Saturday, 1 March 2014

Kerana Allah Itu Tidak Mengecewakan. Percayalah!

Beberapa hari lepas (dah seminggu lebih rasanya), ada seorang rakan kepada rakan saya 'mengadu' atau meminta 'kaunseling' dari saya, seorang kaunselor yang tak bertauliah. Apatah lagi nak ada lesen. Mimpilah. Cap ayam sungguh saya. Tetapi hairan kenapa kawan saya boleh cadangkan nama saya.

Garu kepala.

Tetapi tak apalah. Saya cuba bantu mana yang paling mampu. Mula-mula saya nak mesej sahaja dia, kemudian disebabkan saya malas menaip mesej dan ada perkara yang penting, maka saya call dia untuk memudahkan bual bicara dan penyampaian.

Saya tanya dia, apa masalah dia. Tanpa banyak bicara, dalam nada sedu sedan, dia terus memulakan ceritanya.

Oh sebelum tu, saya rahsiakan namanya. Kita nak tahu ibrah atau pengajaran dari kisah dia, bukan siapa dia. Kita anggap dia sebagai "A".

"Manusia yang cetek agama.." kata dia masa mesej awal dengan saya, "boleh ke berubah? Ada ke jalan?"

Bila saya membaca soalan ini, saya tersenyum simpul. Kemudian saya memulakan sedikit dialog ringkas sebelum dia bertanya soalan seterusnya.

"Kenapa Allah tak makbulkan doa saya? Saya nak ibu bapa saya macam orang lain. Suruh anak-anaknya solat. Marah bila anak-anak tak solat."

"Saya nak ibu bapa saya solat berjemaah dengan saya. Saya nak diorag bagi didikan agama dekat saya. Saya nak semua benda yang ibu bapa orang lain buat dekat anak diorang. Tetapi hakikatnya, doa saya tak pernah jadi kenyataan..."

Bunyi nada pada akhir mesej itu seolah kecewa dan putus asa.

Tanpa saya sedari, berkaca mata saya. Saya tak perasan bahawa saya nak menangis. Sedih..

Bukan sedih dengan apa yang dia lalui. Tetapi sedih kerana apa yang dia fikirkan, pernah saya fikir dan lalui satu ketika dulu.

Bahkan lebih lagi...

Selepas itu, saya terus nekad untuk call dia untuk berkongsi beberapa cerita serta nasihat. Sebab pada saya, jika tidak dibetulkan bentuk fikir ini, akan membawa kepada situasi yang lebih parah dah bahaya.

Ada Melalui Jalan Bahagia.

Kemudian tadi, ketika saya bukak facebook, secara tidak sengaja terpapar satu status seorang rakan facebook saya, yang berkongsi kerinduan kepada ibu bapanya di rumah sambil tunjuk gambar ibu bapa mereka yang sedang bergurau senda.

Antara status yang ditulis ;

"Syurga,

Anak rindu.
Doakan anak tenang di sini ye.
Anak rasa macam terlalu banyak tekanan sekarang ni.
Mungkin sebab anak exam kut.
Doakan anak dapat menjawab exam dengan tenang ye. Nak ketam nak sotong nak sambal belacan nak sambal tumis ikan bilis nak mee ayah nak nak nak facial nak baju heh.

Rindu."

Bila saya membaca status ini, saya rasa sebak secara tak sengaja.

Entah. Saya tidak tahu mengapa. Mungkin saya rindu pada ibu saya di kampung.

Mungkin juga saya rindu dan teringin untuk mempunyai ibu bapa seperti rakan saya itu. Seperti mana yang diinginkan oleh rakan baru saya, si A.

Tetapi tidak bermaksud saya iri hati pada dia.

Tidak sama sekali.

Kerana itu rezeki dia, mempunyai seorang ibu dan ayah yang banyak mengambil berat urusannya, ada disisi ketika dia tertekan, sentiasa memberi semangat ketika dia jatuh.

