"Shuk..."
Mata saya segera memandang sahabat yang sudah lama tidak
berjumpa sambil menghirup secawan teh o limau suam.
"Ye mir.. muka muram durja je?" Saya mengangkat kening
sambil meletakkan cawan teh o limau suam ke atas meja.
Syamir mengeluh.
"Aku sebenarnya ada benda penting nak story kat kau.."
Syamir tunduk. Wajahnya sugul. Seolah dihempap oleh masalah besar.
"Sebab tu kau nak jumpa aku? Dah lama menyepikan diri lepas
kawin dulu, maklumlah dah bahagiakan.." saya bergurau sambil tersengih untuk
menceriakan suasana.
Syamir tertunduk.
Saya pula serba salah.
"Err.. kau kenapa? Em.. kalau tak keberatan, meh story pada
abang. Biar abang long settlekan.. hehe... " saya menepuk bahu Syamir.
Syamir tersenyum kelat. Terasa berat baginya untuk bercerita.
"Begini.. isteri aku... emm.... " kata-katanya
terhenti seketika.
"Hmm? Kenapa dengan isteri kau?" Saya tertanya-tanya.
Syamir mengeluh lagi.
"Ish kau ni. Asyik mengeluh ja. Macam lagak presiden dunia
yang banyak masalah ja.." saya tersengih. Saya bergurau untuk mengurangkan
sedikit tekanan yang dialami.
Syamir tersenyum lagi. Seperti biasa, senyuman yang kelat.
"Beginilah... aku terus terang saja. Aku tanya ini untuk
minta pendapat dan pandangan kau. Bukan nak buka aib sesiapa. Moga kau dapat
bantu aku.." mata Syamir merenung tepat wajah saya.
Nampak keseriusan beliau.
Saya mengangguk.
"Shuk.. Aku nak bercerai dengan isteri aku... apa pandangan
kau?" Muka Syamir sedikit berkerut dan serius.
Hampir tersembur air teh o limau dalam mulut saya. Terkejut
dengan kata-kata beliau.
"Kau nak bercerai? Kau baru je berapa tahun kahwin, dan
sekarang kau nak bercerai? Aku salah dengar ke apa ni?" Saya mengangkat
kening.
"Ya aku serius... " Syamir merenung tegas pada wajah
saya.
Saya terkesima seketika. Rasa macam di sambar halilintar.
Tersentak dengan kata-katanya.
Saya mengambil nafas panjang. Menyusun kata-kata demi
menyelamatkan masjid yang baru beberapa tahun terbina.
"Apa sebab kau nak bercerai? Kau dah ada anak sorang tahu.
Ini benda serius. Perkara halal yang Allah benci. Benda ni juga menentukan masa
depan anak kau. Kau jangan main-main." Kini saya pula serius.
Syamir menghirup secawan teh o yang baru sampai.
"Isteri aku... hmm.. begini.. dulu sebelum kahwin, masa
kami tengah bercinta, aku tengok isteri aku nampak macam baik je. Nampak macam
rajin saja. Segalanya nampak indah.. walaupun mungkin tak pakai tudung dan tak
jaga pergaulan, namun dia setia dengan aku. Dengan aku pijak semut pun tak
mati. Tapi segalanya berbeza selepas kahwin.."
Syamir menghela nafasnya. Pandangannya beralih ke jalan raya
yang sesak dengan kenderaan.
Saya menumpukan sepenuh perhatian dengan apa yang ingin
disampaikan.
"Selepas kahwin, walaupun dia dah berubah sedikit, dah
pakai tudung, dah jaga pergaulan dengan lelaki lain. tapi hubungan kami dah
jadi macam hambar sejak kebelakangan ini. Seolah dah habis cinta kami masa
zaman bercinta dulu. Lepas kahwin, hanya menikmati beberapa manisan cinta yang
berbaki."
Dia menghelakan nafasnya lagi.
"Kalau dulu, dia selalu lipatkan baju aku, sediakan makanan
untuk aku, ironkan baju aku, tunggu aku depan pintu, layan aku, dan macam-macam
lagi. Sejak dah ada anak dan setahun kebelakangan ni, tak macam dulu lagi..
Hari-hari aku makan luar, balik kerja tengok dia dah tidur. Aku pun tension
tidur juga. Entah la.. aku rasa..." Syamir mengeluh.
"Hmm.. kau rasa apa?" Saya mengangkat kening.
"Aku rasa kami dah hilang cinta agaknya. Hati masing-masing
dah pudar..". Syamir menghebuskan nafas yang agak berat.
Begitu juga saya.
Saya bersandar di kerusi makan. Termenung seketika.
"Sebelum aku bagi pendapat aku, aku nak bagitau yang aku
bagi pendapat sebagai seorang bujang. Tak pernah kahwin lagi. Bercinta tu...
pernah la kot." Saya menghela nafas.
"Syamir.. kahwin ni adalah suatu perkara yang sangat besar.
Sebab tu ia ibarat mendirikan masjid. Untuk kau robohkan masjid, ia ibarat kau
melakukan suatu kemusnahan yang dahsyat."
Syamir mengangguk.
"Selepas saja akad nikah.. sepatutnya kau kena sentiasa
hadirkan dua elemen yang saling lengkap melengkapi sepanjang kau mendirikan
rumah tangga hingga akhir hayat. Jika satu elemen lemah, satu lagi elemen akan
menguatkan."
