Dulu semasa saya di bangku sekolah,
saya antara pelajar yang agak nakal. Bukan nakal yang biasa-biasa, tetapi nakal
yang “luar biasa” sikit. Apa yang saya buat?
Biarlah antara saya dengan Allah
ja yang tahu.
Jatuh kerusi.
Macam antiklimaks pula. Eheh.
Kenakalan saya berlarutan sehingga
saya menghampiri Peperiksaan Menengah Rendah (PMR). Ketika itu, saya mula tersedar
dari dibuai mimpi lena dan angan-angan dunia serta dari kesilapan dan kesalahan
saya. Saya mula menyesal teramat sangat. Saya rasa sedih dan malu dengan diri
saya. Saya bertaubat.
Namun, akhirnya saya tetap seorang
manusia. Tidak mampu menjadi malaikat, apatah lagi Nabi.
Kotoran degil dalam diri saya
tidak semudah dibersihkan seperti menggunakan serbuk Breeze atau Downy 4x!
Dosa yang pernah saya lakukan
kadang kala diulang, ulang dan terus ulang lagi. Ibarat megamovie dalam Astro Fox. Setiap kali saya ulangi dosa tersebut,
saya rasa menyesal dan bersalah. Seolah saya mempermainkan taubat. Saya juga
takut andai saya mati dalam keadaan saya melakukan dosa yang sama. Dan lebih
menakutkan saya adalah bila Allah tidak terima taubat saya kerana sering kali
mengulangi dosa yang sama.
Nangis laju-laju.
Ketika saya memasuki zaman
matrikulasi, Allah beri kekuatan kepada saya untuk lebih mendekatkan diri
kepada agama. Saya mula rajin ke masjid dan menghadiri halaqah-halaqah ilmu
selepas solat. Ketika itu juga, saya mula rajin untuk membaca buku-buku
motivasi dan agama (Err.. sebenarnya memaksakan diri untuk rajin membaca,
bertuah nak rajin gitu saja. Ohoi).
Alhamdulillah, saya mula mendekati
dan mendalami agama Islam dan semakin memahami apa itu Muslim walaupun saya dah
lama bergelar Muslim.
Geleng kepala.
Dan perkara yang paling saya rasa syukur
sungguh-sungguh apabila saat saya mengetahui bahawa Allah akan sentiasa
menerima taubat hamba-Nya walau siapa pun dia, dosa apa yang di buat, keluarga
apa pun dia, bangsa dan negara mana dia datang dan sekiranya seorang hamba mahu
kembali kepada-Nya, maka tiada halangan untuknya kembali.
Allah sebut dalam Al Quran yang
Mulia,
Katakanlah (wahai
Muhammad) : “Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka
sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), jangalah kamu berputus asa dari
rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya
Dia jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”
(Surah Az Zumar 39
: 53)
Menangis.
Bagaimana Mahu Bertaubat?
Maha Pengampunnya Allah, Allah
tetap akan ampunkan kita walaupun dosa kita setinggi langit dan bumi, atau kita
dihina ramai manusia kerana taubat kita. Walaupun orang cakap,
“Orang macam kau ni tak layak diampunkan
Allah.”
“Kau ni memang Tuhan tak ampun
dosa kau. Ayok! ”
“Kau ni memang spesis ahli neraka
gamaknya.”
“Perangai kau dah level syaithon, mana
Allah nak ampunkan kau.”
Tetapi yakinlah bahawa Allah tetap
akan ampunkan kita.
Senyum.
“Apabila seseorang berkata,” suatu
hari Sang Nabi menyebut yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah,”Binasalah manusia”,
maka dialah yang akan binasa,”
Inilah amaran Sang Rasul kepada
sesiapa yang menghina hamba-hamba yang ingin bertaubat dan kembali kepada
Allah.
Jadi bagaimana mahu bertaubat?
Saya beritahu awal-awal, ini bukan
prosedur nak bertaubat seperti mana prosedur mahkamah atau prosedur dalam
manual lab! Ini hanyalah garis panduan. Sebenar-benarnya, taubat itu sudah
diukur saat niat kita ingin bertaubat.
Jadi apa yang saya tulis di bawah
ini hanya garis panduan ya. Jangan jadikan ia sebagai fatwa pula.
Peluh kecil.
Ha, yang pertama sekali mesti kena
berazam untuk berhenti dan berhenti buat dosa tersebut terus. Tiada tangguh-tangguh.
Contoh kalau ketagih pil kuda, kemudian dah taubat tak mahu ambil dan makan pil
kuda. Tetapi di tangan masih ada 3 biji pil kuda, apa kena buat?
