Friday, 6 September 2013

Kenapa Aku Bersama Jemaah Islam



[AMARAN : Tulisan ini ada terselit beberapa perkataan yang mungkin sebahagian dari anda tidak faham. Kalau tidak faham, tanya ya. :) ]

Saya yakin, tiada siapa yang mahu hidup keseorangan, atau bahasa mudahnya Forever Alone. Masing-masing pasti inginkan teman, paling tidak pun teman dalam melayari rumahtangga.

Saya teringat zaman sekolah dulu, kalau hendak ke tandas saja, mesti saya akan ajak seorang kawan saya teman. Bukan sebab takut, tapi bosan.

Erk.. tandas je pun, bukan jauh.

Tapi itulah fitrah manusia. Inginkan berteman, atau lagi best beramai-ramai atau secara berjemaah. Hatta apabila saya dah masuk ke alam universiti pun, kalau nak pergi makan mesti pergi makan secara berjemaah. Jangan bohong diri anda kalau anda suka buat setiap perkara seorang diri seumur hidup anda.

Malah untuk bersenam pun, saya lebih suka buat secara berjemaah. Di rumah saya ada dumbell, tetapi saya jarang gunakannya. Saya lebih gemar ‘bermain’ dumbell semasa di Gym. Padahal benda sama je yang saya buat. Bukan saya saja, malah ramai berkata begitu.

Maka, dalam perkara-perkara kecil pun kita suka buat berjemaah, apatah lagi perkara besar yang melibatkan dakwah dan tarbiyyah atau amr ma’ruf nahi mungkar.

Demi merasakan semangat dan keseronokan menjadi sang penyeru, saya memilih untuk dilakukan secara berjemaah, lantas menyerti beberapa organisasi Islam atau dengan kata lainnya, Gerakan Islam.

Menyertai Jemaah Islam

Saya mula mempunyai kesedaran untuk berdakwah ketika saya di kerusi matrikulasi. Ketika itu, saya masih tak tahu nak ‘bekerja’ bersama siapa. Jadi, saya lakukan dakwah seorang diri dengan mengajak sahabat-sahabat saya untuk ke masjid. Itulah dakwah pertama yang saya lakukan.

Siri dakwah yang berkembang semasa saya di kerusi universiti. Pada tahun satu, saya menyertai Gerakan Tabligh. Kemudian tidak lama kemudian saya menyertai Gerakan Islam PAS, dan selepas itu saya menyertai pula Gerakan Islam Ikatan Muslimin Malaysia, ISMA.


Kenapa Saya Menyertai Jemaah Islam?

Kepada sesiapa yang pernah membaca buku Maza Ya’ni Intima’ lil Islam (Kenapa Saya Menganut Islam) yang dikarang oleh Syeikh Fathi Yakan, pasti akan memahami keperluan menyertai Jemaah Islam.

Tetapi saya menyertainya sebelum saya bertemu buku tersebut dalam silibus usrah saya. Bukan nak kata saya ni bagus, tidak. Tetapi mungkin fitrah untuk bergerak kerja bersama menyebabkan saya teringin untuk bergerak dalam Jemaah Islam.

Tambahan pula, dengan seruan Rasulullah sallahu alayhi wasallam,

"Sesungguhnya syaitan itu adalah serigala kepada manusia, samalah seperti serigala kepada kambing, ia akan memakan kambing yang jauh terpencil daripada kumpulannya, maka berhati-hatilah kamu dan hendaklah kamu sentiasa bersama-sama dengan jemaah dan orang ramai".
(Hadis riwayat Ahmad)

Umar Al-Khattab juga pernah berkata:

"Sesungguhnya tiada Islam melainkan dengan jemaah, tiada jemaah melainkan dengan kepemimpinan dan tiada kepemimpinan melainkan dengan ketaatan".
(Hadis riwayat Ahmad)

menguatkan lagi tekad dan semangat saya untu bersama Jemaah Islam.

Siri Dakwah Secara Jemaah.

Masa pertama sekali saya terlibat dengan jemaah adalah dengan Gerakan Tabligh. Saya sertai sekitar hampir setahun lebih dan paling lama saya ‘keluar’ adalah 40 hari di Kedah, Perak dan Pulau Pinang.

Kemudian sekitar hujung tahun 2011, saya menyertai pula Gerakan Islam PAS. Sebahagian orang memandang PAS sebagai sebuah parti politik dan tak lebih dari itu. Tetapi itulah kesilapannya, sedangkan PAS bukan hanya parti politik, tetapi juga merupakan Gerakan Islam.

