Saturday, 9 February 2013

Cerpen : Merancang agar terancang.

Pada suatu hari, di suatu kampung, terdapat 2 orang penebang pokok yang bernama Amirul dan Asyraf yang bersedia untuk menebang pokok menggunakan gergaji oleh majikannya. Setiap seorang perlu menebang pokok sebesar 3 pemeluk orang dewasa. Ganjaran kepada mereka adalah orang pertama yang berjaya menebang pokok maka dia akan dapat cuti pada keesokan harinya.

Tanpa berlengah walau sesaat, Amirul segera mengambil gergajinya dan mula menggergaji pokoknya. Manakala Asyraf pula mengambil gergaji dan duduk di sebelah pokok yang ingin dipotong dan mula menajamkan gergajinya.
 
Setelah beberapa ketika berlalu, Amirul telah berjaya memotong 1/3 ketebalan pokok tersebut. Dia berhenti sebentar dan melihat ke arah Asyraf yang masih lagi menajamkan gergajinya. 

Dia bertanya kepada penebang pokok kedua;

"Asyraf, bila kau nak mula menebang pokok? Aku punya bahagian dah 1/3 selesai." Amirul kehairanan melihat perbuatan Asyraf.

Asyraf dengan mata masih bertumpu ke arah gergaji menjawab ;

"sampai gergaji aku telah tajam, baru aku mula menebang."

Amirul tergelak dan kembali menggergaji pokoknya dengan lebih tangkas sehingga beliau telah memotong 2/3 batang pokok tersebut. Tetapi sayang, kudratnya telah berkurangan dan dia berhenti sebentar. Dia meihat ke arah Asyraf yang pada masa itu juga berhenti mengasah gergaji dan mula menggergaji pokoknya.

Dalam tempoh yang singkat, Asyraf berjaya merebahkan pokoknya, hanya dengan beberapa kali menggergaji pokok tersebut. Kemudian, Asyraf memandang Amirul dengan wajah tersenyum, lantas berlalu pergi untuk membuat perancangan untuk hari cutinya esok.

                                                                              ***

Pointnya di sini, berapa kali dalam hidup kita, kita telah melakukan tindakan tanpa perancangan yang baik? :)

 
Moga amal diterima Allah 


Friday, 8 February 2013

Pil kuda tak bersalah!

Dalam kehidupan kita, banyak kali kita melakukan dosa. Dan sebahagian dosa yang kita lakukan itu kita buat secara tidak sedar.

Ya, kita buat secara tidak sedar. Seolah kita sedang makan pil kuda dan kemudiannya khayal.

Sebagai contoh,

Semasa berfacebook, kadang-kadang kita tengah marah atau mungkin sedang kecewa, kita tak sedar bahawa komen-komen kita banyak mengandungi dosa-dosa seperti mengumpat, memfitnah, mencerca, mencaci maki, dan sebagainya.

Atau mungkin semasa kita sedang berbual dengan kawan atau keluarga, tanpa sedar kita sudah masuk zon mengumpat, memfitnah dan lain-lain.

Malah kalau yang berdating dengan pakwe atau makwe secara berduaan, secara tak sedar kita sudah melangkaui zon bukan “bebas cukai”.

Ataupun, semasa kita berjalan di pasar malam atau shopping complex, secara tak sedar kita “seronok” tengok aurat perempuan terbelah sana sini walaupun kita ikut TARBIYYAH!

Pil kuda tak bersalah.

Pil kuda kalau kita makan sebiji, kita belum terasa sangat kesannya. Tapi jika kita makan tiga, empat biji, kita akan jadi pening dan khayal. Masa itu kita akan buat perkara-perkara yang kita sendiri tak sedar kita buat. Kemudian kita akan ketagih lagi pil kuda.

Kurang lebih seperti dosa, mula-mula kita buat dosa, kita tidak rasa apa-apa sangat. Paling tidak pun, hati kita akan terdetik,

“Ala, sikit je pun.. Nanti aku taubat la.”

Mula-mula kita akan buat sikit, lama-lama bila sudah “overdose”, kita akan buat lebih dari jangkauan kita. 

Syaitan ini akan sentiasa hasut kita untuk berbuat dosa dari sebesar-besar perkara iaitu kufur kepada Allah, sehinggalah jika dia tak mampu, dia akan menghuru harakan priority ataupun keutamaan kita. Itu paling sikit.

