Tuesday, 7 May 2013

ISMA penyebab Pakatan Rakyat kalah?



Mungkin ada yang baru mengenali Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA). Mungkin juga ada yang kenal ISMA melalui pembacaan newsfeed Facebook saja atau dengar kawan-kawan cerita. Dan macam-macam lagi.

Lalu timbullah golongan yang dah mengenali ISMA, lantas membenci ISMA atas alasan masing-masing, kemudian menuduh dengan bangganya ISMA adalah penyebab Pakatan Rakyat (PR) kalah.

*facepalm*

Maka entri ini saya tujukan kepada mereka.


Analisis tempat bertanding calon ISMA-BERJASA di 7 Parlimen 2 DUN


Pertama sekali saya nak terangkan bahawa ISMA dan BERJASA adalah dua entiti yang berbeza. Calon ISMA adalah ISMA sendiri, tetapi HANYA bertanding atas tiket BERJASA. Dengan erti kata lain, ISMA hanya tumpang logo sahaja. Tidak lebih dari itu.

Dan BERJASA yang menghantar calon adalah atas kapasiti ahli BERJASA sendiri. Tiada kaitan dengan ISMA. BERJASA ada menghantar calon di beberapa tempat, yang saya ingat adalah di Parlimen Cameron.

Saya tak mahu cerita tentang calon BERJASA, tetapi calon ISMA sahaja.

ISMA menghantar calon di 7 Parlimen, iaitu :

1. P009 Parlimen Alor Setar
Ustaz Haji Abdul Fizol Mohd Isa

2. P017 Parlimen Padang Serai
Ustaz Hamidi Abu Hassan

3. P072 Parlimen Tapah
Ustaz Shaharuzzaman Bistamam

4. P097 Parlimen Selayang
Ustaz Hj. Mohd Hazizi Ab Rahman

5. P107 Parlimen Subang
Ustaz Haji Mohammad Ismail

6. P109 Parlimen Kapar
Ustaz Mohd. Pathan Hussin

7. P128 Parlimen Seremban
Ustaz Haji Abdul Halim Abdullah

Dan 2 DUN iaitu :

1. N25 Dun Kajang
Ustaz Haji Mohammad Bin Ismaill

2. N11 Dun Derga
Ustaz Haji Abdul Fizol Mohd Isa


OK, kita lihat satu demi satu Parlimen dulu.


1. Parlimen Alor Setar dimenangi oleh calon PKR.

GOOI HSIAO – LEUNG (PKR)
Jumlah Undi: 27,364

CHOR CHEE HEUNG (BN)
Jumlah Undi: 25,491

ABDUL FISOL BIN MOHD ISA (ISMA)
Jumlah Undi: 3,530


*info tambahan :
untuk pengetahuan, sejak tahun 2004, PKR tidak pernah menang  di sini sehinggalah 2013.

2. Parlimen Padang Serai dimenangi oleh calon PKR

N SURENDRAN A/L K NAGARAJAN (pkr)
Jumlah Undi: 34,151

HENG SEAI KIE (BN)
Jumlah Undi: 25,714

HAMIDI BIN ABU HASSAN (berjasa)
Jumlah Undi: 2,630


3. Parlimen Tapah dimenangi oleh calon BN

SARAVANAN A/L MURUGAN (bn)
Jumlah Undi: 20,670

VASANTHA KUMAR A/L KRISHNAN (PKR)
Jumlah Undi: 12,743

SHAHARUZZAMAN BIN BISTAMAM (isma)
Jumlah Undi: 2,053

 

*info tambahan :

 

(1) Untuk track record sejak 2004, PKR tidak pernah menang kerusi ini.

 

(2) Andai kata ISMA tidak bertanding di sini sekalipun, PKR tetap akan kalah berdasarkan jumlah undi yang ada. Jika seluruh undi ISMA disalurkan kepada PKR, ia tetap tidak akan membantu PKR untuk menang. Jadi, tiada isu untuk “berandai-andai”.