Kemudian selang setahun selepas itu, saya menyertai pula gerakan Islam Ikatan Muslimin Malaysia, ISMA. ISMA bergerak sebagai sebuah badan bukan kerajaan, NGO sama seperti beberapa gerakan Islam di Malaysia seperti Pertubuhan IKRAM Malaysia, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), HALUAN, dan Hizbut Tahrir. (Ada lagi yang saya tertinggal?)

Kenapa Bertukar-Tukar Jemaah?


Ini soalan paling popular ditanya kepada saya, kenapa tukar jemaah. Kebanyakannya akan tanya kenapa saya berubah arah dari PAS ke ISMA. Ada yang kata saya ni pengkhianat jemaah Islam, dan sebagainya. Abaikan penghinaan orang terhadap saya.

Bekerja dalam jemaah ini ibarat bekerja dalam sebuah syarikat. Ghaya (tujuan) kita bukan jemaah, tetapi ghaya kita adalah Allah. Jemaah adalah kenderaan untuk menujunya. Dalam menaiki ‘kenderaan’ menuju redha Allah, termasuk dalam masa kita bekerja untuk meninggikan kalimah Allah, suatu perkara yang saya titik beratkan untuk diri saya adalah,

KESELARASAN FIKRAH DAN KESELESAAN.

Keselarasan fikrah ini, saya ibaratkan sebegini. Dalam kita bekerja dengan sebuah syarikat, pekerja yang cemerlang adalah pekerja yang turut mewarisi visi dan misi yang ada dalam diri Bos syarikat. Sama seperti bekerja dalam sebuah jemaah, kita memerlukan keselerasan fikrah dalam bekerja. Kita memahami dan menghadam secara baik gerak kerja serta visi dan misi Mas’ul kita, atau Presiden jemaah kita.

Jika tidak selaras, maka para kader akan hilang semangat ataupun hilang arah dalam bekerja. Mungkin ini kelemahan saya dalam memahami dan menghadami fikrah Tabligh dan PAS dengan baik. Sama juga dengan keselesaan. Saya tidak tahu kenapa, tetapi saya berasa tidak selesa. Sampai hari ini, saya masih mencari jawapan kenapa perasaan tidak selesa ini wujud semasa saya bersama Tabligh dan PAS, namun tidak semasa bersama ISMA.

Bagaimana pula dengan ISMA?

Apabila pertama kali saya mendengar mengenai ISMA, dan melihat visi dan misi nya, serta melihat dan mendengar beberapa penerangan mengenai ISMA oleh pimpinannya, saya terus terpaut hati tanpa sesiapa memaksa saya. Malah tiada siapa ajak saya.

Saya yang pergi mencari sendiri. Saya berkenalan dengan seorang Akhi ISMA ini, dan terus menyatakan hasrat untuk menyertai usrah dan gerakannya.

Tiga Jemaah Dalam Satu Masa

Perkara yang saya rasa berat sekali adalah menyertai tiga jemaah dalam satu masa. Pernah seketika saya berada dalam tiga-tiga jemaah ini serentak sebelum saya membuat keputusan untuk keluar dari dua jemaah lain, dan menyertai ISMA.

Bayangkan dalam satu minggu, ada dua kali usrah PAS iaitu saya menjadi mutarabbi dan lagi satu saya menjadi murabbi, dua kali usrah ISMA iaitu saya menjadi mutarabbi dan murabbi juga, dan pada hari jumaat, sabtu dan ahad, saya keluar 3 hari mengikuti jemaah Tabligh.

Sangat penat, sungguh sangat penat. Ibarat kita bekerja dengan 3 syarikat sekaligus. Akhirnya ada seorang senior menasihatkan saya agar memilih satu jemaah saja yang dekat dengan hati saya.

Ini Pandangan Saya

Saya ingin nyatakan bahawa apa yang saya tulis ini adalah dari sisi pengalaman saya dan merupakan pandangan juga kefahaman saya. Saya tidak memaksa sesiapa pun menerima pandangan dan tulisan saya.

Tiada paksaan.

Pandangan saya ini mungkin boleh jadi benar boleh jadi salah. Dan ia luas terbentang untuk dikritik oleh mana-mana pihak. Saya masih muda lagi dalam medan amal ini, rasanya masih tidak sampai setahun jagung pun. Malah lagi ramai yang lebih pro aktif di luar sana.

Apa yang saya mohon adalah, doakan saya dan semua para kader dakwah dari semua pelusuk jemaah agar istiqomah dalam jalan ini.

Seeru ‘ala barakatillah!

Moga amal diterima Allah.

Comments
1 Comments

1 comment:

  1. Assalamualaikum , hari tu kmi ada program , lepas tu ketua kem tnya soalan ne dekat kami , "klu serigala tu pun datang secara b'kumpulan mcm mna ?" #Just bertanya .

    ReplyDelete