Sunday, 30 March 2014

Cerpen : Ibu Dan Ayah Tidak Solat

“Adik-adik semua..” saya merendahkan nada bagi mengakhiri tazkirah maghrib saya,

“Jagalah solat adik-adik semua. Abang bagitau adik-adik semua tentang kewajipan solat, balasan apabila mengerjakan solat dan azab serta ancaman jika meninggalkan solat sebab abang sayang pada adik-adik semua.”

Saya menghelakan nafas. Kelihatan ada yang menundukkan kepala, ada juga yang mengalirkan air mata.

“Abang tahu, ada di hadapan abang yang banyak kali tinggal solat, atau solat lewat, atau ada yang tak pernah solat. Nanti kalau ada masalah, boleh jumpa dengan abang secara peribadi, atau jumpa dengan kakak dan abang fasi yang ada semasa program ini.”

Adik-adik di hadapan saya hampir kesemuanya mengangguk. Memikirkan masa untuk berjumpa barangkali.

Usai tazkirah maghrib itu, kami mendirikan solat isyak secara berjemaah. Kemudiannya ada slot untuk mereka seperti yang telah dirancang oleh kami. Kesemua pelajar yang hadir dalam program ini adalah sekitar umur 13 hingga 15 tahun.

Malam itu, selepas habis slot terakhir, mereka diarahkan pergi ke dorm masing-masing untuk tidur. Saya pula melangkahkan kaki ke kantin sekolah untuk merehatkan diri.

Semasa sedang berjalan, tiba-tiba ada seseorang menegur saya.

"Abang.." tegur seorang peserta, Fatin namanya.

Saya memandangnya dengan senyuman.

"Ya saya?"

Dia merenung tepat pada mata saya.

"Nak tanya.. tadi masa tazkirah maghrib, abang kata solat tu penting kan? Kalau tak solat, nanti kita masuk neraka kan?" Dia memulakan bicara.

Saya memandangnya dengan penuh minat pada butir bicaranya. Namun saya jarakkan diri bagi menjaga jarak antara lelaki dan perempuan.

"Ya.. kenapa ya?"

Dia tundukkan kepala. Mencari sedikit kekuatan untuk meneruskan pertanyaan.

"Tapi.. mak ayah saya selalu tak solat... masuk neraka juga ke? Mak ayah saya orang baik...."

Ternampak butir kaca mengalir dari matanya..

Saya terdiam kelu.

Kelu kerana tidak sangka soalan begini akan ditanya dan dalam masa yang sama saya kagum dengan sensitiviti seorang anak yang baru berusia 14 tahun.

“Hmm..” saya mengusap janggut.

Disitu juga saya memberi tiga cadangan saya untuk dia. Dia mendengar dengan teliti sambil tangannya ligat mencatit apa yang saya cadangkan.

“Apa yang abang cakap tadi cuma pandangan abang saja. Belum tentu berhasil. Kerana hidayah itu milik Allah. Kita usaha saja.” Saya melirikkan senyuman.

Dia mengangguk.

“Oh ya lagi satu..” saya memanggilnya sebelum masing-masing beredar.

“Andai ketiga-tiga perkara tu dah dibuat dan tak berkesan, beritahu pada abang ya.”

Dia tersenyum sambil mengelap air mata.

“Terima kasih abang..”

Dia terus berlalu pergi ke dorm untuk tidur.

“Moga Fatin jadi anak yang solehah.” Doa saya dalam hati.

-----------------------

Fatin melihat jam, baru saja pukul 6 petang. Sebentar lagi ibunya akan pulang ke rumah selepas balik kerja. Ayahnya juga sama.

Tanpa membuang masa, dia terus meletakkan buku “Soal Jawab Tentang Solat” yang baru dibelinya tadi di atas meja solek ibunya. Dan sebuah lagi di atas meja rehat ayatnya.

Dia meletakkan dua buah buku tersebut dengan harapan ibu dan ayahnya akan tergerak hati untuk membaca.

Fatin tersenyum puas. Moga rancangannya menjadi.

Dua hari selepas itu, dia melihat kedua-dua buku yang dibeli untuk ibu dan ayahnya langsung tidak dibuka. Cuma buku itu dialihkan saja untuk memberi ruang pada ibunya bersolek, dan ayahnya meletakkan surat khabar.

Dia tertunduk sayu. Tetapi dia masih belum putus asa. Masih ada pelan yang berikutnya.

Malam itu, sedang Fatin dan keluarganya sedang berehat-rehat, tiba-tiba bunyi azan berkumandang.

“Eh, azan dari henfon siapa tu?” Ayah Fatin bersuara.