 

4. Parlimen Selayang dimenangi oleh calon PKR

 

WILLIAM LEONG JEE KEEN (pkr)
Jumlah Undi: 52,287

LIM SIANG CHAI (BN)
Jumlah Undi: 34,441

HAJI MOHD HAZIZI BIN AB. RAHMAN (isma)
Jumlah Undi: 4,152

 

5. Parlimen Subang dimenangi oleh calon PKR

 

SIVARASA A/L K. RASIAH (PKR)
Jumlah Undi: 66,268

PAKAS RAO A/L APPLANAIDOO (BN)
Jumlah Undi: 39,549

MOHAMAD BIN ISMAIL (ISMA)
Jumlah Undi: 4,454

 

6. Parlimen Kapar dimenangi oleh calon PKR

 

G MANIVANNAN A/L GOWINDASAMY (PKR)
Jumlah Undi: 69,849

AKTHIVEL A/L ALAGAPPAN (BN)
Jumlah Undi: 46,059

MOHD PATHAN BIN HUSSIN (ISMA)
Jumlah Undi: 6,289

 

7. Parlimen Seremban dimenang oleh calon DAP

 

LOKE SIEW FOOK (DAP)
Jumlah Undi: 45,628

YEOW CHAI THIAM (BN)
Jumlah Undi: 33,075

ABDUL HALIM BIN ABDULLAH (isma)
Jumlah Undi: 6,866

 

Ok selesai bahagian Parlimen. Ada bantahan?

 

Boleh isi borang bantahan.

 

*koff*koff*

 

Kita masuk bahagian DUN pula.

 

1. Dun Kajang dimenangi oleh calon PKR

LEE CHIN CHEH (PKR)
Jumlah Undi: 19,571

LEE BAN SENG (bn)
Jumlah Undi: 12,747

MOHAMAD BIN ISMAIL (isma)
Jumlah Undi: 1,014

 

2. Dun Derga dimenangi oleh calon DAP

 

TAN KOK YEW (DAP)
Jumlah Undi: 10,358

CHEAH SOON HAI (BN)
Jumlah Undi: 9,202

ABDUL FISOL BIN MOHD ISA (ISMA)
Jumlah Undi: 2,061

 

Ok selesai. Ada bantahan?

 

8 PR menang, 1 BN menang (walaupun kalau tiada calon ISMA pun, BN tetap menang).

Jadi, apa relevannya mengatakan ISMA penyebab kekalahan Pakatan Rakyat (PR)?

 

*scratch head*

 

Seruan ISMA menyeru kepada kekalahan PR

 

Ini lagi satu kes saya jumpa yang menyatakan, seruan ISMA iaitu Undilah Calon Muslim Berwibawa menyebabkan PR kalah, terutama menyebabkan Kedah dirampas BN.

 

 

*facepalm*

 

 

Baiklah, saya ingin berkongsi beberapa perkara.

 

1. Saya nak beritahu bahawa keahlian ISMA di seluruh Malaysia hanya sekitar 10,000 – 20,000 sahaja.

 

2. Jumlah Suka (baca : Like) pada muka (baca : Page) Arus Baru (gerakan politik ISMA, jika saya boleh panggil sebagai gerakan), sekitar 15,000++ sahaja. Itupun termasuk ahli ISMA dan orang yang benci (baca : Anti) dengan ISMA.

 

Kalau yang betul-betul nak kenal ISMA suka muka Arus Baru itu mungkin sekadar 2,3 ribu sahaja, atau kurang dari itu.

 

3. ISMA tak pernah dapat masuk media perdana (setahu saya, dapat masuk surat khabar Sinar Harian sahaja), apatah lagi nak sampaikan seruan politik ISMA dalam media perdana.

 

4. Ramai yang mengenali ISMA melalui rakan-rakan dan kemudiannya menolak ISMA. Jika saya boleh berikan peratusan, sekitar 50% (anggaran saya sahaja) yang mengenali ISMA lantas menolak pembawakan ISMA.

 

5. Persoalan saya, berapa ramai sahaja yang tahu seruan undilah calon Muslim berwibawa ni?

 

6. Ada yang menyatakan ahli ISMA di doktrin untuk menyokong UMNO/BN dan mengundi mereka. Sesiapa yang mengatakan sedemikian, baik minta maaf awal-awal.

 

Pada sebahagian orang, undi adalah rahsia. Pada saya, tidak.