Saya turut gembira kerana Allah kurniakan dia keluarga sebegitu. Dan saya juga turut bahagia dengan keluarga saya. Walaupun banyak kekurangan sana sini, tetapi bahagia itu tetap saya nikmati.


Kita Yang Mencipta Melodi Hidup Kita

Saya masih muda lagi. Masih mentah dalam banyak perkara. Masih gelabah dalam pelbagai situasi.

Tetapi saya juga diizinkan Allah untuk melalu dan menghadapi rencam ragam yang pelbagai.

Hidup ini ibarat melodi lagu. Kita yang buat dan reka melodi tersebut. Samada menjadi merdu, sumbang, mendayu, rancak, atau sebagainya.

Anda adalah komposer lagu hidup anda sendiri. Kerana itu Allah ilhamkan kepada kita dua jalan.

Jalan menuju ketaqwaan dan jalan menuju kebinasaan. Beruntunglah sesiapa yang memilih jalan menuju ketaqwaan, rugilah sesiapa yang memilih jalan menuju kebinasaan.

Sesiapa yang mengenali saya secara peribadi, mereka akan tahu bagaimana perjalanan hidup saya satu ketika dulu, dan bagaimana saya ubah semula melodi saya dari sumbang kepada sedikit merdu.

Err.. Takde la merdu sangat. Sumbang juga kadang-kadang. Sedap didengar sendiri je barangkali. Eheh.

Saya sedar dan tahu, di sana ramai orang mencari-cari jalan dan makna hidup ini. Di sana juga ramai menanti-nanti dan teringin ibu bapa mereka menjadi sebaik malaikat dan seanggun bidadari. Namun ramai juga yang kecewa kerana pada mereka permintaan mereka pada Pemilik Langi dan Bumi masih lagi tidak diperkenankan.

Erk, faham ke dak ni? Ok, saya tak tulis bahasa langit sangat. Saya guna bahasa bumi. Hehe. Guna bahasa mudah.

Saya tahu ramai yang mungkin hampir kecewa dan putus asa dengan doa kepada Allah.

Dan saya tahu ramai yang menginginkan ibu bapa mereka adalah ibu bapa yang soleh, tetapi sayangnya tidak soleh seperti mana yang mereka impikan. Bahkan kadang-kadang lebih teruk.

Dan saya juga tahu ramai juga yang menginginkan kehidupan yang menggembirakan, ada adik beradik yang sporting dan memahami, ada harta yang dapat menampung kehidupan mereka, ada kereta yang boleh bawa mereka jalan-jalan, ada duit lebih untuk dibawa melancong ke mana-mana dan lain-lain.

Saya tak mahu cerita tentang apa yang berlaku pada kehidupan saya yang lalu. Saya cuma nak nasihatkan sedikit saja. Nasihat ini saya cuba semaksima mungkin untuk jujur dan ikhlas dari hati saya.

Saya cuba menulis dari hati, agar ia dapat menyentuh hati-hati yang ingin mencari.

Nasihat saya...

Setiap orang ada jalan cerita sendiri. Ada melodi yang tersendiri.

Ada yang indah, ada yang pedih.
Ada yang gembira, ada yang duka.
Ada yang sumbang, ada yang merdu berkumandang.
Ada yang semanis madu, ada yang sepahit hempedu.

Tetapi ketahuilah, Allah takdirkan apa yang berlaku pada diri kita semua PASTI dan PASTI ada hikmah dan rahsia disebaliknya.

Tugas kita pula, TERUSKAN hidup ini, dan teruskan BERHARAP kepada Allah. Jangan mematikan doa kita kepada-Nya. Jangan pernah putus asa. Jangan pernah mengalah!

Kerana percayalah cakap saya..

Jika kita tidak berputus asa dengan rahmat Allah, dan jika kita sentiasa berdoa dan bersangka baik kepada Allah, nescaya suatu hari nanti kita akan menjumpai permata hikmah yang tersembunyi disebalik perjalanan yang kita akan lalui pada masa depan.

