Monday, 6 August 2012

Betul ke sekarang zaman jahiliyyah..? [Part 2]

(sambungan daripada part I (kena baca. Woha)]



Golongan berkerjaya dan berkeluarga.


1.   Melebihkan anak bini daripada agama. Termasuk tinggal solat, tak mengajar agama kepada anak dan isteri, dll. Disebabkan aku belum berkahwin, aku “hadiahkan” golongan ini dengan sepotong ayat al-Quran ;


 قُلْ إِن كَانَ آبَاؤُكُمْ وَأَبْنَآؤُكُمْ وَإِخْوَانُكُمْ وَأَزْوَاجُكُمْ وَعَشِيرَتُكُمْ وَأَمْوَالٌ اقْتَرَفْتُمُوهَا وَتِجَارَةٌ تَخْشَوْنَ كَسَادَهَا وَمَسَاكِنُ تَرْضَوْنَهَا أَحَبَّ إِلَيْكُم مِّنَ اللّهِ وَرَسُولِهِ وَجِهَادٍ فِي سَبِيلِهِ فَتَرَبَّصُواْ حَتَّى يَأْتِيَ اللّهُ بِأَمْرِهِ وَاللّهُ لاَ يَهْدِي الْقَوْمَ الْفَاسِقِينَ

terjemahannya ;

Katakanlah (wahai Muhammad): "Jika bapa-bapa kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan isteri-isteri (atau suami-suami) kamu, dan kaum keluarga kamu, dan harta benda yang kamu usahakan, dan perniagaan yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, - (jika semuanya itu) menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan RasulNya dan (daripada) berjihad untuk ugamaNya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusanNya (azab seksaNya); kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik (derhaka).

(Surah At-Taubah 9:24)


2.   Budaya “mensyirikkan” Allah. Yang ni sama seperti golongan remaja tadi, kurang lebih je dua-dua jenis makhluk ni. Tak kisah sama ada dah berkeluarga sendiri atau belum. Melebihkan kerja sehingga tertinggal solat, puasa, zakat, dll. Tertinggal bayar zakat? Kerja untuk apa ni?


3.   Meletakkan tanggungjawab mendidik anak-anak kepada guru di sekolah. Ha, yang ni lagi satu masalah! Bila cikgu tak berjaya mendidik anak mereka, di salahkan cikgu di sekolah. Anak buat hal di sekolah, cikgu pula kena saman. Apa kes? (uhuk, ter’emo’ pula).


4.   Berkerja sampai melupakan keluarga. Inilah antara punca utama buang ibu dan ayah ke rumah orang tua. Lagi hampeh, buang mereka di tepi jalan.



5.   Suami dayus, isteri nusyuz, anak derhaka (2D 1N). Ini 3 serangkai yang banyak berlaku di Malaysia.


6.   Hilang hormat dan maruah. Apabila suami melebihkan isteri daripada ibu sendiri, isteri melebihkan rakan sekerja (terutama lelaki) berbanding suami sendiri, anak-anak melebihkan kawan-kawan daripada keluarga sendiri, maka lahirkan golongan 2D 1N!



7.   Haruan makan anak. Ni pepatah, jangan jadi slow. Ini kes ayah rogol anak sendiri, cucu rogol nenek sendiri, abang rogol ibu sendiri, datuk rogol menantu sendiri, adik rogol kakak sendiri dll. Maka jadilah keluarga rogol merogol. (erk?) p/s : Ikan haruan pernah makan anak dia ke? Aku tak pernah nampak la pula.



dan ada lagi banyak yang aku nak luahkan namun tak sanggup untuk tak terlarat untuk aku luah kepada korang. Korang boleh lihat sendiri dengan biji mata pupil kornea korang.


*uhuk*uhuk*


Apa yang kita kena buat??



Dah puas “berjalan-jalan” dalam dunia realiti yang aku gambarkan tanpa menggunakan print screen cinema kepada korang? ok, buka mata sekarang. Itu adalah sebahagian KECIL daripada apa yang aku beritahu. Aku beritahu berdasarkan pengalaman dan juga pengamatan aku kepada diri dan keluarga aku, juga kepada masyarakat sekeliling aku. Banyak lagi aku nak tulis, tetapi cukuplah dengan apa yang aku tulis ini. Tak tertanggung air mata aku melihat kerosakan ummat hari ini (termasuk diri aku yang ada rosak sikit ni).


Maka, apa yang perlu kita buat??


Sempena bulan Ramadan yang mulia ini, sebagai seorang anak, seorang abang, seorang akak, seorang adik, seorang bapa, seorang ibu, seorang suami, seorang isteri, seorang datuk, seorang nenek, seorang jiran tetangga, seorang ahli masyarakat dan seorang KHALIFAH,


1.   
Kembali kepada cara hidup Islam iaitu kepada Al Quran dan As Sunnah. Inilah satu-satunya cara yang paling berkesan lagi mujarab kepada penyakit yang menimpa hari ini. Bagaimana? Carilah ustaz-ustaz berdekatan anda, mintalah nasihat, apa yang perlu anda buat sebagai seorang anak, atau bapa, atau ibu, atau ahli masyarakat.


2.   Muhasabah diri. Renungkan hari-hari yang berlalu, apa tujuan kita hidup? Adakah untuk berhibur? Untuk berpolitik sahaja? Untuk berniaga sahaja? Untuk bersosial sahaja? Atau untuk apa?