 

Saya mengundi calon PKR di peringkat DUN dan Parlimen. Bahkan saya berkempen pada ahli keluarga saya yang mengundi di tempat sama dengan saya untuk mengundi calon PKR, dan alhamdulillah, 4 orang dalam keluarga saya mengundi calon PKR di peringkat Dun dan Parlimen.

 

Baiklah, kenapa saya mengundi, bahkan mengajak keluarga saya mengundi calon PKR? Sebab utamanya adalah atas landasan UNDILAH CALON MUSLIM BERWIBAWA.

 

 

Bukti?

 

 

Baiklah, di Dun Kahang, MIC (BN) lawan dengan PKR ( Hamdan Basiran) dan Parlimen Sembrong, BN (Dato’ Hishamuddin) lawan dengan PKR (Onn Abu Bakar).

 

Di DUN, jika saya di doktrin undi BN, saya dah mengundi MIC/BN. Tetapi atas dasar undi calon Muslim berwibawa, saya mengundi PKR.

 

Di Parlimen pula, perkara yang sama juga saya lakukan, saya mengundi Onn Abu Bakar. Kenapa? Bukankah Dato’ Hishamuddin itu popular di Sembrong, bahkan Menteri Dalam Negeri lagi.

 

Kelass gitu  (kata sesetengah orang)

 

Pada saya, Dato’ Hishamuddin mempunya beberapa isu yang menyebabkan saya hilang percaya padanya, antaranya yang utama adalah isu Lahad Datu. Manakala Onn Abu Bakar masih lagi mempunyai rekod perjalanan (baca : track record) yang bersih.

 

 

Jadi, apa lagi “dalil” yang nak digunakan untuk menyatakan ISMA penyebab Pakatan Rakyat kalah?

 

 

UMNO/BN dan SPR menipu bagaimana?

 

Saya antara yang jadi PACA (Polling agent & Counting agent), dan saya melihat sendiri ketelusan pengiraan undi di Dun Kajang (kalau Kajang PR menang, semuanya telus. Kalau kalah, mesti ada penipuan *sigh*).

 

Tempat lain pula, sekadar hearsay sahaja. Walauapapun, menipu tetap salah dan berdosa. Tiada kompromi.

 

Dan pada saya secara peribadi, memang berlaku beberapa kecurigaan dan kecurangan (berdasarkan maklumat saya dapat), antaranya pertambahan peti undi secara “ilmu hitam”, kemudian blackout secara tiba-tiba sedangkan pihak TNB dah kata kawasan tersebut memang tiada blackout, dakwat kekal yang tak kekal, pengundi hantu, brader luar kawasan (baca : foreigner seperti Bangla, Mynmar, etc) turun mengundi sekali, dan sebagainya.

 

Jadi kepada sesiapa yang berkenaan, bantahlah melalui saluran undang-undang, antaranya dengan mengadakan petisyen bantahan untuk dibawa ke mahkamah Pilihanraya.

 

Jangan libatkan dengan pihak luar negara terutama US. Jangan cari penyakit.

 

 

Muhasabah bersama

 

Pesanan ikhlas dari saya, kita sama-sama muhasabah, samada dari pihak ISMA, PR dan juga BN.

 

Muhasabah kenapa kita kalah, dan kenapa kita menang.

 

Jika (memang ada pun) ada suara yang menyatakan ISMA melambatkan kemenangan Islam, saya ada beberapa persoalan ;

 

1. Adakah kemenangan Islam itu ditentukan oleh manusia? Atau manusia sekadar asbab kepada kemenangan Islam itu sendiri?

 

2. Adakah dengan kemenangan Pakatan Rakyat, Islam akan menang?

 

 

Ok lah, kalau ya sekalipun dengan Pakatan Rakyat, Islam akan menang, apa “dalil” untuk menyatakan ISMA penyebab “Islam” kalah atau lambat menang?

 

Kerana seruan ISMA kah?

 

Nak kata tentang kemasukan calon ISMA, rasanya berdasarkan analisa di atas dan jelas lagi berlampu picit bahawa 8/9 kawasan ISMA bertanding dimenangi oleh calon Pakatan Rakyat.

  

 

Akhir sekali, saya ada persoalan yang rasanya cukuplah kita jawab sendiri.