Jadi, adakah kita nak salahkan pil kuda kerana mengkhayalkan kita, atau menyalahkan syaitan kerana selalu dan setiap masa menghasut kita?

Sudah semestinya TIDAK.

Dah memang sifat pil kuda itu mengkhayalkan, janganlah menggatal ambil walaupun sebiji.
Lagipun, bukan ke pil kuda ini untuk kuda, yang kita menggatal makan kenapa? eh?

Syaitan pula, memang tugas dia menghasut bersungguh-sungguh anak adam sampai hari kiamat hingga ke titisan lubang neraka terendah. Kita sepatutnya menyalahkan diri kita kerana tidak “bertugas” dengan sungguh-sungguh untuk mengislahkan diri kita dan menyeru masyarakat kepada Islam yang syumul.

Jadi apa perlu buat?

Mari kembali pada Allah

Ya, kita ini hamba Allah, tak terlepas dari dosa. Kita bukan malaikat, kita manusia biasa. Maka, kalau kita tersedar seketika selepas berbuat dosa kepada Allah, segeralah istighfar dan berhenti buat. Kita kembali semula kepada Allah.

Dan kalau dosa itu bersangkut paut dengan manusia (sama ada mengumpat, fitnah, menghina, dan lain-lain), maka mahu atau tidak, kita rendahkan ego kita dan segeralah minta maaf kepada manusia tersebut.

Mari kita rendahkan ego, minta ampun kepada Allah dan minta maaf kepada manusia yang kita buat dosa padanya.

Rendahkanlah ego serendah bumi..

Rendahkanlah..

Demi akhirat kita bersama..


mari cari jalan pulang
 Moga amal diterima Allah.

Friday, 25 January 2013

Di antara semalam dan hari ini.




Dah hampir sebulan saya tidak menaip dalam blog saya. Hari ini saya nak kongsikan satu perkara yang saya rasa boleh dijadikan peringatan untuk diri saya dan sesiapa yang nak membaca.

Sepanjang hidup saya, satu-satunya subjek yang saya ulangkaji, kemudian saya menangis kerana salah satu bab yang dalam dalam subjek tersebut, adalah subjek Sejarah tingkatan 4.

Bab yang betul-betul menyentuh hati saya adalah Bab 4, mengenai sirah Rasulullah sallallaahu alayhi wa sallam. Antara kisah yang membuat air mata saya mengalir adalah tentang penentangan kepada baginda dan penghijrahan baginda dari Makkah ke Madinah.

Asbab daripada kisah ini, saya mula suka tentang sejarah.

Apa yang saya nak sampaikan adalah, betapa pentingnya kita memahami sejarah terutama sejarah Islam, dan tersangat sangat penting untuk kita mengetahui juga menhayati sirah dan perjalanan Rasulullah sallallaahu alayhi wa sallam.

Sakitnya kita di uji sepanjang hidup kita, sakit lagi baginda di uji dalam menyampaikan Islam sehingga hari ini.

Payahnya kita nak berhijrah untuk menjadi baik, payah lagi baginda berhijrah dari Makkah ke Madinah.

Sukarnya kita rasa untuk mendidik anak-anak, adik-adik, keluarga hatta masyarakat kita, sukar lagi baginda untuk menyampaikan Islam.

Rasulullah sallallaahu alayhi wa sallam begitu sayang dan rindu kepada saya dan anda semua. Sayang dan rindu kepada ummat itu baginda terjemahkan dalam peluh, air mata dan darah baginda sendiri.

Persoalan di sini, di mana posisi Rasulullah sallallaahu alayhi wa sallam di dalam hati kita?

Jawapannya ada pada kita sendiri.



Kita renung seketika, apa bukti cinta kita pada baginda?


Senyum :)

 اَللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَ آلِ مُحَمَّدٍ



 

Moga Allah redha.

Sunday, 30 December 2012

Merekalah sahabat saya!


 Tinggal esok hari terakhir sebelum menutup tirai tahun 2012. Sepanjang tahun 2012, bahkan sepanjang sejarah kehidupan saya, (kini baru sekitar awal 20-an), antara perkara yang menyerikan diari hidup saya adalah kehadiran sahabat-sahabat.



Ya, sahabat daripada saya masa belum bersekolah (termasuk tadika), semasa zaman persekolahan, zaman di PLKN, zaman matrikulasi dan zaman kampus. Mereka antara manusia-manusia yang ditakdirkan Allah menyerikan perjalanan hidup saya dalam mengenal Allah dan tujuan penciptaan saya.