3.   Jadi ahli masyarakat yang peka dan cakna (alert). Alert dengan isu semasa, tak kisah mengenai politik, ekonomi mahupun sosial. Jangan tak ambil tahu. Kita bukan hidup seorang diri dalam dunia ni. Salah satu penyakit masyarakat ialah penyakit tak ambil tahu. Cubalah hidup untuk memberi, moga  Allah redha.



4.   Baca, fahami dan hayati sirah baginda Rasulullah s.a.w. Dengan sirah atau sejarah, kita dapat belajar untuk mencipta masa depan gemilang. Jika kita tak belajar dari sejarah, bermakna kita akan ulang semula sejarah itu. Sebab pada diri baginda Rasulullah s.a.w. itu, di situlah cara hidup kita. Bukan Barat, bukan artis, bukan model , bukan aku (*uhuk*uhuk*), atau sesiapa juga.


5.   Jadilah pelajar dan anak yang cemerlang akhlaknya. Apalah ertinya cemerlang akademik, tetapi akhlak macam syaitan?


6.   Jadilah ibu bapa yang prihatin. Anak-anak yang di anugerahkan Allah bukanlah untuk di siakan, tetapi untuk dijaga, dibesarkan, dan dididik. Pendidikan terbaik bermula dari rumah. Jangan serahkan segalanya kepada guru, kelak anda juga menyesal.


يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا قُوا أَنفُسَكُمْ وَأَهْلِيكُمْ نَاراً وَقُودُهَا النَّاسُ وَالْحِجَارَةُ عَلَيْهَا مَلَائِكَةٌ غِلَاظٌ شِدَادٌ لَا يَعْصُونَ اللَّهَ مَا أَمَرَهُمْ وَيَفْعَلُونَ مَا يُؤْمَرُونَ

terjemahannya ;

Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu (berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkanNya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan.

(Surah AT Tahriim 66:6)


7.   Elakkan penceraian, cari jalan penyelesaian. Terutama kepada suami isteri yang nak bercerai, eloklah baca luahan rasa hati aku ini. Aku antara anak yang mengalami pengalaman ibu bapa bercerai (bukan niat buka aib, tetapi untuk anda semua ambil iktibar, tolong fikir anak-anak anda!). Di takdirkan aku mengalaminya ketika kecil, dan aku mengetahuinya ketika dah besar. Sangat perit nak terima hakikat, terutama bila pergi kedai makan. Bila aku tengok ada keluarga makan bersama-sama dengan anak-anak di kedai makan, aku menangis sendirian. Aku nak juga ada ibu dan ayah yang duduk bersama. Sungguh, aku kurang kasih sayang seorang ayah. Tetapi dengan izin Allah, Allah jaga aku. Aku antara yang “terselamat” dari terus hanyut menyalahkan keadaan dan situasi. Aku terima takdir Allah ini dan cuba untuk menguruskannya. Bayangkan kalau anak-anak yang tak boleh terima penceraian ibu bapa, rasanya apa mereka buat?



8.   Menjadi guru yang mengajar dan mendidik. Mengajar dan mendidik dua perkara yang sangat berbeza. Semua orang boleh mengajar, tapi tak semua orang boleh mendidik. Mengajar melahirkan anak murid yang cemerlang akademik, tetapi belum tentu cemerlang akhlaknya. Tetapi mendidik melahirkan anak murid yang cemerlang kedua-duanya.


9.   Cinta untuk di uruskan, buka di “boroskan”. Cinta itu fitrah, tetapi perlu di uruskan fitrah itu. Bagaimana nak uruskan, pernikahan jalan pengurusan terbaik. Kalau korang seorang pelajar, maka kawal nafsu tu. Kalau mampu dan di izinkan, bernikahlah. Kalau korang dah berkerja, nikah cepat-cepat. Duit banyak-banyak nak buat apa?



10.    Fahami tanggungjawab dakwah dan tarbiah. Fahamilah, dakwah dan tarbiah bukan kerja untuk ustaz-ustaz SAHAJA. Tetapi untuk semua orang Islam. Semua anggota masyarakat Islam. Sampaikanlah apa yang kita ada (dakwah), jangan sampaikan apa yang kita tidak ada (dakyah).



Hidup kita akhir zaman ini, cuma ada 5 golongan sahaja yang ada untuk kita “tinggal bersama”,

1.   Golongan beriman

2.   Golongan Fasik (derhaka)

3.   Golongan Munafik (pura-pura)

4.   Golongan Musyrik (menyekutu)

5.   Golongan Kafir (fikir sendiri la. Woha)


Mana pilihan korang? Erk, pilihan aku juga. Aku bukanlah di kalangan yang terbaik, tetapi aku cuba untuk menjadi yang terbaik.

Selamat berpuasa bagi yang berpuasa.

Moga Allah Redha.



p/s:
1.   Rasanya macam dah lama tak menulis dalam nota aku ni. *uhuk*uhuk*.
2.   Puasa itu perintah, tutup aurat itu pun perintah okay! Yang tak tutup aurat tetapi berpuasa, jangan kutuk dia pula, tetapi beritahu dan didik dia supaya menutup aurat. Yang tak berpuasa (dengan sengaja) tetapi menutup aurat pula, bantai je. Woha!

rujukan : Raheq al Makthum (Sirah Nabawiyyah) karangan Syeikh Al Rahman Al Mubarakfuri

No comments:

Post a Comment