 

 

1. Bagaimana Allah nak bagi kemenangan kepada kita dalam keadaan akhlak pun masih tak terjaga, yang mana orang yang tidak sependapat dengan kita dihina, dimaki hamun walauapun kita yakin bahawa kitalah di pihak yang benar?

 

Kemudian bila ditegur tentang akhlak, di sindir pulak golongan yang menegur itu. Yang lagi best, dikatakan pula “jaga akhlak” ini trademark golongan tertentu (biasanya dilabel terus kepada ISMA).

 

Saya tergaru kepala.

 

Bukankah Rasulullah sallahu alayhi wasallam diturunkan untuk menyempurnakan akhlak?

 

Seruan akhlak itu adalah dari ISLAM sendiri, ISMA hanya menyampaikan sahaja. Ini tidak, disindir, dikutuk dan dimaki mereka.

 

Rasulullah sallahu alayhi wasallam ada mengajar begitu kah?


 

Dan lagi satu, silalah bezakan di antara HENTAM dan KRITIK. Entri saya ini MENGKRITIK dengan sebab yang saya dah kemukakan. Nak terima ambil, tak nak terima takpe, boleh salurkan bantahan anda mahupun tutup table untuk page ini.

 

 

Mudahkan?

 

 

Moga amal diterima Allah.

 


Tuesday, 30 April 2013

Impian Politik Saya


Malam ni penat menaip untuk thesis, jadi saya ambil masa untuk berehat sambil mengarang blog. Sebenarnya beberapa hari ini, banyak je nota yang saya nak buat dalam blog saya yang dah mula berhabuk ni.


*koff*koff*


Impian Seorang Pelajar


Saya ingat lagi masa saya zaman sekolah rendah, antara cita-cita pertama saya adalah nak menjadi askar. Kenapa nak jadi askar? Sebab impian saya nak mati syahid. Cikgu saya kata, kalau mati Syahid, dapat masuk syurga. Saya pun bersemangat nak jadi askar.

Masa saya sekolah rendah juga – seingat saya sekitar darjah 5 atau 6 – saya juga pernah menanamkan impian untuk mengislamkan  walaupun hanya seorang non Muslim dalam hidup saya –impian itu masih kekal sehingga hari ini-. Cikgu saya kata, jika berjaya Islamkan walaupun seorang non Muslim, insyaAllah dapat pahala Syahid.

Dan saya menanamkan impian itu dalam diri saya sekukuh-kukuhnya.

Apabila merangkak ke sekolah menengah, impian saya nak jadi askar semakin pudar, tetapi impian saya nak Islamkan (dakwah) kepada non Muslim semakin menebal disebabkan saya bergaul dengan ramai pelajar Cina dan India yang non Muslim. Untuk pengetahuan, masa saya sekolah rendah, saya hanya bergaul dengan pelajar Melayu Muslim saja, jadi tiada peluang sangat. Apabila masuk sekolah menengah, semangat saya berkobar-kobar.

Saya berkawan dengan beberapa orang non Muslim, dan cuba nak ceritakan tentang Islam kepada mereka walaupun saya sendiri tak tahu nak cakap apa.

Tapi di takdirkan Allah, saya hanya bersekolah di situ sekitar 2 tahun saja, kemudian saya berpindah ke sekolah Felda (kampung saya) disebabkan faktor keluarga.

Di sekolah tu tiada pelajar non Muslim, jadi saya sedikit kecewa. Tetapi apabila saya lihat sendiri perangai pelajar Melayu Muslim yang sangat teruk, saya sedih. Tak pelik lah sebelum ini ada kawan saya yang non Muslim cakap, perangai orang Melayu ini teruk, dan sekaligus bawak imej Islam yang teruk.

Saya akur dengan kenyataan itu. Masyarakat Melayu Muslim di sekeliling saya kebanyakkanya gagal menunjukkan qudwah (teladan) yang baik kepada non Muslim, mungkin itu menjadi faktor utama non Muslim di Malaysia takut masuk Islam, sebab beranggapan jika masuk Islam, bersamaan masuk Melayu. Bila jadi orang Melayu, jadilah malas, kurang hajar, gangster, kaki pukul, kaki perempuan, dan sebagainya.

