Semalam
(19/10/2013) saya menghadiri sebuah nadwah (sejenis aktiviti tarbiyyah selain dari usrah) iaitu Himpunan Mahasiswa 2.0 yang
dianjurkan Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) di UPM. Menghadiri sebuah
himpunan yang dihadiri oleh batang tubuh yang berusaha untuk mencari redha
ilahi, membuatkan saya terasa kerdil di sisi mereka semua.
Ibarat
seekor semut hitam bersama dengan sekumpulan besar singa dan harimau.
Terasa
ingin saya karang dan kongsikan setiap perkara yang saya dapat. Rasanya jika
saya dapat kongsikan setiap detik tersebut, mungkin saya dapat membuat sebuah
buku agaknya.
Tetapi
cukup untuk saya kongsikan beberapa perkongsian mengenai kepimpinan yang di
sampaikan oleh al fadhil Dr Aznan Hasan, seorang alim yang sangat saya kagumi.
Bukan hanya saya kagumi ilmu yang mencurah-curah dari beliau, malah saya sosok
batang tubuhnya yang mana beliau amat lantang apabila bersuara cukup membuat
saya terpana.
Kepimpinan Adalah Pengaruh
Menurut
seorang sarjana barat (saya terlupa namanya), leadership atau kepimpnan adalah seseorang yang mempunyai kekuatan
pengaruh (yang bukan erti kata memerintah) yang mampu untuk mengumpulkan
kekuatan orang lain bagi menyelesaikan sesuatu misi.
Dengan erti
kata lain, kepimpinan adalah pengaruh.
Perkara ni
dah dijelaskan oleh Saidina Umar al Khattab yang dinaqalkan oleh Ibn Qayyim al
Jauziyyah, yang mana beliau menyebutkan (lebih kurang mafhumnya) ;
“Aku hendak
seseorang lelaki jika sekiranya dia berada dalam sekelompok manusia dan ia
bukan ketua kelompok itu tetapi dia seolah-olah ketua kumpulan itu, tetapi
sekiranya dia seorang ketua, dia seolah seperti salah seorang dari kita”
Kepimpinan Yang Ada Dalam Setiap
Batang Tubuh
Saya masih
ingat lagi tegasan yang dibuat oleh Dr Aznan yang mana beliau dengan lantang
memberitahu bahawa setiap batang tubuh ahli PEMBINA kena sedar dan faham bahawa
mereka adalah PEMIMPIN!
Samada
pemimpin melalui jawatan atau pemimpin melalui teladan.
Jadi apa yang
perlu dilakukan sebagai pemimpin?
Ini antara point yang Dr Aznan tegaskan apa yang
perlu dilakukan, iaitu :
1. Kena
faham tuntutan PRIORITI atau keutamaan.
Ibn Qayyim
pernah menyatakan bahawa syaitan akan berusaha menyesatkan manusia tanpa putus
asa secara berperingkat atau “bervisi” (tambahan saya) iaitu ;
1)
Menyesatkan manusia hingga kafir. Jika tidak mampu, mereka akan,
2)
Menyesatkan manusia hingga mengamalkan atau melakukan perkara bida’ah.
3) Jika
tidak mampu lagi, mereka akan menyesatkan sehingga manusia melakukan dosa
besar.
4) Tetapi
jika masih tidak mampu lagi, mereka akan menyesatkan dengan membuat manusia
berterusan dengan dosa kecil.
5) Jika
masih tidak mampu lagi, mereka akan menyesatkan dengan menggalakkan manusia melakukan
perkara mubah (harus). Contohnya seperti makan dengan berlebihan, melalaikan
dengan bermain game, dan sebagainya.
6) Dan
senjata yang terakhir sekali di mana hampir setiap duat (pendakwah) tewas
dengan godaan ini adalah dengan mereka menyesatkan manusia dengan meletakkan atau menentukan aulalwiyyat
(keutamaan) yang salah!
2. Bekerja
secara berjemaah.
3. Bekerja
dalam circle of influence (pengaruh
persekitaran seperti kawan-kawan, adik beradik dan sebagainya)
4. Memberi
contoh melalui teladan
5. Memberi
inspirasi kepada orang lain
6. Bersifat
optimistik dan konfiden
7. Bergerak
dan bekerja dengan ilmu
Dan yang
terakhir sekali adalah mesti proaktif!
Apa Dakwah PEMBINA?
Dakwah yang
memberi maksud (secara umum) adalah seruan. Ya, apa seruan PEMBINA?
Dakwah
PEMBINA adalah dakwah Islamiyyah. Dakwah Islamiyyah adalah dakwah yang menyeru
manusia kepada Allah dan meninggalkan segala jahiliyyah dan kebatilan samada
dari sudut akidah (termasuk ideologi), syariah dan akhlak. Dakwah Islamiyyah
bukan dakwah yang pragmatis (mengikut sesuatu tanpa prinsip), tetapi ia adalah
dakwah prinsip yang bersifat akomodatif (memberi ruang atau acuan untuk faham).
Masih
terngiang-ngiang pesanan Dr Aznan yang mana beliau menyatakan, dalam dakwah
PEMBINA dan ISMA, kita tidak mahu “pak turut” (mengikut tanpa ilmu) dan taksub.
Kita seorang yang taat dalam bentuk yang faham dan proaktif.
Untuk menghasilkan taat itu, kita kena ada
ilmu. Dan untuk ada ilmu itu, kita kena faham sesuatu perkara dengan
sungguh-sungguh!
Bangkitlah dengan HIMMAH!
Himmah ini
bukan sekadar akronim untuk Himpunan Mahasiswa, malah ia adalah perkataan arab
yang memberi makna “semangat yang berkobar-kobar”. Tetapi sebenarnya ia memberi
maksud lebih dari semangat, sesuatu yang sukar untuk saya gambarkan dengan
perkataan melayu.
Saya
teringat kata-kata Umar al Khattab ,
“Janganlah
kamu mengecilkan himmah kamu, kerana aku tidak nampak kemuliaan pada orang yang
mempunyai himmah yang lemah”
Dan sebuah
kata-kata dari Ibn Qayyim untuk renungan ikhwah dan akhwat sekalian,
“Di antara
tanda-tanda orang yang mempunyai kesempurnaan akal adalah orang yang tinggi himmah,
tetapi tanda-tanda orang yang lemah akalnya adalah orang yang hina.”
Moga
PEMBINA mampu meneraju arus mahasiswa!
Moga Allah
redha.
No comments:
Post a Comment