Saturday, 9 March 2013

Ittaqullah ya pahlawan papan kunci!



Alhamdulillah, hari ini Allah bagi peluang pada saya untuk hadir ke Daurah Sirah Nabawiyyah di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Bangi. Mendengar pengisian daripada pagi sampai ke petang, pengisian bedah buku yang disampaikan Ust Rasyidi Jamil dan Prof. Madya Dato’ Dr. Asri Zainal Abidin (Dr. MAZA) tentang Sirah Nabawiyyah Raheeq al Makhtum dan buku Dr MAZA sendiri, Fitnah Terhadap Sahabat Rasulullah.

Banyak perkara yang boleh saya kongsi, tetapi bukan kali ini. Sebab nanti berjela-jela karangan saya. Cuma saya nak kongsi satu bahagian yang disampaikan Dr MAZA tentang punca pertelingkahan para sahabat Rasulullah sallallaahu alayhi wa sallam terutama sekali semasa perang Jamal, iaitu peperangan antara Saiditina Aisyah radhiyallahu anha, seorang Ummu Mukminin merangkap isteri Rasulullah sallallaahu alayhi wa sallam dan Saidina Ali radhiyallahu anhu, menantu Rasulullah sallallaahu alayhi wa sallam.

Peperangan antara mereka menyebabkan ramai nyawa kaum Muslimin terkorban. Jika kita baca kisah yang sohih, walaupun pada awalnya mereka mahu bersatu untuk menghapuskan pemberontak di Madinah, tetapi apa yang berlaku?

Kerana fitnah Abdullah bin Saba’ dengan melancarkan perang secara senyap-senyap kepada tentera pihak Saiditina Aisyah radhiyallahu anha dan tentera pihak Saidina Ali radhiyallahu anhu, maka akhirnya peperangan tercetus antara kedua-dua pihak menyebabkan ramai terkorban. Antara sebab utama?

SANGKAAN kedua-dua belah pihak!

Pihak Ali radhiyallahu anhu sangka pihak Aisyah radhiyallahu anha menyerang mereka, sama juga seperti sangkaan pihak Aisyah terhadap pihak Ali tanpa sempat mereka berdua menyiasat sungguh-sungguh punca serangan kecil berlaku!

Selepas peperangan tamat, akhirnya mereka menangis sesama sendiri kerana ramai Sahabat dan kaum Muslimin terkorban, antaranya adalah Saidina Talhah dan Saidina Zubair bin Awwam.

Ya, menangis sesama sendiri mengenangkan kaum Muslimin berbunuhan sesama sendiri. Menyesal yang tiada berkesudahan.

Apabila saya mendengar kisah ini, hati saya sebak sangat. Saya terbayang, saya berada di pihak mana jika saya berada pada waktu itu.

Saidina Ali kah?

Saiditina Aisyah kah?

Atau puak-puak pengkhianat Islam?


Allahu Rabbi..


Dan tiba-tiba juga saya teringat tentang apa yang berlaku pada situasi hari ini, terutama di medan Facebook.

Fitnah, mengumpat, mencerca, memaki hamun bahkan mengugut dengan berluasa berlaku terutama apabila perbezaan pendapat tentang pendirian politik seolah-olah perkara-perkara ini tiada DOSA!


Kesat peluh.


Pahlawan Papan Kunci.
 Dengan musim pilihanraya yang semakin hampir, maka kehangatan pilihanraya turut terasa, bahkan kehangatan orang melakukan dosa juga turut terasa!

Ramai pahlawan papan kunci dengan beraninya menyebarkan fitnah, mengumpat, mencerca dan memaki hamun pihak parti lawan.

Tidak kira samada pahlawan papan kunci daripada Parti A, B, C atau atas pagar sekalipun!

Saya takut pada akhir hayat kita nanti, ataupun semasa di hadapan Allah di akhirat kelak, kita akan menangis menyesal tak terhingga kesan daripada dosa kita terhadap orang lain tanpa sempat bertaubat.

Jangan kerana kita terlalu taksub dengan pimpinan kita atau parti kita, kita mengabaikan perintah Allah.

Bukan sekadar isu politik kepartian, bahkan isu terbaru iaitu tentang pencerobohan pun jadi mainan politik!


Geleng kepala.


Saya tengok berita, baca surat khabar, lihat news feed di facebook, sedih sangat dengan segelintir kaum Muslimin dengan mudah memfitnah, menyebarkan berita tanpa bukti, mencerca dan memaki hamun.

Mudah saja pahlawan papan kunci ini menyebarkan berita-berita fitnah, lepas tu berdebat pula untuk mempertahankan fitnah yang disebar.

Allah..

Firman Allah ;


“Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani.”
(Al Hujurat 49:12)
 



Bertaubatlah.


Saya tidak menafikan, ada juga pahlawan papan kunci yang menyebarkan berita-berita yang sohih, benar lagi telus. Tetapi berapa ramai saja pahlawan papan kunci sebegini?

Hidup kita ini hanya sekali, lepas mati nanti, kita tak hidup semula. Dan kita juga kena faham, bahawa dosa dengan Allah, mungkin kita boleh minta ampun dengan Allah.

Tetapi jika dosa kita pada manusia, kita nak buat macam mana?

Minta maaf kepada manusia tersebut!

Pesanan saya untuk diri saya dan kepada sesiapa yang terasa pernah buat fitnah, mengumpat, mengutuk, mencerca dan memaki hamun, insaf dan bertaubatlah.

Ingatlah pesanan baginda,


عن أبي هريرة -رضي الله تعالى عنه- قال: قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: كفى بالمرء كذبا أن يحدث بكل ما سمع

Daripada Abu Hurairah radiyallahu anhu, belia berkata: Rasulullah sallallaahu alayhi wa salla, telah bersabda: "cukuplah seseorang itu (dianggap sebagai) pendusta apabila dia menceritakan semua perkara yang dia dengar"
[hadith riwayat Muslim]

Berhati-hati serta bertaqwalah kita semua setiap kali memegang pena dan menaip di papan kekunci.

Moga Allah lindungi saya diri saya daripada memfitnah dan mencerca serta memaki hamun orang lain.

Allahu Musta’an.

Moga amal diterima Allah.

No comments:

Post a Comment