Tetapi impian itu tetap saya tanam. Saya berazam untuk berdakwah kepada masyarakat khususnya bangsa Melayu agar kembali mengamalkan Islam dengan sempurna. Azam yang saya tanam bersama impian saya.

Kemudian sekitar saya tingkatan 4 (2007), saya mula ambil tahu perkembangan politik Malaysia. Tetapi waktu itu saluran maklumat saya terbatas, hanya Utusan Malaysia, Berita Harian dan Buletin TV3. Perkara yang menghairankan saya, tersangat-sangat hairan adalah kenapa dalam surat khabar dan berita tersebut, ashik menayangkan kesalahan pembangkang, iaitu PAS ketika itu.

Saya berfikir, adakah orang UMNO semuanya bagus-bagus belaka?

Apabila saya bergaul dengan orang UMNO yang “totok”, saya rasa lebih teruk dari apa yang digambarkan di media.

Di takdirkan, pakcik saya adalah orang kuat PAS (ketika itu, sekarang orang kuat PKR). Tetapi pakcik saya seorang yang panas baran. Dan ketika itu juga, dia melanggan surat khabar Harakah. Saya sempat membelek dan membaca surat khabar tersebut walaupun tak kesemuanya.

Kurang lebih sikit macam Utusan Malaysia, cuma bezanya Harakah ni islamik, tiada nombor ekor, dan tiada artis pakai seksi-seksi. (penilaian saya ketika tu)

Saya berfikir, kenapa parti UMNO dan PAS tidak mahu bersatu, sedangkan mereka adalah parti Melayu Muslim. Saya tinggalkan persoalan itu dalam benak fikiran saya, tetapi dalam masa yang sama, timbul impian baru saya – impian tersebut masih kekal sampai hari ini- iaitu saya mengimpikan parti UMNO dan PAS bergabung, kalau tidak pun bersatu di bawah satu bendera seperti Barisan Nasional (atau hari ini Pakatan Rakyat).

Pada tahun berikutnya, iaitu 2008 berlakunya Pilihanraya Umum ke-12 (PRU12) sekitar bulan April kalau saya tidak silap. Waktu itu pertama kali dalam hidup saya mengambil tahu tentang pilihanraya walaupun bukan secara serius.

Tetapi waktu itu juga saya hati saya kecewa kerana pergaduhan, caci maki hamun, kutuk mengutuk berlaku di antara penyokong parti UMNO dan PAS.

Saya kecewa dan sedih.

Sedih teramat sangat dengan perpecahan kaum Muslimin yang berlaku.

Sehingga pada suatu hari, ketika di perpustakaan sekolah, sedang saya membaca surat khabar Utusan Malaysia, seorang sahabat saya – Haziq – memberitahu saya,

“Shuk, kau baca benda ni pun, belum tentu betul. Kita tak tahu siapa yang betul, siapa yang salah. Bapak aku kata, baik kita tak payah ambil tahu..”


Saya tersentap.


Tak payah ambil tahu. Ya, tak perlu ambil tahu.

Seolah ada satu “suis” dalam kepala saya di matikan, lalu saat itu juga, saya tutup surat khabar tersebut, dan saya cari buku Kimia untuk saya ulangkaji pelajaran.

Dan itulah hari pertama bermulanya saya tidak mengambil tahu lagi hal ehwal politik Malaysia. Saya nak tengok berita dalam buletin TV3 pun saya malas. Apatah lagi baca surat khabar.

Juga ketika ini saya masih berfikir bagaimana untuk saya melaksanakan azam saya iaitu mengubah bangsa Melayu Muslim saya menjadi lebih baik agar menjadi teladan kepada non Muslim.

Dan ia berlarutan sehingga beberapa tahun…


2012 – Kesatuan Ummah membara!

Ketika tahun 2012, saya sedang berada di Universiti Kebangsaan Malaysia, dalam tahun yang kedua pengajian. Tahun inilah, impian dan azam saya sebelum ini mendidih dan membara tidak seperti sebelum ini. Saya mula mengambil tahu hal ehwal politik Malaysia. Di tambah dengan penglibatan saya dalam sebuah organisasi atau gerakan Islam, maka saya menghidupkan semula “suis” kepada saya yang terhenti untuk seketika waktu. Saya juga sudah nampak bagaimana cara untuk melaksanakan azam saya iaitu untuk kembalikan bangsa saya, bangsa Melayu Muslim untuk kembali kepada Islam, iaitu dengan jalan dakwah dan tarbiyyah!

