Thursday, 11 April 2013

Buang sekolah? Salah siapa?



Baru-baru ini kita dikejutkan ( tak berapa terkejut sangat pun) tentang kes pukul ketua tingkatan beberapa hari lalu melalui sebuah video yang tersebar di facebook. Dan ia dibawa sampai ke kes polis, dan akhirnya tiga (3) pelajar yang memukul ketua tingkatan tersebut dibuang sekolah.

Malah ada lagi video  yang mana pergaduhan sehingga menghempas mangsa dengan pasu bunga. Videonya anda semua boleh cari difacebook.

Saya teringat dahulu masa darjah enam (6), saya pernah terlibat dalam kes pergaduhan secara langsung, yang mana saya dipukul oleh senior saya tingkatan 1. Tapi sekejap saja sebab saya diam dan lari gitu saja (budak-budak la katakan). Masa tingkatan 2, saya pernah melihat depan mata saya pergaduhan melibatkan dua (2) pelajar tingkatan 5 sehingga seorang pelajar dihempuk dengan batu bata sehingga kepalanya berdarah.

Tuding jari.

Kes gaduh antara pelajar ni bukan hanya berlaku dalam di satu, dua sekolah saja, malah hampir majoriti sekolah di Malaysia ada pelajar yang terlibat dengan kes gaduh. Ada pihak yang menuding jari dengan menyatakan punca kes ini berlaku adalah dari pelajar sendiri, ada yang kata dari ibu bapa, media massa, pihak sekolah, malah ada juga menyalahkan pembangkang dan kerajaan yang mentadbir.

Semua orang menuding jari antara satu sama lain dalam isu ini, sebenarnya bukan isu ini saja, bahkan isu-isu lain seperti buang anak, berzina, kes juvana, dan lain-lain.

Soalannya, siapa yang salah dalam hal ini?

Saya secara peribadi, tidak mahu menyalahkan sesiapa.Semua pihak ada “saham” dalam menyumbangkan sesuatu untuk pembangunan pelajar khususnya, bukan hanya satu-satu pihak saja. Saya lebih suka kita muhasabah diri masing-masing, sejauh mana kita sumbangkan untuk pembangunan pelajar ini? Atau kita hanya suka menyalahkan orang lain saja tanpa melihat diri sendiri?

Buang sekolah, solusi terbaik?

Saya mengutarakan soalan ini kepada umum, dan pengetua kolej kediaman saya respon tentang isu ini. Antara point utama yang saya bersetuju adalah, kesan daripada buang sekolah ini akan menjatuhkan moral dan motivasi pelajar untuk sambung sekolah, atau mungkin lebih kritikal untuk berubah menjadi baik.

Antara kata-katanya yang boleh kita ambil iktibar ;


Sejarahnya, hukuman buang sekolah adalah tradisi pendidikan barat. Diamalkan di UK sejak abad ke 17 dan kemudiannya dimulakan oleh kuasa kolonial di negara kita sejak sekolah Inggeris pertama di buka di Penang (Penang Free school).

Amalan buang sekolah tidak ada dalam tradisi pendidikan Islam. Malangnya kerana masyarakat kita (khususnya pendidik dan pentadbir sekolah) tidak menghayati falsafah pendidikan, maka kita semua setuju untuk teruskan amalan buang sekolah. Memang ada pelajar yang melakukan jenayah, itu mestilah dihukum juvana (bukan buang sekolah tetapi dipindahkan ke sekolah khas).

Dalam keadaan lain, hukuman buang sekolah dan gantung sekolah hanya menambahkan masalah dalam masyarakat, walaupun sekolah tersebut sudah tidak bermasalah lagi. Jika kita teguh percaya semua anak anak adalah baik, kita akan tolak hukuman buang sekolah. Jika kita percaya pendidikan kita terbaik, kita tidak akan lepaskan tanggungjawab sekolah dengan buang pelajar atau gantung pelajar. Tetapi, ada reservation.

Sekolah sahaja tidak akan boleh memberikan pendidikan terbaik kalau ibubapa dan masyarakat tidak membantu. Juga kalau dasar pendidikan yang tidak dilaksanakan sebaiknya. Selain kesalahan jenayah, pelajar tidak sepatutnya dibuang sekolah. Mereka harus dibimbing, dikaunseling dan ditarbiyah. Jika tidak berjaya, maknanya guru besar, guru kauseling, guru moral, ustaz dan ustazah gagal dalam melaksanakan pendidikan membangunkan insan.

Albert Enstein juga pernah di buang sekolah kerana beliau dikatakan terlalu banyak bertanya soalan pada gurunya. Akhirnya dibuang sekolah kerana bimbang mempengaruhi pelajar lain. Ada gurunya mengelarkan beliau 'lazy dog' kerana beliau tidak berminat dengan pengajaran guru yang beliau sifatkan tidak relevan. Beliau banyak belajar sendiri dan akhirnya beliau membina teori yg sehingga hari ini masih kukuh...”


Jadi adakah pelajar tersebut tak perlu dibuang sekolah dan dibiarkan sekolah semula?

Saya tiada jawapan spesifik dan khusus. Saya tiada pengalaman jadi guru, dan ia bukan bidang saya. Saya cuma melontarkan pendapat dua sen dalam blog saya ini.

Apa yang perlu kita lakukan?

Setiap orang ada peranan tersendiri dalam membentuk keluarga hatta masyarakat. Kalau kita sebagai seorang pelajar, belajar dengan bersungguh-sungguh, jika kita sebagai ibu bapa, beri didikan terbaik untuk anak-anak, bukan sekadar “melepaskan” pada pihak sekolah, Pihak sekolah pula, memberi pendidikan terbaik bukan sekadar untuk dapat A semata-mata.

Media massa juga sepatutnya (tetapi sekarang banyak yang tak patut) menyiarkan cerita ataupun filem yang memberi pengajaran, bukan berunsur gosip liar, hedonisme, gangsterisme dan porno!


Cadangan saya ini mungkin akan jadi sekadar cadangan kosong untuk orang lain, tetapi saya harap tidak kosong pada saya.

Muhasabah diri kita, sejauh mana kita menyumbang kepada ummah?


Moga amal diterima Allah.

Comments
1 Comments

1 comment:

  1. Ada seorang rakan siswazah saya, dia seorang bekas cikgu sekolah menengah berkata "Akak pernah ajar budak sekolah menengah. Kalau yang susah nak ajar ni memang susah nak kendalikan. Siap peras ugut di luar sekolah nak belasah akak. Dan dia tu baru tingkatan 1!"

    Di sekolah saya juga ada kes buli. Hmmm. Saya pun tak tahu apakah tindakan terbaik untuk kita selesaikan kes begini. Cikgu, ibu bapa dan murid patut bersama duduk berbincang.

    (penting ikut usrah. Heh)

    ReplyDelete