Jangan la simpan lagi, terus buang
jauh-jauh sampai laut china selatan. Pil kuda untuk kasi kuda makan, bukan
orang yang makan.
Yang kedua, kena betul-betul
menyesal dalam hati atas apa yang kita buat. Jangan pernah sesekali kita bangga
dengan dosa yang pernah kita buat tu!
Contoh, kalau dulu pernah tidak
solat dengan sengaja selama 5 tahun berturut-turut, jangan tangan menggatal post
dalam facebook yang anda bangga tidak solat selama 5 tahun kononnya mengatasi
rekod dunia!
Yang ketiga, kita mesti berazam untuk
tidak buat lagi selama kita hidup walaupun satu ketika nanti kita mungkin akan
terbuat semula kerana kita tersilap langkah. Tetapi setakat ini kita berazam
tak nak buat lagi.
Namun bukannya hari ni bertaubat,
esok buat lagi. Kemudian lusa bertaubat, tulat buat lagi.
Jatuh kerusi.
Ibarat pergi ke sekolah, hari ini
pergi sekolah, esok tak pergi. Lusa pergi sekolah, tulat tak pergi, dan
seterusnya. Jika saya jadi pengetua sekolah anda, nescaya hari yang kelima anda
tidak akan kembali ke sekolah.
Selepas ketiga-tiga perkara di
atas dah dilakukan, maka cara yang terbaik selepas itu adalah kita ambil wuduk
dan mengadap kiblat untuk solat sunat taubat 2 rakaat. Kemudian istighfar lah sebanyak
mana yang mampu sebagai tanda kita benar bertaubat.
Kemudian, kita mula lakukan perkara-perkara
yang baik. Untuk permulaan memang agak sukar dan berat. Tetapi pesanan seorang
sahabat saya,
“kalau bukan hari ni kita nak
berubah, bila lagi nak berubah? Jangan bertangguh sampai akhirnya masuk lubang
kubur!”
Suatu hari, datang seorang pemuda
kepada Rasulullah.
“Aku berzina wahai Rasulullah!
Bersihkan aku.”
Kelibat Ma’iz bin Malik
merayu-rayu di depan Rasulullah. Sungguh sayu ketika itu melihat seorang
sahabat mengaku akan kesalahannya datang meminta sang Rasul menghukumnya dengan
hukuman Islam.
Namun sebaliknya berlaku.
Rasulullah tidak melihat dia,
bahkan Rasulullah pusing bertentangan dengannya. Sang Rasul memberi isyarat
menyuruh Ma’iz pergi.
“Aku berzina ya Rasulullah!
Bersihkan aku.”
Teguh pendirian Ma’iz merayu
meminta untuk dihukum. Begitu takutnya beliau dengan hukuman yang bakal
menimpanya di akhirat kelak sekiranya tidak dihukum di dunia ini. Namun Rasulullah
seolah cuba memberi pengecualian kepada beliau.
“Boleh jadi”, kata sang Rasul,”kau
cium saja Ma’iz. Atau mungkin kau raba raba sahaja.”
“Aku berzina wahai Rasulullah,” Ma’iz
terus merayu kepada Rasul. “Tak kan kau tidak tahu bahawa aku berzina.“
Ma’iz terus mendesak.
Sesetengah riwayat lain menyatakan
Rasulullah berkata,
“kau mabuk agaknya.”
Namun Ma’iz tetap terus merayu
agar hukuman dijalankan ke atasnya.
Allahu Rabbi. Begitu hebatnya
generasi pertama yang ditarbiyah secara terus oleh Rasulullah. Cepat sahaja
meminta dihukum sekiranya bersalah. Islam mengajar kita agar tutup aib kita,
kemudian baiki diri kita, bila-bila masa sahaja. Allah mahu kita istighfar
kepada Dia, minta ampun kepada-Nya dan kembali semula kepada-Nya.
Menangis laju-laju.
Ulang
Semula Dosa
Ketahuilah, pintu keampunan Allah
sentiasa terbuka. Allah membuka pintu keampunan pada waktu siang untuk Dia
mengampunkan orang yang berbuat dosa pada waktu malam. Dan Dia membuka pintu
keampunan pada waktu malam untuk Dia mengampunkan orang yang berbuat dosa pada
waktu siang.
Allahu Akhbar.
Menangis.
“Wahai anak-anak Adam,” kata sang
Rasul yang menyatakan firman Allah dalam sebuah hadis qudsi yang diriwayatkan
oleh Imam Tirmidzi. “Selagi mana engkau memohon dan mengharapkan dari-Ku, Aku
ampunkan engkau walau apapun dosamu, Aku tidak peduli.”