Ketika ini juga, impian saya untuk membangkitkan semula Kesatuan Ummah merentas Jemaah dan ideologi politik semakin membara. Saya tak pernah putus asa, bahkan sampai sekarang (tahun 2013). Walaupun saya lihat ia seolah mustahil terutama pada saat ini, saat di mana PRU-13 akan berlangsung, tetapi jika Allah mentakdirkan itu yang terbaik untuk hamba-Nya, tiada apa yang mustahil.

Mungkin apabila saya melaungkan kesatuan Ummah ini, orang akan menanggap saya dan gerakan yang saya sertai sebagai proksi UMNO, kerana disangka menjadi sebahagian talian hayat UMNO yang dijangkakan kalah PRU-13 ini.

Respon saya?

Allahu Musta'an. Impian politik saya ini bukan saya tanam baru tahun ini atau menjelang pilihanraya, tetapi impian ini saya tanam sejak saya di bangku sekolah lagi. Ia takkan pudar, sekali-kali takkan pudar.

Sampai bila?

Sampailah Islam diletakkan semula kepada tempat yang asal, iaitu menegakkan agama (Islam) dan mentadbir dunia dengannya.

 Dan saya yakin teramat sangat bahawa impian saya ini dikongsi oleh ramai lagi masyarakat Muslim di luar sana, meskipun ada juga yang tidak bersetuju dengan saya. Saya berlapang dada, ini adalah impian saya, dan kamu yang tidak bersetuju tidak boleh halang impian saya.


Dua impian saya serta azam saya (walaupun impian saya untuk menjadi askar kini tinggal kenangan) iaitu dakwah dan tarbiyyah kepada bangsa saya, berdakwah kepada non Muslim dan mengimpikan Kesatuan Ummah merentas Jemaah dan ideologi politik ini tidak akan terpadam, walaupun nyawa saya terpaksa menjadi galang ganti demi melaksanakan misi ini.

Moga saya dapat melaksanakannya.

 
Dan moga amal diterima Allah.


Thursday, 11 April 2013

Buang sekolah? Salah siapa?



Baru-baru ini kita dikejutkan ( tak berapa terkejut sangat pun) tentang kes pukul ketua tingkatan beberapa hari lalu melalui sebuah video yang tersebar di facebook. Dan ia dibawa sampai ke kes polis, dan akhirnya tiga (3) pelajar yang memukul ketua tingkatan tersebut dibuang sekolah.

Malah ada lagi video  yang mana pergaduhan sehingga menghempas mangsa dengan pasu bunga. Videonya anda semua boleh cari difacebook.

Saya teringat dahulu masa darjah enam (6), saya pernah terlibat dalam kes pergaduhan secara langsung, yang mana saya dipukul oleh senior saya tingkatan 1. Tapi sekejap saja sebab saya diam dan lari gitu saja (budak-budak la katakan). Masa tingkatan 2, saya pernah melihat depan mata saya pergaduhan melibatkan dua (2) pelajar tingkatan 5 sehingga seorang pelajar dihempuk dengan batu bata sehingga kepalanya berdarah.

Tuding jari.

Kes gaduh antara pelajar ni bukan hanya berlaku dalam di satu, dua sekolah saja, malah hampir majoriti sekolah di Malaysia ada pelajar yang terlibat dengan kes gaduh. Ada pihak yang menuding jari dengan menyatakan punca kes ini berlaku adalah dari pelajar sendiri, ada yang kata dari ibu bapa, media massa, pihak sekolah, malah ada juga menyalahkan pembangkang dan kerajaan yang mentadbir.

Semua orang menuding jari antara satu sama lain dalam isu ini, sebenarnya bukan isu ini saja, bahkan isu-isu lain seperti buang anak, berzina, kes juvana, dan lain-lain.

Soalannya, siapa yang salah dalam hal ini?

