual dan amalan), sama ada amalan tersebut bersifat IBADAT, MUAMALAT, MUNAKAHAT DAN JINAYAT. Ia sangat perlu untuk memperhalusi segenap amalan.

Oleh itu, kitab permulaan kepada beginner untuk belajar ilmu ini ialah :-

(a) kitab safinatun naja (kitab arab)
(b) hidayatus sibyan (kitab jawi)
(c) munyatul musolli atau kitab kuning (kitab jawi)

----------------------------------------------------------------------------------------------

3. Ilmu TASAWWUF pula diguna pakai pada hati, penghayatan dan rasa agar dapat rasa kemanisan Iman dan Islam yang kita anuti. Takde lah kita merasakan amalan yang dilakukan bersifat adat . Ia nya hasil dan buah daripada gabungan mantap TAUHID dan FEQAH. Ilmu ini turut membahaskan tentang 20 sifat hati iaitu 10 mahmudah (kebaikan) dan 10 sifat mazmumah.

Aku rasa dulu masa pendidikan Islam ada belajar perkara ni. Err, mungkin aku tertidur masa tu dalam kelas. *uhuk*uhuk*.

Maka, kitab permulaan untuk belajar ilmu ini ialah :-

(a) kitab penawar bagi hati (kitab jawi)
(b) kitab tahzibul akhlak (kitab arab)

----------------------------------------------------------------------------------------------

kesimpulan :

Jadilah apa pun mahupun sesiapa pun, atau jadi nobody pun,
Apa yang penting?!!
Bukan kerjasama dalam konteks ni, tetapi belajarlah 3 subjek ini bagi melepasi sekurang-kurang nya untuk diri kita dan anak bini kepada sesiapa yang dah kahwin. InsyAllah selamat dunia akhirat.

sumber kitab :

1. pelita penuntut
2. ta'allim muta'allim thoriqotul ta'aalum

---

Aku rasa perkara yang di tuliskan atas ni memang semudah mengopek rambutan untuk memahaminya, tetapi sesukar dari yang di jangka untuk mengamalkannya. Walau apa pun, usaha kena ada. Kalau sekadar cakap “aku tak mampu” sentiasa je, sampai jadi mayat pun takkan mampu.

Terasa termakan cili pulak aku. *uhuk*uhuk*

Moga Allah Redha.