“Wahai anak-anak Adam, jika dosamu
sampai ke puncak langit, lalu engkau pohon keampunan dari-Ku, Aku ampunkan
engkau, aku tidak peduli.
“Wahai anak-anak Adam, engkau jika
datang kepada-Ku dengan dosa yang hampir memenuhi bumi, namun engkau menemui-Ku
tanpa mensyirikkan Daku dengan sesuatu, nescaya aku datang kepadamu dengan
penuh keampunan”
Begitu luasnya pintu pengampunan
Allah sediakan untuk hamba-Nya. Tetapi jangan salah faham, apa yang Allah
tawarkan ini bukanlah bermaksud untuk menggalakkan kita berbuat dosa, tetapi
sebagai semangat dan motivasi untuk orang yang kecewa dengan kesalahan diri dan
ingin kembali kepada Allah.
Ya, saya akui, kadang-kala apabila
kita sudah menyesal dan insaf akan dosa kita, kita dah berazam tidak mahu
lakukan lagi, namun pada suatu hari kita tergelincir lagi melakukan dosa yang
sama.
Itulah kelemahan kita, kerana kita
adalah manusia. Bukan malaikat, bukan bidadari.
Nabi bersabda dalam sebuah hadis
Qudsi yang bermaksud,
“Seorang telah melakukan satu
dosa.” Sang Rasul menceritakan sebuah hadis qudsi kepada sahabat dan
diriwayatkan oleh Imam Bukhari. “Lalu dia berkata:
“Wahai Tuhanku, ampunilah dosaku.”
Lalu Allah Azza wa Jalla
berfirman:
“Hamba-Ku melakukan dosa dan dia
mengetahui bahawa baginya Tuhan yang boleh mengampun dan menghukumnya ,(dalam
riwayat yang lain ditambah, “Aku ampunkan dosanya”).”
Kemudian dia kembali melakukan
dosa yang lain. Dia berkata:
“Wahai Tuhanku, aku telah melakukan
dosa, ampunilah dosaku.”
Lalu Allah berfirman:
“Hamba-Ku melakukan dan dia
mengetahui bahawa baginya Tuhan yang boleh mengampun dan menghukumnya (dalam
riwayat yang lain ditambah, “Aku ampunkan dosanya”).”
Lalu dia melakukan dosa sekali
lagi. Dia berkata:
“Wahai Tuhanku aku telah melakukan
dosa, ampunilah dosaku.”
Lalu Allah berfirman:
“Hamba-Ku melakukan dosa dan dia
mengetahui bahawa baginya Tuhan yang boleh mengampun dan menghukumnya, maka aku
ampunkan hamba-Ku ini, buatlah apa yang kau mahu, Aku ampunkan engkau.”
Allah Allah.. moga Allah ampunkan
kita.
Minta dua baldi.
Menangis.
Hidayah Itu Tidak Mengenal Siapa
Satu ketika dahulu, pernah ada
wujud beberapa makhluk yang wujud atas muka bumi ini menentang sungguh-sungguh
terhadap dakwah Rasulullah sallahu alayhi wasallam secara berhadapan walaupun
baginda adalah anak saudaranya!
Antaranya adalah Abu Jahal.
Penentangan terhadap baginda
memang hebat walaupun pedang sahabat sudah memenggal kepalanya semasa di medan
Badar, tetapi kebenciannya kepada dakwah baginda tetap tinggi melangit.
Namun hidayah itu tidak pernah
mengenal siapa yang ingin disapa.
Anaknya, Ikrimah yang masuk Islam,
lalu menjadi seorang sahabat baginda dan terkenal antara orang yang paling dekat
dengan Rasulullah.
Saya nak beritahu, ada manusia
yang pernah wujud di atas muka bumi ini menentang Rasulullah, tetapi Allah
terima taubatnya seperti Saidina Umar al khattab. Ada juga manusia yang pernah
wujud di atas muka bumi ini yang menentang Rasulullah, tetapi akhirnya anaknya
atau keturunannya yang menerima hidayah.
Apatah pula sekadar manusia yang
minum arak, berzina, ketagih pil kuda, ponteng sekolah, tidak solat, dan
sebagainya. InsyaAllah, Allah terima taubat kita.
Jangan salah faham, bukanlah saya
nak mengatakan itu semua baik, tidak. Yang dosa tetap dosa, yang salah tetap salah.
Tetapi saya nak beritahu bahawa jika seseorang itu ingin kembali kepada jalan
Islam, ingin kembali bertaubat kepada Allah,
Ketahuilah bahawa tiada halangan
baginya untuk kembali kepada Allah.
Sama sekali tidak ada…
Bertaubatlah..
Senyum.
Moga Allah Redha.
- Shukery -
No comments:
Post a Comment