Buktinya? Alhamdulillah saya sudah ketemukan permata hikmah itu. Walau tidak semua, namun cukup untuk saya terus melaju berlari menuju Allah.

Percayalah...

Kerana Allah itu tidak pernah mengecewakan.

:)


Moga Allah redha.

- Shukery -

Wednesday, 26 February 2014

Taubat Dalam Taubat.

Dulu semasa saya di bangku sekolah, saya antara pelajar yang agak nakal. Bukan nakal yang biasa-biasa, tetapi nakal yang “luar biasa” sikit. Apa yang saya buat?

Biarlah antara saya dengan Allah ja yang tahu.

Jatuh kerusi.

Macam antiklimaks pula. Eheh.

Kenakalan saya berlarutan sehingga saya menghampiri Peperiksaan Menengah Rendah (PMR). Ketika itu, saya mula tersedar dari dibuai mimpi lena dan angan-angan dunia serta dari kesilapan dan kesalahan saya. Saya mula menyesal teramat sangat. Saya rasa sedih dan malu dengan diri saya. Saya bertaubat.

Namun, akhirnya saya tetap seorang manusia. Tidak mampu menjadi malaikat, apatah lagi Nabi.

Kotoran degil dalam diri saya tidak semudah dibersihkan seperti menggunakan serbuk Breeze atau Downy 4x!

Dosa yang pernah saya lakukan kadang kala diulang, ulang dan terus ulang lagi. Ibarat megamovie dalam Astro Fox. Setiap kali saya ulangi dosa tersebut, saya rasa menyesal dan bersalah. Seolah saya mempermainkan taubat. Saya juga takut andai saya mati dalam keadaan saya melakukan dosa yang sama. Dan lebih menakutkan saya adalah bila Allah tidak terima taubat saya kerana sering kali mengulangi dosa yang sama.

Nangis laju-laju.

Ketika saya memasuki zaman matrikulasi, Allah beri kekuatan kepada saya untuk lebih mendekatkan diri kepada agama. Saya mula rajin ke masjid dan menghadiri halaqah-halaqah ilmu selepas solat. Ketika itu juga, saya mula rajin untuk membaca buku-buku motivasi dan agama (Err.. sebenarnya memaksakan diri untuk rajin membaca, bertuah nak rajin gitu saja. Ohoi).

Alhamdulillah, saya mula mendekati dan mendalami agama Islam dan semakin memahami apa itu Muslim walaupun saya dah lama bergelar Muslim.

Geleng kepala.

Dan perkara yang paling saya rasa syukur sungguh-sungguh apabila saat saya mengetahui bahawa Allah akan sentiasa menerima taubat hamba-Nya walau siapa pun dia, dosa apa yang di buat, keluarga apa pun dia, bangsa dan negara mana dia datang dan sekiranya seorang hamba mahu kembali kepada-Nya, maka tiada halangan untuknya kembali.

Allah sebut dalam Al Quran yang Mulia,

Katakanlah (wahai Muhammad) : “Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), jangalah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dia jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”

(Surah Az Zumar  39 : 53)

Menangis.


Bagaimana Mahu Bertaubat?


Maha Pengampunnya Allah, Allah tetap akan ampunkan kita walaupun dosa kita setinggi langit dan bumi, atau kita dihina ramai manusia kerana taubat kita. Walaupun orang cakap,

“Orang macam kau ni tak layak diampunkan Allah.”

“Kau ni memang Tuhan tak ampun dosa kau. Ayok! ”

“Kau ni memang spesis ahli neraka gamaknya.”

“Perangai kau dah level syaithon, mana Allah nak ampunkan kau.”

Tetapi yakinlah bahawa Allah tetap akan ampunkan kita.

Senyum.

“Apabila seseorang berkata,” suatu hari Sang Nabi menyebut yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah,”Binasalah manusia”, maka dialah yang akan binasa,”

Inilah amaran Sang Rasul kepada sesiapa yang menghina hamba-hamba yang ingin bertaubat dan kembali kepada Allah.