"Elemen apa?" Syamir mengangkat kening.
"Cinta dan tanggungjawab" saya jawab tuntas.
Syamir termenung.
"Cinta ini relatif dan abstrak. Tiada kayu ukur atau
parameter untuk tentukan berapa peratus yang turun dan berapa peratus yang
naik. Namun kita sendiri mengetahui sejauh mana cinta kita pada seseorang. Diri
kita sendiri yang boleh agak."
"Cinta ni sifatnya akan menaik, dan ada kala ia akan
menurun. Apabila menaik, kau akan romantik tahap romeo dan juliet atau lebih
lagi. Tetapi macam mana kalau ia menurun?"
"Ha'ah. Macam mana kalau menurun?" Dahi Syamir
berkerut.
"Itulah fungsi tanggungjawab. Tanggungjawablah yang akan
membantu mempertahankan cinta daripada terus pudar dan hilang. Mustahil untuk
kau penuhi tanggungjawab dengan sempurna tanpa hadirnya cinta."
Syamir mengusap janggutnya.
"Dalam Islam, Allah meletakkan kewajipan untuk seorang anak
patuh dan taat kepada ibu bapanya, dan jangan sekali kata 'Ah' pada mereka.
Tetapi, dalam Islam TIDAK meletakkan kewajipan untuk seorang anak cinta dan
kasih kepada ibu bapa mereka. Kerana cinta dan kasih itu adalah suatu perasaan
yang abstrak, sukar hadir walau dipaksa, dan sukar pergi walau dihalau."
"Namun... untuk seorang anak taat dan patuh dengan
bersungguh pada ibu dan ayahnya, mahu tidak mahu KENA hadirkan perasaan cinta
dan kasih itu walaupun hadirnya itu lambat sekalipun. Jika tidak, anak itu akan
taat dan patuh dalam keadaan derita dan terseksa batinnya kerana kehausan
perasaan tu."
Syamir mengangguk. Dia mendengar dengan tekun.
"Begitu juga suami isteri. Mungkin atas alasan itu, Allah
menghadirkan tanggungjawab antara suami isteri, moga dengan tanggungjawab yang
dipikul dan diamanahkan itu, mampu mempertahankan cinta yang bersemi tu. Jika
cinta pudar, tanggungjawablah yang akan menyerikan semula cinta."
Syamir tersentak. Seolah sesuatu mengganggu fikirannya.
"Dan akhir sekali, apabila cinta dan tanggungjawab ini
diadun dan disebatikan dengan baik dan saksama, akan terlahirlah suatu tindakan
yang sangat terpuji."
"Apa dia tindakan tu?" Syamir terpinga-pinga.
"Erti sebuah pemberian tanpa mengharap penerimaan. Memberi
tanpa mengharap dibalas kembali."
Syamir termenung.
"Jadi sepatutnya aku kena beri pada isteri aku tanpa
mengharap dia balas apa aku beri?" Syamir mengangkat kening.
Saya tersenyum. Syukur dia mengerti.
"Ada masa, rendahkan ego pada isterimu wahai teman. Jika
dia tidak memasak, kau masakkanlah untuk dia, walaupun hanya telur goreng atau
megi kari. Kalau ada kesempatan, ironkanlah baju untuk dia sekali walau kau
iron senget sana sini, bukan hanya untuk diri kau. Jika punya waktu, bawalah
dia berdating dengan kau, hanya berdua. Cari masa untuk kau dan isteri kau
bersama. Anak kau suruh kawan atau keluarga terdekat kau jaga sekejap. Pergi
tasik titiwangsa ke, atau mana-manalah tempat romantik."
Saya dan Syamir tersenyum.
"Dan wajibkanlah diri dan keluarga kau untuk tahajud
bersama walau sebulan sekali. Itulah masa paling sesuatu untuk kau menyerikan
cinta kembali." Saya melirikkan senyuman.
Secara tiba-tiba, Syamir mengalirkan air mata.
"Eh kenapa kau bro?" Saya terkejut. Tak pernah nampak
dia menangis.
"Aku., aku rasa macam dah lama tak tahajjud. Apatah lagi
dengan isteri. Sejak aku tinggalkan usrah dan dunia dakwah dan tarbiyah.."
Syamir mengesat airmata lelakinya.
Saya menepuk bahunya.
"Dah la.. jangan menangis bro. Tak macho la kau.
Hehe." Saya tersengih.
Syamir menganggukkan kepala menahan sebak.
"Yang penting, banyakkan berbincang dengan isteri kau.
Bincang elok-elok. Benda boleh settle. Jangan pernah terfikir untuk bercerai.
Itu bukan jalan penyelesaian." Saya memberikan harapan dan cadangan.
Syamir tersenyum. Ya, dia terasa seolah tergesa-gesa tindakannya.
"Terima kasih bro.. err.. kau join usrah lagi? Aku rasa nak
join semula.." Syamir memandang wajah saya.
Saya tersenyum lebar.
"Aku usrah malam esok kat rumah aku. Mai datang lepas
isyak. Lu belajar jalan ke sorga!" Saya berjenaka.
Kami berdua ketawa.
Tamat
Moga Allah redha.
- Shukery -