Fatin tersenyum. ‘Umpan’ mengena.

“Haa, itu azan dari henfon Fatinlah ayah. Ha, alang-alang dah azan, jom kita solat sama-sama ayah, ibu?” Fatin tersengih sambil memeluk ibunya.

Ayah dan ibunya seperti tersentap.

“Emm.. Kau sembahyang la dulu Fatin. Ayah ada kerja kejap..” Ayah Fatin meluru ke bilik.

Ibu Fatin memandang wajah anaknya. Kegelisahan terserlah di wajahnya.

“Ibu tak masak lagi ni. Ibu nak pergi dapur ya..” Ibu Fatin terus bangun dan meluru ke dapur.

Fatin duduk tercengang. Seolah tidak percaya dengan apa yang berlaku. Hampir saja dia mahu menjerit menangis.

Air mata mengalir di pipinya. Dia gagahkan diri untuk pergi ke bilik air untuk mengambil wuduk dan solat.

Demi mencari kekuatan yang hampir hilang bak ditiup angin.

Usai solat, dia berdoa sungguh-sungguh agar ibu dan ayahnya diberi hidayah oleh Allah.

Selepas doa, dia duduk termenung memandang sejadah. Memikirkan bagaimana pelan ketiga hendak dijalankan.

Teringat kata-kata Abang Shukery mengenai pelan yang ketiga,

“Yang ketiga adalah Fatin berterus terang dengan ibu dan ayah. Tanya dari hati ke hati, kenapa ibu dan ayahnya tidak solat dan tidak mahu bersolat bersamanya. Tetapi strategi ini agak risiko, kerana mungkin akan melukakan hati mereka, atau paling tidak pun, mereka akan marah.

Tetapi bersabarlah. Allah bersama kamu.”

Ayat terakhir itu cukup membuatkan Fatin bersemangat.

“Ya, Allah bersama aku. Aku akan usaha sebaik mungkin!” pujuk hatinya.

------

“Lepas azan isyak nanti, aku akan ajak ibu dan ayah solat lagi sekali. Kalau mereka bagi alasan, aku segera akan minta penjelasan.” Fatin menguatkan azam.

Seperti biasa, mereka akan bersama sekeluarga menonton televisyen.

Tidak lama kemudian, berkumandang azan dari telefon Fatin.

Ibu dan ayahnya memandangnya. Muka mereka nampak kegelisahan.

Fatin tersenyum. Lantas dia menyeru ibu dan ayahnya sama seperti semalam.

“Ibu, ayah, jom solat sama-sama.” Fatin tersengih memandang ibu dan ayahnya.

Ibu dan ayahnya memandang satu sama lain.

“Nantilah, lepas habis berita ni.” Ayahnya memberikan kata tuntas.

Fatin tertunduk dan mengangguk.

Selepas habis berita jam 8 itu, sekali lagi dia mengajak ibu dan ayahnya solat. Seperti biasa, ibu dan ayahnya memberikan alasan.

Segera Fatin bersuara,

“Ayah… Ibu… Kenapa tak nak solat… Ustaz kita cakap, siapa tak solat masuk neraka…” Fatin tunduk.

Ayah dan ibunya tersentap. Ayahnya berang kerana egonya dicabar.

“Kau tu budak kecik lagi, tak payah nak ajar mak ayah kau yang dah lama makan garam dari kau. Cakap dengan ustaz kau tu, jaga anak dia lagi bagus.”

Ayahnya mula marah. Ibunya pula mendiamkan diri.

Fatin tidak dapat menahan air mata yang mengalir. Dia terus bangun dan berlari menuju ke bilik. Dikunci biliknya.

Hatinya meronta. Dia keliru dan celaru kenapa dia dimarahi sedangkan dia mengajak kepada perkara yang baik.

“Apa salah Fatin. Fatin tak faham. Salahkan Fatin mengajak ibu dan ayah untuk solat? Salahkah Fatin beritahu bahawa meninggalkan solat dengan sengaja akan masuk neraka?

Fatin tak mahu ibu dan ayah masuk neraka..” Dia bercakap sendirian sambil mengalir deras air mata membasahi bantalnya.

Dia menangis dan terus menangi sampai akhirnya tertidur.

Fatin tersedar dari tidurnya. Dia melihat jam menunjukkan sudah pukul 2.30 pagi.

“Lama juga aku tertidur.” Bisik hatinya.

Dia teringat pesanan Abang Shukery supaya memberitahunya jika ketiga-tiga pelan itu dah dilakukan.

Lantas dia mencapai henfonnya dan mesej Shukery tentang apa yang berlaku. Usai mesej, dia terus keluar dari bilik menuju ke bilik air untuk mengambil wuduk.