Jadi bagaimana mahu bertaubat?

Saya beritahu awal-awal, ini bukan prosedur nak bertaubat seperti mana prosedur mahkamah atau prosedur dalam manual lab! Ini hanyalah garis panduan. Sebenar-benarnya, taubat itu sudah diukur saat niat kita ingin bertaubat.

Jadi apa yang saya tulis di bawah ini hanya garis panduan ya. Jangan jadikan ia sebagai fatwa pula.

Peluh kecil.

Ha, yang pertama sekali mesti kena berazam untuk berhenti dan berhenti buat dosa tersebut terus. Tiada tangguh-tangguh. Contoh kalau ketagih pil kuda, kemudian dah taubat tak mahu ambil dan makan pil kuda. Tetapi di tangan masih ada 3 biji pil kuda, apa kena buat?

Jangan la simpan lagi, terus buang jauh-jauh sampai laut china selatan. Pil kuda untuk kasi kuda makan, bukan orang yang makan.

Yang kedua, kena betul-betul menyesal dalam hati atas apa yang kita buat. Jangan pernah sesekali kita bangga dengan dosa yang pernah kita buat tu!

Contoh, kalau dulu pernah tidak solat dengan sengaja selama 5 tahun berturut-turut, jangan tangan menggatal post dalam facebook yang anda bangga tidak solat selama 5 tahun kononnya mengatasi rekod dunia!

Yang ketiga, kita mesti berazam untuk tidak buat lagi selama kita hidup walaupun satu ketika nanti kita mungkin akan terbuat semula kerana kita tersilap langkah. Tetapi setakat ini kita berazam tak nak buat lagi.

Namun bukannya hari ni bertaubat, esok buat lagi. Kemudian lusa bertaubat, tulat buat lagi.

Jatuh kerusi.

Ibarat pergi ke sekolah, hari ini pergi sekolah, esok tak pergi. Lusa pergi sekolah, tulat tak pergi, dan seterusnya. Jika saya jadi pengetua sekolah anda, nescaya hari yang kelima anda tidak akan kembali ke sekolah.


Selepas ketiga-tiga perkara di atas dah dilakukan, maka cara yang terbaik selepas itu adalah kita ambil wuduk dan mengadap kiblat untuk solat sunat taubat 2 rakaat. Kemudian istighfar lah sebanyak mana yang mampu sebagai tanda kita benar bertaubat.


Kemudian, kita mula lakukan perkara-perkara yang baik. Untuk permulaan memang agak sukar dan berat. Tetapi pesanan seorang sahabat saya,

“kalau bukan hari ni kita nak berubah, bila lagi nak berubah? Jangan bertangguh sampai akhirnya masuk lubang kubur!”

Suatu hari, datang seorang pemuda kepada Rasulullah.

“Aku berzina wahai Rasulullah! Bersihkan aku.”

Kelibat Ma’iz bin Malik merayu-rayu di depan Rasulullah. Sungguh sayu ketika itu melihat seorang sahabat mengaku akan kesalahannya datang meminta sang Rasul menghukumnya dengan hukuman Islam.

Namun sebaliknya berlaku.

Rasulullah tidak melihat dia, bahkan Rasulullah pusing bertentangan dengannya. Sang Rasul memberi isyarat menyuruh Ma’iz pergi.

“Aku berzina ya Rasulullah! Bersihkan aku.”

Teguh pendirian Ma’iz merayu meminta untuk dihukum. Begitu takutnya beliau dengan hukuman yang bakal menimpanya di akhirat kelak sekiranya tidak dihukum di dunia ini. Namun Rasulullah seolah cuba memberi pengecualian kepada beliau.

“Boleh jadi”, kata sang Rasul,”kau cium saja Ma’iz. Atau mungkin kau raba raba sahaja.”