Saya secara peribadi, tidak mahu menyalahkan sesiapa.Semua pihak ada “saham” dalam menyumbangkan sesuatu untuk pembangunan pelajar khususnya, bukan hanya satu-satu pihak saja. Saya lebih suka kita muhasabah diri masing-masing, sejauh mana kita sumbangkan untuk pembangunan pelajar ini? Atau kita hanya suka menyalahkan orang lain saja tanpa melihat diri sendiri?

Buang sekolah, solusi terbaik?

Saya mengutarakan soalan ini kepada umum, dan pengetua kolej kediaman saya respon tentang isu ini. Antara point utama yang saya bersetuju adalah, kesan daripada buang sekolah ini akan menjatuhkan moral dan motivasi pelajar untuk sambung sekolah, atau mungkin lebih kritikal untuk berubah menjadi baik.

Antara kata-katanya yang boleh kita ambil iktibar ;


“Sejarahnya, hukuman buang sekolah adalah tradisi pendidikan barat. Diamalkan di UK sejak abad ke 17 dan kemudiannya dimulakan oleh kuasa kolonial di negara kita sejak sekolah Inggeris pertama di buka di Penang (Penang Free school).

Amalan buang sekolah tidak ada dalam tradisi pendidikan Islam. Malangnya kerana masyarakat kita (khususnya pendidik dan pentadbir sekolah) tidak menghayati falsafah pendidikan, maka kita semua setuju untuk teruskan amalan buang sekolah. Memang ada pelajar yang melakukan jenayah, itu mestilah dihukum juvana (bukan buang sekolah tetapi dipindahkan ke sekolah khas).

Dalam keadaan lain, hukuman buang sekolah dan gantung sekolah hanya menambahkan masalah dalam masyarakat, walaupun sekolah tersebut sudah tidak bermasalah lagi. Jika kita teguh percaya semua anak anak adalah baik, kita akan tolak hukuman buang sekolah. Jika kita percaya pendidikan kita terbaik, kita tidak akan lepaskan tanggungjawab sekolah dengan buang pelajar atau gantung pelajar. Tetapi, ada reservation.

Sekolah sahaja tidak akan boleh memberikan pendidikan terbaik kalau ibubapa dan masyarakat tidak membantu. Juga kalau dasar pendidikan yang tidak dilaksanakan sebaiknya. Selain kesalahan jenayah, pelajar tidak sepatutnya dibuang sekolah. Mereka harus dibimbing, dikaunseling dan ditarbiyah. Jika tidak berjaya, maknanya guru besar, guru kauseling, guru moral, ustaz dan ustazah gagal dalam melaksanakan pendidikan membangunkan insan.

Albert Enstein juga pernah di buang sekolah kerana beliau dikatakan terlalu banyak bertanya soalan pada gurunya. Akhirnya dibuang sekolah kerana bimbang mempengaruhi pelajar lain. Ada gurunya mengelarkan beliau 'lazy dog' kerana beliau tidak berminat dengan pengajaran guru yang beliau sifatkan tidak relevan. Beliau banyak belajar sendiri dan akhirnya beliau membina teori yg sehingga hari ini masih kukuh...”


Jadi adakah pelajar tersebut tak perlu dibuang sekolah dan dibiarkan sekolah semula?

Saya tiada jawapan spesifik dan khusus. Saya tiada pengalaman jadi guru, dan ia bukan bidang saya. Saya cuma melontarkan pendapat dua sen dalam blog saya ini.

Apa yang perlu kita lakukan?

Setiap orang ada peranan tersendiri dalam membentuk keluarga hatta masyarakat. Kalau kita sebagai seorang pelajar, belajar dengan bersungguh-sungguh, jika kita sebagai ibu bapa, beri didikan terbaik untuk anak-anak, bukan sekadar “melepaskan” pada pihak sekolah, Pihak sekolah pula, memberi pendidikan terbaik bukan sekadar untuk dapat A semata-mata.

Media massa juga sepatutnya (tetapi sekarang banyak yang tak patut) menyiarkan cerita ataupun filem yang memberi pengajaran, bukan berunsur gosip liar, hedonisme, gangsterisme dan porno!


Cadangan saya ini mungkin akan jadi sekadar cadangan kosong untuk orang lain, tetapi saya harap tidak kosong pada saya.

Muhasabah diri kita, sejauh mana kita menyumbang kepada ummah?


Moga amal diterima Allah.