Usai mengambil wuduk, dia melihat henfonnya terdapat 1 SMS. Terkejut Fatin melihat Shukery membalas mesejnya pada waktu sebegini.

“Tak tidur lagi rupanya.” Bisik hatinya. Dia membaca mesej tersebut.

“Waalaikumussalam. Ooh yeke, abang tumpang simpati apa yang berlaku. Sebenarnya ada satu pelan yang terakhir abang tak beritahu. Iaitu doa. Nanti lepas ini solat tahajud dan doa sungguh-sungguh pada Allah. Bukan hanya malam ini saja, istiqomah untuk hari-hari berdoa ya. Moga mereka diberi hidayah.”

Fatin tersenyum.

Ya doa.

Malam itu usai saja dia solat isyak dan solat tahajud serta solat hajat, dia duduk termenung seketika. Mengambil nafas, lalu menadah tangan menghadap kiblat.

Malam itu Fatin berdoa sungguh-sungguh kepada Allah hingga mengalir deras air mata dipipinya. Dikuatkan sedikit bacaan doa agar dia benar-benar menghayati doa itu.

“Ya Allah… Ibu dan ayah orangnya baik. Dia sayang pada Fatin. Dia jaga Fatin betul-betul sampai Fatin besar. Cuma… Ibu dan ayah tak solat je.

Ya Allah.. Fatin sayang ibu dan ayah. Ustaz kata kat sekolah, dengan abang fasi cakap, orang tak solat masuk neraka. Nanti kena seksa kat sana..

Ya Allah.. Fatin tak nak ibu dan ayah masuk neraka. Fatin tak nak ibu dan ayah kena seksa. Fatin tak nak ya Allah. Fatin sayang mereka..

Ya Allah.. Ustaz kata Allah maha mendengar. Allah dengar doa hambaNya. Abang fasi kata doa adalah senjata umat Islam.. Ya Allah.. berilah hidayah pada ibu dan ayah Fatin..

Supaya mereka jaga solat.. Dan solat sama-sama dengan Fatin…”

Fatin menadah tangan tinggi. Meminta pada yang Maha Tinggi dengan sungguh-sungguh.

Tiba-tiba, Fatin tersentak apabila ada air mata yang jatuh menitik pada kedua tapak tangannya yang sedang menadah tangan berdoa.

Dia memandang ke atas. Terkejut melihat ibu dan ayah di belakangnya menangis. Ibunya segera memeluk Fatin. Dan kemudian ayahnya pula memeluknya.

“Fatin… ayah minta maaf sebab ayah marah Fatin tadi. Ayah dan ibu pun sayang Fatin. Ayah dan ibu tak nak masuk neraka.” Teresak-esak ayahnya menangis.

Fatin tersenyum gembira. Syukur pada-Nya kerana hidayah-Nya datang tanpa disangka-sangka. Dia memeluk semula kedua ibu dan ayahnya.

“Ya Allah.. kumpulkan kami dalam syurga Mu ya Allah…” Fatin berdoa dalam hati.



Tamat.

Moga Allah redha.

- Shukery -


p/s: Cerita ini adalah berdasarkan kisah benar. Cuma ada sedikit tokok tambah dibuat untuk melancarkan cerita. :)

p/s/s : Fatin dalam cerita ni bukan nama sebenar. Saya tak tahu nak letak nama apa. Main petik je. -_-
Comments
6 Comments

6 comments:

  1. Moga pembaca mendapat ibrah (pengajaran) dari cerita diatas.

    ReplyDelete
  2. assalamualaikum.. macam mana plak dengan mak ayah (non muslim)???... adakah mereka saudara kita juga???
    "sesungguhnya orang islam itu bersaudara"

    ReplyDelete
    Replies
    1. Waalaikumussalam.. mak ayah yang non Muslim tidak termasuk dalam ayat "Sesungguhnya orang Islam itu bersaudara."

      Anak tu perlu berusaha dakwah kepada mak ayah mereka untuk peluk Islam. Barulah lepas itu, mereka adalah saudara kita. :)

      Delete
  3. macam mana pulak mereka yang telah mengandungkan kita selama 9 bulan dan perit bertarung dengan nyawa saat melahirkan kita???

    ReplyDelete
    Replies
    1. Ini berkaitan komen di atas ke?

      Benar, dalam Islam anak yang Muslim wajib berbuat baik dengan ibu bapa sekalipun bukan Muslim maksud saya "saudara kita" adalah saudara aqidah. Mereka tetap saudara darah.

      :)

      Delete
    2. hah.. tak paham???

      Delete