“Aku berzina wahai Rasulullah,” Ma’iz terus merayu kepada Rasul. “Tak kan kau tidak tahu bahawa aku berzina.“

Ma’iz terus mendesak.

Sesetengah riwayat lain menyatakan Rasulullah berkata,

“kau mabuk agaknya.”

Namun Ma’iz tetap terus merayu agar hukuman dijalankan ke atasnya.


Allahu Rabbi. Begitu hebatnya generasi pertama yang ditarbiyah secara terus oleh Rasulullah. Cepat sahaja meminta dihukum sekiranya bersalah. Islam mengajar kita agar tutup aib kita, kemudian baiki diri kita, bila-bila masa sahaja. Allah mahu kita istighfar kepada Dia, minta ampun kepada-Nya dan kembali semula kepada-Nya.

Menangis laju-laju.

Ulang Semula Dosa

Ketahuilah, pintu keampunan Allah sentiasa terbuka. Allah membuka pintu keampunan pada waktu siang untuk Dia mengampunkan orang yang berbuat dosa pada waktu malam. Dan Dia membuka pintu keampunan pada waktu malam untuk Dia mengampunkan orang yang berbuat dosa pada waktu siang.

Allahu Akhbar.

Menangis.

“Wahai anak-anak Adam,” kata sang Rasul yang menyatakan firman Allah dalam sebuah hadis qudsi yang diriwayatkan oleh Imam Tirmidzi. “Selagi mana engkau memohon dan mengharapkan dari-Ku, Aku ampunkan engkau walau apapun dosamu, Aku tidak peduli.”

“Wahai anak-anak Adam, jika dosamu sampai ke puncak langit, lalu engkau pohon keampunan dari-Ku, Aku ampunkan engkau, aku tidak peduli.

“Wahai anak-anak Adam, engkau jika datang kepada-Ku dengan dosa yang hampir memenuhi bumi, namun engkau menemui-Ku tanpa mensyirikkan Daku dengan sesuatu, nescaya aku datang kepadamu dengan penuh keampunan”

Begitu luasnya pintu pengampunan Allah sediakan untuk hamba-Nya. Tetapi jangan salah faham, apa yang Allah tawarkan ini bukanlah bermaksud untuk menggalakkan kita berbuat dosa, tetapi sebagai semangat dan motivasi untuk orang yang kecewa dengan kesalahan diri dan ingin kembali kepada Allah.

Ya, saya akui, kadang-kala apabila kita sudah menyesal dan insaf akan dosa kita, kita dah berazam tidak mahu lakukan lagi, namun pada suatu hari kita tergelincir lagi melakukan dosa yang sama.

Itulah kelemahan kita, kerana kita adalah manusia. Bukan malaikat, bukan bidadari.

Nabi bersabda dalam sebuah hadis Qudsi yang  bermaksud,

“Seorang telah melakukan satu dosa.” Sang Rasul menceritakan sebuah hadis qudsi kepada sahabat dan diriwayatkan oleh Imam Bukhari. “Lalu dia berkata:

“Wahai Tuhanku, ampunilah dosaku.”

Lalu Allah Azza wa Jalla berfirman:

“Hamba-Ku melakukan dosa dan dia mengetahui bahawa baginya Tuhan yang boleh mengampun dan menghukumnya ,(dalam riwayat yang lain ditambah, “Aku ampunkan dosanya”).”

Kemudian dia kembali melakukan dosa yang lain. Dia berkata: 

“Wahai Tuhanku, aku telah melakukan dosa, ampunilah dosaku.” 

Lalu Allah berfirman: 

“Hamba-Ku melakukan dan dia mengetahui bahawa baginya Tuhan yang boleh mengampun dan menghukumnya (dalam riwayat yang lain ditambah, “Aku ampunkan dosanya”).” 

Lalu dia melakukan dosa sekali lagi. Dia berkata:

“Wahai Tuhanku aku telah melakukan dosa, ampunilah dosaku.”