Sahabat baik saya sejak sebelum sekolah (dari kiri : Firdaus, Aman)
Sahabat baik saya semasa zaman persekolahan.
Sahabat baik saya semasa zaman PLKN.

Sahabat baik saya semasa zaman Matrikulasi

Sahabat baik saya semasa zaman kampus
(Maaf tak semua gambar sahabat saya dimasukkan. Ada yang tak jumpa, ada yang dah hilang, dan lain2)


Saya sangat suka mencari sahabat, kerana mereka inilah yang akan menjadikan hari-hari saya bertambah gembira. Saya akui, sejak dari kecil, saya rasa hidup saya banyak bersendirian. Saya ditakdirkan membesar tanpa adik beradik dan kurang kasih sayang seorang ayah. Saya rasa amat sunyi terutama bila berada dibilik seorang diri. Untuk mengisi masa yang ada, aktiviti yang selalu saya suka buat adalah berkhayal dan bercakap seorang diri (saya tulis bukan untuk meminta simpati, jauh sekali untuk membuka aib orang lain dan diri sendiri).



Sehingga tahap pernah sekali saya mempertikaikan takdir terutama sekali bila saya melihat keluarga orang lain bahagia.



“Kenapa aku takde akak, abang dan adik?”

“Kenapa ayah aku bercerai?”

“Kenapa aku jadi macam ni!”



Ini antara persoalan yang selalu bermain difikiran saya. Sehingga saya tidur dengan air mata bila fikir tentang perkara ini.



Jadi, demi mengisi kekosongan yang ada, saya mencari sebanyak mungkin sahabat agar saya rasa hidup saya lebih bermakna. Dan apabila sudah ada, saya akan menarik perhatian mereka seboleh yang mungkin agar mereka mahu terus bersahabat dengan saya. Tak kira sama ada saya akan buat lawak bodoh, buat perangai seperti budak-budak (walaupun dah besar), bergurau sehingga saya tak perasan gurauan saya itu kasar, dan macam-macam cara. Semuanya kerana saya nak menggembirakan sahabat saya dan tidak mahu mereka hilang dari diari hidup saya.



Dan bila saya semakin dewasa, barulah saya faham kenapa Allah mentakdirkan saya sebegini. Antara hikmah terbesar saya dapat adalah ia mendidik saya agar cuba menjadi sahabat yang baik untuk semua sahabat saya dan menghargai mereka sedaya yang mampu. Meskipun ramai sahabat saya yang berbeza ideologi, pendapat, fikrah, hala tuju, bangsa, hatta agama sendiri. Rasanya jika saya ada adik beradik, mungkin saya tidak berapa menghargai kehadiran sahabat dalam hidup saya.



Ya, mereka adalah antara permata yang bernilai untuk saya simpan dalam perjalanan hidup saya.



Walaupun ada sahabat yang banyak sakit hati dengan saya, marah dengan saya, tidak puas hati dengan saya, tak kurang juga ada yang membenci saya. Saya tahu dan sedar akan hakikat itu. Sebab saya tahu, saya tak mampu untuk memuaskan hati semua orang dan itu kelemahan saya.



Andai ada sahabat saya yang terbaca luahan saya ini, saya memohon berbanyak kemaafan. Maaf, sehingga kini, saya masih tidak mahir dalam menjaga hati dan perasaan orang. Saya masih belajar banyak perkara. Jika tidak puas hati, luahkan pada saya supaya dapat saya belajar untuk masa depan.



Kalau boleh, saya tidak mahu persahabatan saya dengan mereka terhenti hingga saya mati.



Tapi lebih dari itu, saya mahu berjumpa mereka semula, insyaAllah di Syurga nanti.



Kerana mereka adalah sahabat juga permata hati saya, untuk saya bawa sepanjang perjalanan hidup saya mengenal Ilahi.



Moga itu menjadi realiti.



Amin..

 

Firman Allah dalam al Quran,


 Terjemahannya ;
 

“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu).”


(Surah al Hujurat 49: 13)



Akhir sekali, terima kasih sahabat kerana sudi hadir dalam diari hidup saya untuk menceriakan perjalanan hidup saya. Saya sayang sahabat saya semua kerana Allah. ^__^









Moga Allah redha.