Lalu Allah berfirman: 

“Hamba-Ku melakukan dosa dan dia mengetahui bahawa baginya Tuhan yang boleh mengampun dan menghukumnya, maka aku ampunkan hamba-Ku ini, buatlah apa yang kau mahu, Aku ampunkan engkau.”

Allah Allah.. moga Allah ampunkan kita.

Minta dua baldi.

Menangis.

Hidayah Itu Tidak Mengenal Siapa

Satu ketika dahulu, pernah ada wujud beberapa makhluk yang wujud atas muka bumi ini menentang sungguh-sungguh terhadap dakwah Rasulullah sallahu alayhi wasallam secara berhadapan walaupun baginda adalah anak saudaranya!

Antaranya adalah Abu Jahal.

Penentangan terhadap baginda memang hebat walaupun pedang sahabat sudah memenggal kepalanya semasa di medan Badar, tetapi kebenciannya kepada dakwah baginda tetap tinggi melangit.

Namun hidayah itu tidak pernah mengenal siapa yang ingin disapa.

Anaknya, Ikrimah yang masuk Islam, lalu menjadi seorang sahabat baginda dan terkenal antara orang yang paling dekat dengan Rasulullah.

Saya nak beritahu, ada manusia yang pernah wujud di atas muka bumi ini menentang Rasulullah, tetapi Allah terima taubatnya seperti Saidina Umar al khattab. Ada juga manusia yang pernah wujud di atas muka bumi ini yang menentang Rasulullah, tetapi akhirnya anaknya atau keturunannya yang menerima hidayah.

Apatah pula sekadar manusia yang minum arak, berzina, ketagih pil kuda, ponteng sekolah, tidak solat, dan sebagainya. InsyaAllah, Allah terima taubat kita.

Jangan salah faham, bukanlah saya nak mengatakan itu semua baik, tidak. Yang dosa tetap dosa, yang salah tetap salah. Tetapi saya nak beritahu bahawa jika seseorang itu ingin kembali kepada jalan Islam, ingin kembali bertaubat kepada Allah,

Ketahuilah bahawa tiada halangan baginya untuk kembali kepada Allah.

Sama sekali tidak ada…

Bertaubatlah..

Senyum.


Moga Allah Redha.


- Shukery -

Sunday, 16 February 2014

Cinta, Nikah dan Keluarga

Sepanjang saya membaca buku-buku pasal pernikahan dan cinta (termasuk artikel, nasihat para syuyukh dan membaca persekitaran), apa yang ‘melanda’ pada diri saya BUKAN berkobar-kobar atau teruja untuk berkahwin muda dan seumpamanya..

Tetapi apa yang berlaku pada saya adalah KERISAUAN akan generasi saya, iaitu anak-anak saya akan datang..

Soleh dan solehahkah mereka? Bertaqwakah mereka?

Kerisauan makin bert
ambah bila melihat masyarakat di sekeliling.

Saya jumpa pelajar-pelajar sekolah rendah yang mana pelajar tersebut dah tahu perkara-perkara dan isyarat lucah. Pelajar sekolah menengah lebih advance, siap dah buat "experiment" lagi. Malah ada segelintir pelajar aliran agama juga tidak "ketinggalan" dengan arus kehancuran moral dan akhlak ni.

Malah lebih menyedihkan saya, pernah saya jumpa ada seorang ibu dan anak perempuannya keluar ke bandar yang mana ibunya menutup aurat dengan baik, tetapi sayangnya anaknya aurat terdedah, siap rambut perang lagi. Malah pernah terjumpa siap merokok (perempuan) sebelah mak dia. Bukan sekali dua saya jumpa, bahkan berkali-kali saya jumpa kes sebegini di banyak tempat.

Bukan hanya di bandar, malah di kampung juga turut berlaku.

Kerisauan terus menerus apabila membaca kisah Nabi Nuh alayhi salam. Begitu kasih dan cintanya Nabi Nuh pada anak dan isterinya, namun mereka menolak seruan baginda walaupun azab sudah di depan mata!

Akhirnya, saya dah semakin kurang "excited" untuk melihat dan membaca kisah-kisah menarik mengenai orang yang menikah muda (bukan bermaksud tak nak nikah), tapi saya lebih excited untuk tahu bagaimana sepasang ibu bapa itu diberi kekuatan dan ilham oleh Allah untuk mendidik anak-anak mereka sehingga mereka patuh dan taat pada Allah dan RasulNya. Malah menjadi bersedia untuk ‘menyediakan’ diri mereka untuk agama Allah.

Adakah saya mampu mendidik anak-anak dan cucu serta keturunan saya akan datang agar menjadi seorang Muslim yang faham kenapa ia Muslim dan tanggungjawabnya sebagai Muslim?

Persoalan dan kerisuan yang saya masih tiada jawapannya. Anda juga turut merasakannya?

Hasbunallah wa ni’mal wakeel.

Moga Allah pandu saya dan keluarga serta keturunan saya ke arah kejayaan dunia dan akhirat.

Moga Allah Redha.

Monday, 10 February 2014

Padang Bola Tanpa Tiang Gol


“Eh, kau okay tak? Muka penat je…” tegur sahabat saya.

“Okay je. Aku nak balik dulu...” Saya mula menghidupkan enjin motor.

“Kalau tak larat, kau tidur bilik aku je...”

“Aku pakai motor orang ni. Takpe...”

Saya hanya mampu membalas senyuman atas ajakannya. Dan dalam keadaan penat yang teramat sangat, saya menguatkan diri untuk pulang ke kolej sendiri setelah menghantar seorang sahabat saya ke kolej kediamannya.

Sepanjang perjalanan pulang, saya teringat dan berfikir mengenai apa yang disampaikan oleh Abang Khalid, seorang pelajar yang sama batch dengan saya tetapi tua enam tahun dari saya semasa kuliah sirah selepas maghrib di surau kolej saya.

Penyampaian yang membuka kotak pemikiran dan cara fikir saya.

Abang Khalid menceritakan tentang sirah Nabi Adam alayhi salam sehingga beberapa Nabi selepas baginda. Walaupun tidak beberapa detail, ia cukup memberi sebuah paradigma baru kepada sesiapa yang mendengarnya.

Namun dalam banyak-banyak kisah, saya paling tertarik pada bahagian yang terakhir sebelum penutup kuliah tersebut.

Beliau bertanya beberapa soalan yang mencabar minda saya untuk berfikir terutama sebagai pelajar tahun satu di universiti.

Untuk apa kita makan dan minum? Untuk apa kita belajar? Untuk apa kita sambung belajar di sekolah, matrikulasi (atau tempat lain), dan seterusnya universiti? Untuk apa datang ke kuliah? Untuk apa kita bekerja akan datang?

Dan paling penting, untuk apa kita hidup?

Ya, untuk apa sebenarnya kita hidup?

Bersuka ria? Atau tiada tujuan? Dan penting sangatkah kita perlu tahu tujuan hidup kita?

Saya bagi contoh. Anda beli sebatang pensel, kemudian pensel tersebut digunakan untuk menjadi paku di dinding bagi menggantung bingkai gambar. Rasanya apa yang akan berlaku pada pensel tersebut? Sudah pasti pensel tersebut akan pecah dan rosak semasa diketuk. Apabila rosak ia dibuang ke tong sampah. Bagaimana pensel yang dicipta sebaik mungkin boleh menjadi sampah sedangkan pensel diciptakan atas tujuan yang khususnya. Apabila disalah guna dia akan rosak. Dan apabila rosak ia menjadi sampah.

Demikian juga manusia. Allah menciptakan manusia dengan satu tujuan yang khusus. Jika manusia hidup dengan tujuan yang lain, dia akan menjadi rosak. Apabila rosak, mereka menjadi sampah masyarakat. Mungkin itu asal usulnya sampah masyarakat. Siapakah sampah masyarakat? Kita boleh namakan mereka sebagai penagih dadah atau mat rempit. Tetapi hakikatnya, mereka adalah manusia yang gagal menjawab soalan paling penting ;

HIDUP INI UNTUK APA?

Jika masih tidak tahu hidup untuk apa, ibarat kita bermain bola di padang bola tanpa tiang gol atau bermain golf di padang golf yang tiada lubang.

Sains tidak mampu memberi jawapan. Matematik juga tidak boleh memberi jawapan. Apatah lagi kimia. Tetapi, hanya AGAMA sahaja mampu memberi jawapan kepada persoalan ini.

Bagaimana agama mampu menjawab persoalan ini?

Contoh macam kipas angin. Jika ditanya pada kipas angin itu kenapa ia diciptakan (andaikan kipas angin itu boleh bercakap), mungkin kipas angin itu tidak tahu kenapa ia diciptakan dan kenapa ia ada di sini. Logiknya, kalau kita nak tahu kenapa ia dicipta, maka kita kena merujuk kepada kilang tempat kipas angin dicipta. Dan pihak kilang pun akan memberi koleksi ‘soal jawab’ di dalam sebuah KITAB yang bernama “Instruction Manual”.

Maka begitu juga untuk manusia, jika nak tahu kenapa manusia diciptakan, kena tanya Pencipta manusia ini, dan sebagai Muslim, kita beriman dan percaya bahawa Allah yang menciptakan manusia. Dan Allah telah memberi kepada kita koleksi ‘soal jawab’ di dalam Instruction Manual-Nya yang bernama….

Al Quran.

Apa Allah kata mengenai tujuan hidup manusia dalam Al Quran?

“Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu.”

[Ad-Dzariyat 51:56]

 Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat; "Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi…"

[Al-Baqarah 2:30]

Nampak apa tujuan hidup kita melalui dia firman Allah ini?

Sudah jelas lagi bersuluh, dalam Islam Allah telah memberitahu manusia apa tujuan Dia menciptakan kita dan apa tujuan kita hidup di atas muka bumi ini, iaitu menjadi hamba Allah yang taat dan seterusnya menjadi khalifah untuk mentadbir dunia atau paling kecil sekalipun mentadbir diri sendiri.

Cantik bukan aturan Allah? Allah juga telah menyatakan dengan jelas juga bahawa setiap apa yang Allah ciptakan di atas muka bumi ini bukan suatu yang sia-sia, walaupun pada pandangan kita seolah seperti sia-sia.

"Maka adakah patut kamu menyangka bahawa Kami hanya menciptakan kamu (dari tiada kepada ada) sahaja dengan tiada sebarang hikmat pada ciptaan itu? Dan kamu (menyangka pula) tidak akan dikembalikan kepada Kami?"

[Surah Al Mu’minun 23:115]

Saya teringat akan satu kata-kata,

“Hidup tanpa tujuan akan membuat hidup kita terasa hampa. Tanpa mengenal tujuan hidup, kehidupan ini menjadi sesuatu yang rutin dan membosankan.”

Hidup ini akan jadi sangat membosankan sekiranya kita tidak tahu apa tujuan kita hidup. Maka, ketahui dan fahami tujuan kehidupan kita agar kita mampu menjadi pemuda-pemudi yang hidupnya untuk mengabdikan diri kepada Allah dan menjadikan dunia tempat ditadbir agar seluruh isinya tunduk kepada Allah.

Dan sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-anak Adam; dan Kami telah beri mereka menggunakan berbagai-bagai kenderaan di darat dan di laut; dan Kami telah memberikan rezeki kepada mereka dari benda-benda yang baik-baik serta Kami telah lebihkan mereka dengan selebih-lebihnya atas banyak makhluk-makhluk yang telah Kami ciptakan.”

[Surah Al Isra’ 17:70]

Moga Allah redha.


p/s : Artikel ini saya edit dari artikel pertama dari blog ini. Di edit supaya menjadi lebih formal. Eheh.